BUKAN mudah untuk mendidik anak-anak menghargai jasa dan pengorbanan seorang guru.

Malah, ia memerlukan kesabaran yang tinggi, agar penghayatan itu dapat di serap dalam diri anak-anak. Seperti mana video yang dikongsi oleh seorang bapa bernama Mohd Khidir Ridzuan di facebooknya ini.

Apa yang menarik, aksi seorang budak lelaki, berusia lima tahun ini mendeklamasikan puisi ‘Oh Guruku’ sempena Hari Guru sungguh mencuit hati. Tiada langsung rasa takut, bahkan puisi tersebut dapat disampaikan dengan penuh bersemangat.

 

Aksi bersahaja adik Muhammad Aqil Ridzqin Mohd Khidir Ridzuan.

Menurut bapanya, ketika itu anaknya berusia lima tahun, sekarang dah darjah tiga dan bersekolah di Sekolah Rendah St James Kudat Sabah. Tambahnya lagi, isterinya Saharida Saman yang banyak melatih anaknya itu menghafal puisi dan membuat persembahan. Mujurlah, anak sulung daripada empat beradik ini, berminat dan tidak langsung berasa malu.

Di sebalik kepetahan, keberanian dan lontaran yang penuh semangat, video ini mempunyai mesej yang tersirat. Guru bukan sahaja perlu dihormati, bahkan pengorbanannya juga harus dikenang sampai bila-bila. Bahkan, sudah menjadi kewajaran, guru itu perlu diberi penghormatan tertinggi berdasarkan sumbangan besar mereka dalam menyampaikan ilmu dan mendidik anak bangsa.