MARANG - Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Balai di sini berjaya melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah ‘Most Exceptional Educator’ tahun ini.

Kamariah Awang, 37, terpilih daripada empat finalis dari seluruh negara bagi kategori tersebut pada Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia 2019 di Spice Arena di Pulau Pinang, kelmarin.

Dianjurkan FrogAsia dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia, ia merupakan anugerah tahunan bagi menghargai pendidik di seluruh negara.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Kamariah yang juga guru Bahasa Inggeris dan Matematik di SK Gong Balai berkata, beliau meletakkan minat dan cintanya dalam bidang pendidikan sehingga mampu melakukan apa sahaja dimahukan dengan mendapat sokongan semua tanpa sebarang kekangan.

“Saya hanya insan dan guru biasa, cuma apa yang saya lakukan sehingga berjaya ke tahap ini adalah saya benar-benar mengejar impian saya dan meletakkan keyakinan dalam diri sendiri.

“Namun kejayaan ini adalah milik semua, tanpa semua pihak yang terlibat siapalah saya. Tanpa sokongan juga tiada siapa mengenal saya dan saya mungkin tidak berdiri di sini hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, beliau turut menyifatkan anugerah kali ini memberi seribu makna dan rasa kepada dirinya.

“Untuk pengetahuan, saya juga menyambut hari lahir 10 Mei lalu. Saya juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata. Jadi kemenangan ini ibarat hadiah untuk hari lahir, Hari Ibu dan juga Hari Guru,” katanya.

Kata Kamariah, kejayaan itu juga berkat doa dan sokongan serta galakan daripada suaminya, Mohd Amir Idzham Iberahim, 37, yang sentiasa memahami kerjayanya sebagai seorang pendidik.

Anugerah yang diterima itu susulan kejayaannya menggunakan Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE) secara kreatif dan inovatif untuk pengajaran dan pembelajaran di SK Gong Balai.

ARTIKEL MENARIK:

Maszlee umum 7 inisiatif kurang beban guru dalam ucapan Hari Guru pagi tadi

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira... rupa-rupanya ini cerita mereka

'Derak Masuk Kapong' peluang guru SK Bukit Jarum dekati murid tak hadir ke sekolah

'Duduk dalam longkang' - Warga sekolah terkejut dekan datang sekolah

Mahu letak SK Mohd Shah sebaris sekolah ternama - Ini tekad guru besar sebelum bersara 2023