MARAN - Pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Jengka 2 gamat seketika apabila 93 guru dan 14 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) mengenakan pakaian Zaman Inggeris Abad ke-18, sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah, 30 April lalu.

Dengan tema 18th English Century itu, pelbagai jenis pakaian unik dan luar biasa telah digayakan oleh guru-guru berkenaan.

Guru lelaki telah mengenakan pakaian seolah-olah seorang peladang, petani, buruh, penjual surat khabar, penggembala lembu, golongan bangsawan, golongan remaja, rakyat biasa, penjenayah dan polis (sherif) pada zaman Inggeris abad ke-18.

Manakala bagi guru perempuan pula, mereka memakai pakaian yang berwatak kerabat diraja, anak-anak raja, golongan bangsawan, rakyat biasa, penjual bunga, golongan remaja dan kanak-kanak.

Guru Penyelaras Bestari, Nor Muhamad Yaacob berkata, tema Hari Guru bagi sekolah itu memang berbeza setiap tahun.

"Pada 2017 dan 2018, sekolah memilih tema Kesultanan Melayu Melaka dan Back to School.

"Bagi tahun ini pula, tema 18th English Century dipilih bagi menggambarkan Zaman Inggeris pada abad ke-18 yang mana latar belakang masyarakatnya yang miskin namun tetap berusaha untuk hadir ke sekolah," katanya.

Beginilah gelagat guru-guru mengayakan pakaian yang bertemakan Zaman Inggeris Abad Ke-18.  

Menurut Nor Muhamad, semua tema itu adalah hasil cetusan idea Pengetua, Saimah Hassan yang turut 'sporting' menggayakan pakaian seorang guru pada zaman tersebut.

"Cikgu Saimah memang seorang yang kreatif. Beliau sentiasa bergerak ke hadapan memikirkan sesuatu yang terbaik untuk pelajar dan guru-guru dalam semua perkara.

"Bukan sahaja tema, malah beliau cukup aktif dalam menyumbang idea dalam semua perkara," jelasnya yang bertugas sebagai jurugambar pada program tersebut.

Sambutan Hari Guru SMK LKTP Jengka 2 dianjurkan Kelab Cempaka iaitu sebuah Kelab Guru dan kakitangan Sekolah.

Selain guru-guru, turut hadir memeriahkan sambutan adalah 724 pelajar termasuk pelajar pendidikan khas dan peralihan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi menghargai warga guru sekolah berkenaan.

Antaranya, bacaan yasin dan tahlil, sukaneka guru dan AKP, ikrar guru Malaysia, persembahan guru dan pelajar.

Turut berlangsung, tayangan slaid sinopsis Zaman Inggeris abad ke-18 dan gimik perarakan di mana dua penjenayah zaman itu ditembak sherif.

Dua guru telah dipilih bagi memenangi Kategori Kostum Guru Terbaik.

Bagi guru lelaki, dimenangi Nor Muhamad manakala Kostum Guru Terbaik (Perempuan) diberikan kepada Norazura Hashim.

Nor Muhamad dan Norazura memenangi kategori Kostum Guru Terbaik bagi guru lelaki dan guru perempuan.

Bacaan yasin dan tahlil oleh guru SMK LKTP Jengka 2.

Perarakan masuk guru lelaki ke Dewan Al-Kindi bagi sambutan Hari Guru.

Rafirdaus (belakang) dan Mohd Hamka Mohd Nasir menjayakan watak sebagai peladang dan penjual surat khabar.

Nabila Yusof dengan watak kanak-kanak.

Noorazlina Hassan dan Ustaz Wan Zakaria Wan Ngah mengenakan pakaian 'cowboy' pada Hari Guru sekolah itu.

UCAPAN GURU

1) "Diharap para pendidik perlu bersedia, tingkatkan prestasi terutama dalam bidang teknologi maklumat yang berkembang maju dan menjadikan kerjaya guru sebagai suatu ibadah yang ikhlas."

- Nor Muhamad Yaacob, Guru Penyelaras Bestari

2) "Sempena sambutan hari guru tahun ini, saya berpesan kepada semua rakan guru agar berbanggalah dengan tugas anda kerana mendidik adalah tugas mulia dan jangan pernah mengalah walau apa jua cabaran yang datang."

- Nor Diana Abd Radzi, Guru Akademik Biasa 

3) "Masa terus pergi, tetapi perjuangan guru tidak pernah mati. Murid datang dan pergi silih berganti, tetapi guru tetap sentiasa berbakti. Selamat hari guru kepada seluruh warga pendidik."

- Rafirdaus Abd Malek, Guru Akademik Biasa

4) "Untuk cikgu-cikgu, semoga tabah menghadapi liku cabaran dalam arus pemodenan bidang pendidikan. Semangat juang guru tak akan luntur selagi hidup bergelar guru kerana kita adalah guru hebat yang mampu melahirkan ribuan orang-orang hebat. Begitulah berjasanya seorang insan yang bergelar guru. Selamat Hari Guru."

- Norazura Hashim, Guru Akademik Biasa

ARTIKEL MENARIK:

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizan buat warganet sebak

Penangan Sir Uzair dan Cikgu Zameer buat pelajarnya minat subjek yang dianggap paling susah faham

'Walau dikecam, ditohmah namun saya tetap bahagia dengan anak syurga', ini kata guru Pendidikan Khas

'Mereka tak pernah sayang saya, ustaz' - warganet sebak bila dengar luahan pelajar ini

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini