KUANTAN- Lebih 45 kilogram (kg) pelbagai jenis kuih raya untuk jualan sepanjang Ramadan telah dihasilkan pelajar istimewa dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kuantan.

Pengetuanya, Amran Kamal berkata, pembuatan  kuih raya itu bagi memenuhi permintaan menggalakan daripada masyarakat  setempat.

“Pelajar yang membuat  kuih ini adalah mereka yang mengalami masalah pembelajaran,  pekak, bisu dan cacat fizikal mula menghasilkan pelbagai kuih raya selepas seminggu Ramadan lalu.

“Terus terang cakap saya cukup kagum melihat  kesungguhan dan kemahiran  yang ada pada mereka walau serba kekurangan  tetapi, mereka mampu menghasilkan produk makanan istimewa untuk menyambut Aidilfitri tidak pernah terbatas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Beliau berkata,aktiviti menghasilkan kuih raya oleh pelajar SMPK Vokasional Kuantan bermula sejak 2013 hingga kini, menerusi program itu sambil belajar pelajar juga dapat menambah kemahiran.

“Saya yakin mereka ini boleh menggunakan kemahiran  yang dipelajari untuk  dimanfaatkan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, guru, Khalifa Ramli berkata, pelajar kelasnya menghasilkan  dua jenis biskut dan sebanyak lapan kilogram produk  berkenaan dihasilkan sepanjang Ramadan kali ini.

Katanya, walaupun  mengalami masalah pembelajaran tetapi mereka  mempunyai kemahiran dan minat dalam menghasilkan  produk makanan seperti biskut dan beberapa jenis kuih raya lain.

“Saya hanya memantau aktiviti pelajar menghasilkan biskut kerana mereka  sudah mempunyai kemahiran selepas mendapat  tunjuk ajar sebelum ini.

“Walaupun hanya menghasilkan lapan kilogram  biskut namun saya  tetap puas hati,” katanya. 

ARTIKEL MENARIK:

Kelas tambahan percuma, sering sedekah, suka bantu orang susah...Peribadi Cikgu Ven buat ramai kagum

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku