SEGAMAT - Bagi menunjukkan rasa cinta akan negara Malaysia, Sekolah Kebangsaan LKTP Pemanis 1 (PEMASA) telah menghasilkan satu logo gergasi ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih‘ sempena menyambut bulan kebangsaan peringkat sekolah itu.

Guru Besar, Helmyazizul Abdul Hamid berkata logo gergasi ini juga dibuat oleh guru-guru PEMASA untuk memperkenalkan logo dan tema dalam kalangan murid-murid dan seluruh warga Felda Pemanis dengan meletakkan  logo besar dihadapan bangunan sekolah yang boleh dilihat oleh warga sekolah dan orang luar yang melalui kawasan sekitar sekolah.

"Logo Gergasi ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ dibuat atas kain putih dengan berukuran 6 meter x 6 meter diwarnakan dengan warna merah, biru, putih dan kuning. Manakala, tulisannya dibuat dengan warna hitam.

"Tulisan Malaysia Bersih pula dengan warna merah dan putih," jelasnya.

Cikgu Amirul Izzat Alias menyampaikan Pengkisahan Sejarah Kemerdekaan.

Sementara itu, guru penyelaras bulan kebangsaan, Nurul Izni Ishak turut berkata, logo itu juga merupakan simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan, dengan satu bentuk hati di hadapan menyatukan mereka.

"Ia menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama disamping dapat memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

"Inisiatif guru-guru menghasilkan logo ini juga bagi menunjukkan bahawa warga PEMASA mampu menghasilkan satu logo gergasi dengan hasil kata sepakat dan kerjasama yang kukuh antara satu sama lain," katanya.

Katanya lagi, begitu juga diharapkan kepada murid-murid PEMASA agar belajar dengan bersungguh-sungguh dengan sentiasa adanya kerjasama antara rakan seperjuangan di sekolah dan memupuk semangat patriotisme sempena bulan kebangsaan.

Tiga guru yang berjaya menyiapkan logo gergasi merakam gambar bersama murid.

"Murid-murid dapat melihat logo gergasi ini dihasilkan apabila inisiatif guru-guru dan bantuan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) PEMASA memasangnya pada bangunan hadapan sekolah bagi menunjukkan semangat mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.

"Terdapat banyak program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang Bulan Kebangsaan akan dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid-murid PEMASA antaranya pertandingan mewarna poster, pertandingan membuat kolaj bendera Jalur Gemilang, pertandingan mencipta logo Merdeka, kuiz Kemerdekaan, kelas patriotik, dan pertandingan swafoto kemerdekaan," ujarnya.

Selain itu, acara kemuncak bagi bulan kebangsaan kali ini adalah Konvoi Merdeka dengan melibatkan penyertaan semua murid bersama warga sekolah.

Baca:

Hafal fakta 'buruj' Sains (Kertas 2) UPSR - 11 nota mudah dan contoh soalan untuk  calon ulang kaji

'Kata kuncinya adalah hafal formula' - Ini peringatan penting cikgu Matematik kepada calon UPSR

Dua tajuk penting subjek Sains untuk calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri 1)