SABAK BERNAM - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) melaksanakan lebih 60 program motivasi yang beri manfaat kepada 8,000 orang sehingga 2015.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, program cetusan beliau itu  dilaksanakan sejak 1992.

Menurutnya, program itu menjadi sebahagian daripada proses transformasi YBK dalam pembangunan modal insan menerusi kaedah pembasmian kemiskinan
menerusi pendidikan.

“Kumpulan sasar adalah pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dengan objektif memperkasa minda pelajar dengan konsep kecemerlangan yang mampan,” katanya pada Program Motivasi Semangat Mendaki YBK.

Seramai 250 pelajar dari sembilan sekolah terlibat antaranya Sekolah Menengah  Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, SMK Bagan Terap, SMK Seri Bedena, SMK
Sungai Besar, Sekolah Agama Menengah (SAM) Tengku Ampuan Jemaah. “Selain itu, Sekolah

 Menengah Kebangsaan  Agama (SMKA) Tun Rahah, SAM Pasir Panjang, SMK  Dato Mustafa dan Kolej Komuniti Sabak Bernam juga turut serta,” katanya.

Beliau berkata, modul motivasi itu menjurus kepada pemerkasaan  berterusan dan pembinaan semangat serta jati diri mampan.

Selain itu, modul Semangat Mendaki YBK juga mengintegrasikan konsep dan idea daripada Neuro- Linguistic Programming (NLP) dan Emotional Spiritual Quotient (ESQ).

Beliau berkata, pelajar diperkenalkan dengan konsep semangat mendaki dan lima teras utama yang menjadi keutamaan dalam modul tersebut. 

“Ini termasuk membina jati diri yang mantap dan menyeluruh, termasuklah penetapan matlamat diri, mengenal potensi dan keunikan, menggerakkan diri menuju impian, selain memperkasa emosi diri secara zahir dan batin,” katanya.