JOHOR BAHRU - Warga sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cahaya Masai bersyukur tindakan awal mereka memindahkan pelajar ketika kes pencemaran kimia di Sungai Kim-Kim dekat Pasir Gudang ketika menular Mac lalu, membuahkan hasil setelah kesemua mereka selamat dan  tidak mengalami sebarang simptom.

Guru Besar, Asrol Faezal Ahmad berkata hanya tiga daripada 1,178 pelajarnya hanya mengalami simptom pencemaran yang biasa ketika berada di rumah masing-masing dan ia berlaku setelah kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup oleh Kementerian Pendidikan.

"Hasil perkongsian maklumat dengan guru besar di sekolah lain yang memaklumkan pencemaran kimia itu banyak menyerang pelajar di tingkat atas, kami terus memindahkan pelajar terus ke tingkat bawah.

"Usaha kita berkesan dan tiada (pelajar)  yang terkena. Bersyukur kerana semasa kes itu tegang, sekolah ini tidak terlibat (tiada pelajar alami simptom pencemaran) dan kalau ikutkan ia sangat berdekatan dengan SK Kopok, SMK Kota Masai dan SK Nusai Damai yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cahaya Kasih di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Asrol Faezal berkata  tiga pelajar berkenaan itu juga kembali pulih dan hadir ke sekolah seperti biasa setelah mendapatkan rawatan susulan.

"Semasa kejadian, ibu bapa ada zahirkan kerisauan tetapi kita sentiasa pantau pelajar.

"Malah guru serta kakitangan juga sentiasa bersedia, jika pelajar muntah dan sebagainya, tetapi syukur tiada pelajar yang terkena simptom berkenaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 40 murid menerima sumbangan duit raya dan 28 murid asnaf yang turut ditemani ibu bapa mereka, menerima barangan keperluan seperti beras,  minyak masak, susu, tepung, dan gula.

Sementara itu, menurut Noraini Abdul Samad, 43 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia bersyukur anaknya Nazrul Iqmal Haziq Muhammad Khairul Nizam, 12,  turut menerima sumbangan dan menjelaskan sumbangan itu sedikit sebanyak boleh digunakan untuk persiapan Hari Raya.

"Alhamdullilah, sumbangan ini dapat saya gunakan untuk raya, bersyukur sebab pihak sekolah sangat prihatin kepada anak-anak yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Menurut suri rumah, Rosnah Mahat, duit raya yang diberikan kepada anaknya Nur Alia Farhana Asfanizam, 11, dapat digunakan untuk membeli baju raya.

"Sangat bersyukur dan berterima kasih, setakat ini kelengkapan raya juga belum buat anak-anak baju raya pun belum beli lagi, jadi sumbangan ini dapat ringankan beban kami,” katanya ibu kepada empat orang anak itu. - Bernama

Artikel Menarik:

Daki gunung untuk hantar laporan, tindakan sekumpulan guru ini wajar dipuji

Budak lari lawan arah: Aishah ketakutan setelah hiburkan satu Malaysia

Apapun warna kulit dan agama yang dianuti, saya tetap bantu - Luhurnya hati cikgu ini

Niat nak bantu pelajar, tak sangka dapat anugerah - Dr. Maszlee pun puji cikgu ini di fb

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini