SAMBUTAN Hari Guru pada tahun ini cukup bermakna kerana ia jatuh pada bulan Ramadan yang mulia.

Seantero negara meraikan dan menghargai jasa guru atas sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada negara.

Dalam dunia globalisasi tanpa sempadan ditambah dengan teknologi yang cepat berubah menjadikan peranan guru semakin mencabar.

Selaras dengan perubahan itu, strategi pengajaran dan gaya pembelajaran juga perlu diubah secara radikal.

Melihat transisi itu, seorang guru tuisyen yang dikenal sebagai Uzair Mohd Taib, 23 atau Sir Uzair menarik minat pelajar mencintai subjek Matematik menggunakan teknik pengajarannya yang tersendiri.

SIR UZAIR sentiasa memikirkan teknik interaktif dalam mengajar subjek Matematik.

Pendekatan Sir Uzair di bilik darjah menjadi tular di media sosial.

Seorang lagi pendidik, Syahizam Zamir Sharifudin, 31, atau Cikgu Zameer juga menggunakan skil keseniannya ketika mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Memang sukar untuk menafikan peranan seorang guru yang sentiasa bekerja keras untuk membentuk anak bangsa yang bakal mencorak masa depan negara.

Cikgu Uzair Mohd Taib, 23, atau lebih dikenal sebagai Sir Uzair dan Syahizam Zamir Sharifudin, 31, atau Cikgu Zameer bagaikan mempunyai magis yang berjaya menarik minat pelajar untuk menguasai Matematik dan Bahasa Inggeris.

Sir Uzairi merupakan pendidik yang cukup popular.

Menerusi carian ‘Sir Uzairi Matematik’, artikel mengenai dirinya terlalu banyak.

Menyelak profil Sir Uzair, beliau merupakan guru tuisyen subjek Matematik sepenuh masa.

Beliau dikenali ramai ekoran teknik pengajarannya yang lain daripada lain.

Ramai menyimpulkan, pendekatannya telah mengubah persepsi masyarakat terhadap subjek yang sentiasa dianggap susah itu.

CIKGU Zameer (belakang, tengah) bergambar dengan para pelajarnya yang memenangi satu pertandingan menyanyi baru-baru ini.

Berlainan pula cerita Cikgu Zameer.

Beliau menjadi tular disebabkan gambarnya dikaitkan dengan kes ‘Surat Cinta untuk Cikgu Hanafi’.

Sebenarnya, dirinya tiada kena mengenai dengan surat itu tetapi memandangkan beliau memiliki wajah yang tampan, membuatkan fotonya telah dieksploitasi sesuka hati.

Minat mendalam

Sir Uzair berkata, institusi pendidikan memang serasi dengan dirinya berbanding dengan kerjaya lain meskipun beliau mempunyai sijil dalam bidang kejuruteraan.

“Saya sebenarnya sudah lama mengajar tuisyen dan memulakan kerjaya itu di premis milik abang ipar, Math Clinic yang terletak di Klang Valley, Kuala Lumpur.

“Saya juga pernah dipanggil menjadi cikgu di sebuah sekolah,” katanya yang kini sibuk memenuhi undangan melakukan seminar di seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Dek kerana mahu membantu lebih ramai orang daripada bertumpu kepada satu sekolah, beliau menolak pelawaan itu dengan baik.

Bagi Cikgu Zameer pula, beliau sememangnya meminati bidang pendidikan sejak di bangku sekolah lagi.

Bak kata peribahasa ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

“Arwah datuk saya pernah bekerja sebagai guru. Jadi, keluarga mengharapkan saya mewarisi kerjaya sebagai pendidik.

“Saya gembira dengan pilihan ini dan sering mengingatkan diri untuk bekerja bersungguh-sungguh. Sesungguhnya, pekerjaan sebagai guru sangat mulia,” kata guru Bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah di Ampang, Selangor itu.

Cabaran

Bercerita tentang cabaran berdepan dengan para pelajar pada zaman ini, Sir Uzairi dan Cikgu Zameer senada menyatakan bahawa corak pemikiran generasi baharu bukan semakin ke hadapan dan lebih berdaya saing.

Sir Uzair berkata, beliau pernah ditanya soalan yang beliau sendiri tidak tahu jawapannya.

“Semenjak itu, saya selalu ingatkan diri supaya bersedia dengan 1,001 soalan bakal ditanya oleh pelajar.”

“Selain itu, saya akan menggunakan teknik pembelajaran lebih interaktif. Saya tidak akan benarkan pelajar duduk diam dalam kelas. Maklumlah, pelajar-pelajar ini biasanya hanya mampu fokus kepada apa yang diajar sekitar 20 minit. Jadi, saya perlu sentiasa menarik perhatian mereka,” katanya.

Lazimnya, semasa mengajar Matematik, Sir Uzair akan mengaitkan isu semasa termasuk memahami trend kesukaan remaja masa kini.

Cabaran Cikgu Zameer juga tidak kurang hebatnya lebih-lebih lagi subjek Bahasa Inggeris yang bukan menjadi subjek kegemaran para pelajar.

“Apa yang saya lakukan adalah menggunakan kemahiran seni yang ada pada diri saya seperti tarian, nyanyian dan  melukis.

“Kanak-kanak mudah belajar apabila kita menggunakan pendekatan 'fun learning' berbanding jika kita minta mereka membaca buku sahaja,” ceritanya yang sudah tujuh tahun bergelar cikgu.

Sama ada Sir Uzair atau Cikgu Zameer, tiada apa yang lebih bermakna kepada mereka selain dapat membantu membina karakter cemerlang dalam kalangan pelajar dan melahirkan sebanyak mana ramai pemimpin pelapis pada masa depan.

Sesungguhnya, jasa guru memang sukar dihitung. Mereka bekerja bukan hanya semata-mata untuk mendapat gaji malah mereka ialah kunci pembangunan bangsa. Selamat Hari Guru.

CIKGU Zameer menjadi tular kerana ketampanannya.

ANEKDOT

NAMA PENUH: Syahizam Zamir Sharifudin (Zameer)

UMUR: 31

ASAL: Ampang, Kuala Lumpur

STATUS: Bujang

MATA PELAJARAN DIAJAR: Bahasa Inggeris

BERTUGAS: Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jaya, Ampang, Selangor

MULA BEKERJA SEBAGAI PENDIDIK: 2012

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kimia & Diploma Pendidikan TESL

HOBI: Berlari

ANUGERAH: Anugerah Khidmat Cemerlang 2017

UCAPAN HARI GURU: Selamat hari guru kepada semua insan bergelar pendidik termasuk semua guru yang pernah mengajar saya dari sekolah hingga universiti.

ANEKDOT

NAMA PENUH: Uzairi Mohd Taib/Sir Uzairi

UMUR: 23 Tahun

ASAL: Kuala Lumpur

STATUS: Bujang

MATA PELAJARAN DIAJAR: Matematik

BERTUGAS: Pusat Tuisyen Math Clinic, Klang Valley

PENDIDIKAN: Kejuruteraan UiTM Puncak Alam, Shah Alam

HOBI: Membaca

UCAPAN HARI GURU: Selamat Hari Guru kepada semua guru di luar sana, di sekolah, di pusat tuisyen, di semua institusi pendidikan mahupun di rumah. Teruskan menjadi inspirasi dan pelita kepada anak bangsa. Terima Kasih cikgu!

Kredit: Oh!Lelaki

Artikel menarik:

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling daripada KPM

Maszlee umum tujuh inisiatif kurang beban guru dalam ucapan Hari Guru pagi tadi

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira... rupa-rupanya ini cerita mereka

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi