BAYAN BARU - Dua bekas guru dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Tokoh Guru Kebangsaan sempena Majlis Hari Guru 2019 Peringkat Kebangsaan ke-48 di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini semalam.

Tokoh Guru Kebangsaan, Nawi Ismail dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan, Datuk Asariah Mior Shaharuddin menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan lebih 3,500 warga pendidik yang datang dari seluruh negara.

Nawi, 62, yang menjadi pendidik selama 37 tahun berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih dengan anugerah yang terimanya.

Bekas guru Bahasa Melayu itu berkata, menerima ‘hadiah’ RM50 daripada seorang pelajar cemerlang yang mendapat tunjuk ajarnya adalah antara pengalaman paling manis buat dirinya.

“Ketika saya menyampaikan ucapan motivasi kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sebuah sekolah di Kemaman, Terengganu tahun lalu saya tak ingat apa yang saya katakan sehingga memberi semangat mendalam buat seorang pelajar ini.

“Pelajar ini orang susah dan dia berniat nak berhenti sekolah tetapi saya menasihatinya agar meneruskan pelajaran. Dia mendapat 4A dalam STPM dan dia mengirimkan wang RM50 melalui gurunya untuk diberikan kepada saya. Sehingga hari ini, saya tidak guna wang itu dan akan tetap menyimpannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Nawi ialah seorang pendidik yang aktif dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan komuniti setempat.

Beliau berasal dari Kuala Nerus, Terengganu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gemuruh dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Takir sebelum meneruskan pengajian Tingkatan Enam di SMK Padang Midin.

Beliau juga cemerlang sebagai jurulatih sukan seperti bola sepak dan sepak takraw.

Memulakan kerjaya sebagai guru di SMK Panji Alam, Kuala Terengganu pada 1980, dia kemudian menamatkan tugas sebagai guru di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu pada 2017.

Beliau juga menjadi panel dalam pembinaan Modul PdP Bahasa Melayu STPM, Modul Pembangunan Projek PKJR Miros, Pakar Perunding Mata Pelajaran Bahasa Melayu, Jurulatih Utama Sistem Pentaksir Baharu STPM Bahasa Melayu dan AJK Kawalan Mutu Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 1 hingga 3.

Beliau juga menghasilkan pelbagai jenis buku bertujuan membantu murid menguasai kemahiran Bahasa Melayu.

Sementara itu, Asariah merupakan bekas guru yang menamatkan perkhidmatan ketika memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) pada 2011.

Beliau yang berasal dari Layang- Layang Kanan, Parit, Perak mendapat pendidikan awal di SK Padang Tenggala di Bota, Perak.

Asariah memulakan kerjaya sebagai seorang guru di SMK Iskandar Shah dan setahun kemudian, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan perkhidmatannya di SM Perempuan Bukit Bintang.

Selepas menyambung pelajarannya, Asariah ditawarkan menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Seri Kota sebelum diberi kepercayaan sebagai Penolong Pengarah Unit Latihan dan Kemajuan Staf, Bahagian Pendidikan Guru bermula 1988 hingga 1999.

Beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap tugas yang diamanahkan mesti diłakukan secara terbaik supaya tidak timbul rasa kesal di kemudian hari.

Nawi dan Asariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000; loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Artikel menarik:

Hari Guru SMK LKTP Jengka 2 gamat, guru kembali ke zaman Inggeris abad ke-18 (15 foto)

SK Seri Budiman, jadi duta cegah denggi

Tulisan Dr Maszlee mengenai guru dan Hari Guru ini amat menyentuh hati

Nyanyi lagi 'Bahenol', aksi comel si cilik ini curi perhatian

Sebak ketika buat ucapan Hari Guru, Tun M minta pendidik teruskan usaha murni (3 foto)