KLANG - Berbeza dengan sekolah lain kerana pada tahun ini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah menyambut Hari Guru sebanyak dua kali.

Guru Kaunselor, Zubaidah Ahmad berkata, pada mulanya guru SMK Tengku Ampuan Rahimah diraikan alumni pada Ahad lalu di Kelab Shah Alam tanpa sebarang bayaran kerana kos sepenuhnya ditaja oleh alumni sekolah itu.

Zubaidah (tengah) bersama anak muridnya Mohd Danial Haikal Hafiz Hafezul (kanan) dan Nur Iman Zikry Suhaidan (kiri).

“Bekas guru juga dipanggil oleh alumni untuk turut sama diraikan pada sambutan tersebut kerana mereka mengadakan anugerah tertentu untuk guru seperti Anugerah Idola.

“Pada 14 Mei, kami disambut sekali lagi oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah yang bertemakan ‘retro’ di mana pihak PIBG yang menyediakan kesemuanya dari segi makanan, persembahan dan sebagainya," katanya.

Norafizah memakaikan mahkota pada Haznah yang dinobat Pengetua Cemerlang.

Alumni SMK Tengku Ampuan Rahimah, Norafizah Norsih mengedarkan sekuntum bunga mawar kepada guru dan bekas guru yang hadir.

Menurut Zubaidah, pelajar juga turut terlibat pada sambutan kali kedua pada keesokan harinya itu.

Mereka diarak oleh pihak ibu bapa untuk ke lokasi majlis di mana pihak PIBG dan pelajar sudah bersedia untuk mempersembahkan persembahan mereka kepada guru SMK Tengku Ampuan Rahimah.

 

Guru diarak oleh pasukan kompang yang terdiri daripada pelajar asrama

Mohd Nazwan Ismail membuat persembahan nyanyian dengan Lagu Dendang Remaja mewakili guru SMK Tengku Ampuan Rahimah.

“Selama 17 tahun saya bergelar pendidik, kali ini saya rasa benar-benar dihargai kerana kami disambut dengan kejutan yang dibuat bekas pelajar dan ibu bapa.

“Kami sebagai guru tidak mengharapkan hadiah yang mahal dan mewah, tetapi cukup sekadar ingatan daripada pelajar mahupun bekas pelajar.. itu sudah membuatkan kami gembira dan dihargai,”katanya lagi.

Menurutnya, seramai 1,500 pelajar, 91 guru, dan 30 wakil PIBG yang terlibat untuk sambutan yang berlangsung di SMK Tengku Ampuan Rahimah.

Pelajar yang turut sama memeriahkan Sambutan Hari Guru kali ini.

Abdul Rahman dan Adliyah Ramli mendapat Anugerah Jasamu Dikenang sebagai bekas guru yang pernah menabur jasa di SMK Tengku Ampuan Rahimah.

 

 























  1.