KOTA BHARU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tidak bersetuju dengan cadangan yang mahu subjek mengenali agama lain diajar kepada pelajar sekolah.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, subjek itu tidak sesuai di sekolah berpandukan sejauh mana penerimaan dan pemahaman yang boleh diterjemahkan oleh pelajar di sekolah itu sendiri.

Menurut beliau, pelajar universiti ialah golongan yang paling sesuai untuk memahami subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam.

“Asasnya sebagai satu cadangan kita boleh terima secara umum tapi dari segi pelaksanaan kita perlu bincang. Kita tidaklah menyatakan setiap agama sama, sebaliknya kita tetap kena yakin bahawa agama yang benar adalah Islam.

“Namun pada masa sama kita menghormati pilihan agama bangsa lain. Dari segi dakwah, kita mesti kira nisbah pelajar-pelajar Muslim.

“Jadi apabila setiap rakyat Malaysia fahami agama masing-masing, mudah untuk wujud kesepaduan, penghormatan antara satu sama lain, itu mungkin tujuan diajar agama lain kepada mahasiswa,” katanya kepada pemberita di Program Makan Colek dan Sembang Santai Sinar Ramadan di sini semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang memperkenalkan satu mata pelajaran khusus mahu mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.