ALOR SETAR - Jenazah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan terkorban akibat serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, dalam keadaan tersenyum dan umpama tidur.

Ibu saudara Allahyarham, Zarina Shuib, 53, berkata, adiknya, Mariani yang berada di New Zealand memaklumkan kepadanya wajah Allahyarham Muhammad Haziq bercahaya ketika jenazah anak kedua daripada empat adik beradik itu diuruskan.

Katanya, mereka sekeluarga sememangnya sedih menerima berita pemergian Muhammad Haziq yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan 4, Bangi kerana mengharapkannya masih hidup.

"Jikalau diikutkan, saya memang ada menerima makluman berita sedih berkaitan Haziq yang dikongsikan Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh malam tadi (kelmarin) melalui WhatsApp.

"Pada mulanya, saya kurang percaya dia sudah meninggal dunia memandangkan kami sekeluarga masih mengharapkan yang Haziq terselamat dalam insiden tembakan itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia akhirnya percaya apabila menerima ucapan takziah daripada rakan-rakan sebelum menerima maklumat berkaitan Allahyarham Muhammad Haziq disahkan Wisma Putra.

"Kami sekeluarga sedih namun reda dengan pemergian Haziq," katanya.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Haziq juga meninggal dunia dalam keadaan diredai ALLAH kerana masih dengan berwuduk ketika kejadian.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), lebih 50 maut dan lebih 50 lagi cedera akibat tembakan rambang berdekatan Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch.

Ini pula perkongsian seorang rakyat Malaysia yang turut terlibat dalam pengurusan jenazah Muhammad Haziq semalam https://www.gpsbestari.com/berita/hidung-dan-bibir-merah-seperti-masih-hidup-jenazah-haziq-selamat-dikebumikan-1.924148