SIAPA sangka dengan usaha membina sebuah Kios Bacaan Komuniti di sekolah, akhirnya guru Sekolah Kurang Murid (SKM) SK Kg Baharu, Jerantut, Norafizah Abdul Razak dinobat sebagai Ikon Guru Perpustakaan dan Media (GPM) Kebangsaan 2019.

Cikgu Norafizah yang berpengalaman sebagai GPM selama 27 tahun berkata, beliau diberi pengiktirafan kerana berjaya mengupayakan SKM melalui program Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) iaitu Pembelajaran Berasaskan Penyelidikan.

Pengiktirafan yang penuh makna itu diterima pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah peringkat kebangsaan 2019 di Bahagian Teknologi Sumber Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 21 Oktober lalu.

Murid berpeluang membaca dan meminjam buku di Kios Bacaan Komuniti pada hujung minggu dan cuti sekolah.

 

Menurut beliau, bagi mengaplikasikan PAK21, beliau melatih murid membuat kajian dan penyelidikan berdasarkan tajuk yang diberi.

"Saya akan bagi tajuk mengikut sukatan mata pelajaran dan murid akan mencari bahan membuat penyelidikan sama ada mendapatkan maklumat di Kios Bacaan Komuniti ataupun di mana sahaja hinggalah mereka betul-betuk memahami topik itu.

"Kios Bacaan Komuniti yang terletak bersebelahan pos pengawal juga membolehkan masyarakat sekitar mengunjunginya untuk mendapatkan bahan bacaan," katanya yang baharu dua tahun berkhidmat di sekolah itu.

Beliau berkata, ibarat sebuah perpustakaan mini, ibu bapa yang menunggu anak pulang dari sekolah boleh mengisi masa lapang dengan membaca bahan bacaan disediakan dan usaha itu mampu masyarakat khususnya murid agar cintakan ilmu serta suka membaca.

"Saya meminjam bahan bacaan dari perpustakaan awam daerah di bawah pinjaman berkelompok sebanyak 150 buah buku dan buku-buku itu akan ditukar setiap dua bulan," jelasnya.

Bagi memudahkan urusan peminjaman buku berkenaan, pengawal keselamatan dilantik sebagai pustakawan dan beroperasi sepanjang masa.

"Walaupun pengawal keselamatan di sekolah itu bertugas 24 jam tetapi biasanya urusan pinjaman buku hanya dibuka sehingga jam 6 petang sahaja," katanya lagi.

Lebih menarik, pada hujung minggu atau cuti sekolah murid boleh mengunjungi Kios Bacaan Komuniti untuk meminjam atau membaca buku.

Beliau yang sebelum ini mengajar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) mencabar diri ke SKM bagi memberi peluang sama rata kepada murid dan ibu bapa dalam program pendidikan.

Dalam merealisasikan hasratnya, Cikgu Norafizah berhadapan kekurangan dana untuk memperluaskan jaringan program di luar sekolah khususnya bagi menampung kos pengangkutan penginapan dan makan minum murid.

Bagaimanapun masalah itu, sentiasa dapat diatasi dengan kerjasama rakan guru dan komuniti.

"Saya juga berhadapan kekangan masa kerana perlu mengajar lebih 30 waktu di samping tugas-tugas khas di sekolah, negeri dan kebangsaan... ini membuatkan saya perlu bijak membahagikan masa," ujarnya.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana perjuangannya dalam pembangunan pusat sumber sekolah sebagai GPM diktiraf KPM.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjaya saya dalam bidang ini. Tugas sebagai GPM bukan mudah kerana ia merupakan pengurus sumber pendidikan di sekolah selain hambatan sebagai guru akademik dan tugas-tugas khas yang lain," katanya.

Penduduk sekitar tidak ketinggalan mengunjungi Kios Bacaan Komuniti untuk mendapatkan bahan bacaan.

Penduduk sekitar tidak ketinggalan mengunjungi Kios Bacaan Komuniti untuk mendapatkan bahan bacaan.

Pengawal keselamatan SK Kg Baharu turut berperanan sebagai pustakawan di Kios Bacaan Komuniti.

Selain itu, Modul Pembelajaran Berasaskan Penyelidikan yang diaplikasikan Cikgu Norafizah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) turut digunakan pakai oleh  beberapa sekolah lain untuk menjadikan mereka dari 'biasa ke luar biasa'.

Azam Cikgu Norafizah, beliau mahu memperbanyakan program yang mampu melahirkan kemenjadian murid terutama murid luar bandar yang perlu banyak diberi peluang dan ruang.

"Saya harap mana-mana GPM yang baharu dilantik agar rajin menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran dalam mendepani cabaran pendidikan," katanya.

Menurutnya, ketika di SBT beliau telah berjaya membawa pusat sumber sekolah memenangi anugerah di peringkat kebangsaan sebanyak tiga kali dan  mengadakan program jalinan ke enam buah negara di rantau Asia Tenggara.

Kini beliau berusaha untuk mengangkat pusat sumber sekolah luar bandar setaraf dengan sekolah lain di Malaysia.

Penduduk sekitar tidak ketinggalan mengunjungi Kios Bacaan Komuniti untuk mendapatkan bahan bacaan.

INFO

 

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Nak buat sambutan hari lahir anak di sekolah? Cikgu ini beri panduan apa ibu bapa perlu tahu

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan