KUALA TERENGGANU - Meskipun hanya mampu lihat jasad dia yang kaku, tapi saya tetap bersyukur kerana akhirnya anak saya ada kubur."

Itu luahan ibu kepada pemancing yang ditemui mati lemas selepas menyelamatkan lima sekeluarga terjatuh ke dalam Sungai Terengganu, Masitah Awang, 60.

Masitah berkata, dia hanya mengetahui penemuan mayat anak ketiganya itu, Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd selepas dimaklumkan ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian.

"Selepas malam tu (Jumaat), memang kami sekeluarga 'berkampung' di lokasi kejadian dan saya biasanya akan pulang sekejap ke rumah pada awal pagi untuk solat Subuh dan mandi sekejap.

"Pagi tadi (semalam), kebetulan saya sedang bersiap nak ke lokasi kejadian sebelum terima panggilan daripada ahli keluarga yang sedang menunggu di sana, memaklumkan arwah dah dijumpai," katanya di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Mohd Mustafa, 66, menyifatkan tindakan anaknya itu yang sanggup berkorban demi menyelamatkan insan lain sebagai perbuatan terpuji.

Walaupun sedih, Mohd reda dengan pemergian anak ketiganya itu dan bersyukur mayat anaknya akhirnya ditemui setelah pelbagai usaha dilakukan.

"Alhamdulillah, kita faham dan akur dengan janji ALLAH SWT. Semua orang termasuk ibunya ikhlas dengan pemergiannya.

"Walaupun sedih, kami berbangga dia pergi kerana perkara yang baik iaitu ketika menyelamatkan nyawa insan lain dan perbuatannya itu sangat terpuji," katanya yang kelihatan sugul tetapi tenang.

Mohd yang turut berterima kasih kepada semua pihak bertungkus-lumus mencari anaknya berkata, nalurinya sebelum ini bagaikan dapat meneka mangsa telah ‘keluar’ jauh dan penemuan mayat sekitar 2.5 kilometer dari lokasi kejadian bagaikan mengesahkannya.

ALLAHYARHAM ABDUL BARI ASYRAF

Abdul Bari Asyraf merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini.

Sementara itu, bekas penyelianya,  Mohd Shazlan Shariffuldin, 39, berkata, Abdul Bari Asyraf seorang yang periang dan suka berjenaka.

"Dia baik hati dan sangat disenangi rakan.. saya masih ingat dia walaupun dia jalani latihan industri di Merger Option Sdn Bhd, Shah Alam pada tahun 2009 dan hanya enam bulan.

"Sikapnya yang mudah beri kerjasama dan sangat komited pada kerja buatkan selesa dan senang bekerja dengannya," katanya.

Abdul Bari Asyraf (dibulatkan) bersama rakan sekerja ketika menjalani latihan industri di Merger Option Sdn Bhd, Shah Alam pada 2009.