Kerajaan berharap semua warga Kementerian Pelajaran (KPM) terutamanya guru memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Malik berkata, YGMB telah mengorak langkah mewujudkan kerjasama dengan KPM dalam memacu aktiviti untuk memelihara kebajikan serta membantu memartabatkan profesion perguruan.

Katanya, cadangan YGMB mengenai satu skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada guru-guru khususnya yang bertugas mengiringi pelajar-pelajar untuk menghadiri sebarang aktiviti luar sekolah amat disokong.

“Pengorbanan guru tiada tolok bandingannya dan kita harap usaha untuk menganjurkan Festival Guru Malaysia (FGM) akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kehadiran semua telah menambahkan kemeriahan sambutan Hari Guru. Ini dibuktikan melalui pameran dan aktiviti yang menarik, kreatif dan inovatif dalam dunia pendidikan hari ini,” katanya ketika berucap pada sambutan FGM 2019 di Pusat Konvension Setia Spice di sini kelmarin.

Maszlee, Amin dan Pengerusi YGMB, Aminudin Adam bergambar bersama rakan penaja FGM 2019.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin; Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Tambahnya, KPM berharap agar festival itu dapat memberikan suntikan semangat kepada seluruh warga pendidik untuk terus melestarikan perkhidmatan yang cemerlang melalui kebijaksanaan baharu dan pengalaman bermakna.

Dalam pada itu, Maszlee berharap lebih ramai penaja yang tampil memberi sokongan dan tajaan kepada penganjuran FGM pada masa akan datang.

Maszlee memerhatikan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, Simpang Ampat mengendalikan aplikasi Boost pada Majlis Apresiasi dan Pameran Hari Guru sempena Festival Guru di Setia Spice Convention Centre. Aplikasi Boost berfungsi sebagai latihan pembelajaran kepada pelajar-pelajar dari sekolah rendah hingga menengah.

Maszlee berucap pada Majlis Apresiasi dan Pameran Hari Guru sempena Festival Guru di Setia Spice Convention Centre.

Reaksi

Perunding Jualan BSN Jalan Macalister, Atikah Rosli, 25

"Di FGM 2019, BSN beri tawaran menarik kepada pengunjung dan guru. Nombor Sijil Simpanan Premium yang dibeli sepanjang karnival ini akan diberikan keutamaan untuk dicabut dahulu pada bulan depan."

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Mohd Fuzi Mohd Nor

"Setakat ini, saya cukup berpuas hati dengan penganjuran FGM 2019 yang mendapat sambutan orang ramai. Antara yang menarik dalam festival ini adalah pameran pembelajaran abad ke-21 dan pentaksiran bilik darjah."

Pelajar SMK Teluk Kumbar, Nur Syaqirah Hamidi, 16

"Saya agak terkejut melihat festival ini, sangat besar dan ramai orang. Saya bayangkan macam pameran di dewan sekolah. Saya akan pergi kalau program seperti ini diadakan lagi pada masa akan datang.”

Guru Pendidikan Khas SK Titi Teras, Balik Pulau, Nur Atirah Mahazi, 30

"Saya tertarik dengan ciptaan inovasi Beezy Whizzy di FGM 2019 yang sangat sesuai digunakan untuk kelas pemulihan saya nanti. Ia menggunakan pelbagai deria selain saya suka dengan produknya yang berwarna-warni.”

Guru SK Sungai Korok, Rahmat Johari

"FGM 2019 cukup meriah dengan pengisian aktiviti yang menarik. Selain itu, banyak maklumat baharu dapat diperoleh para pengunjung yang hadir dalam festival berkenaan."

Artikel menarik:

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling daripada KPM

Maszlee umum tujuh inisiatif kurang beban guru dalam ucapan Hari Guru pagi tadi

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira... rupa-rupanya ini cerita mereka

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi