BUAT julung kali sambutan hari guru peringkat daerah Sepang dikelolakan sepenuhnya oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa Komuniti (KPIBK) serta Komuniti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, 5 Mei lalu.

Ia turut melibatkan kerjasama erat pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan iaitu KIP Mall, Kota Warisan dan YaPeim.

Penyelaras Yang Dipertua PIBG PPD Sepang, Helmy Arshad berkata kini tiba waktunya untuk melakukan perubahan anjakan paradigma dengan PIBG dan KPIBK sebagai peneraju serta pengelola program tersebut.

"Idea tersebut tercetus hasil keprihatinan dan kecintaan beliau terhadap warga pendidik di PPD Sepang yang telah berjasa kepada pembangunan modal insan dan kecemerlangan semua murid serta pelajar seluruh sekolah di bawah naungan PPD Sepang.

"Kebiasaannya, sambutan hari guru hanya berlegar dalam kalangan guru-guru sahaja, jadi kali ini kami sendiri mencari sumber dana, mengeluarkan biaya sendiri dan meraikan diri mereka sendiri," katanya.

Helmy turut bersyukur kerana telah berjaya menyatukan dan meyakinkan seluruh warga Sepang termasuk PIBG, PIBK, PPD Sepang, seluruh sekolah rendah, SJK(T), SJK(C), SK (Asli) dan Sekolah Amanah dalam menggerakkan usaha mengelola majlis Sambutan Hari Guru Peringkat PPD Sepang sehingga mencapai  kejayaan yang luar biasa.

"Saya tidak menyangka bahawa idea tersebut mampu diterjemah dengan baik dan turut mendapat kerjasama penuh dari KIP Mall dan YaPeim.

"Penganjuran sambutan ini turut mendapat sokongan, dokongan dan galakan sepenuhnya oleh Arbaen Penin, selaku orang nombor satu di PPD Sepang," katanya.

Sementara itu, turut diadakan pelancaran 'Terima Kasih Cikgu' dan Pelancaran rasmi Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti PPD Sepang dan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Tuan Shaari Osman.

Katanya lagi, Datuk Hasnan Abdullah telah dipilih secara rasmi sebagai pengerusi PIBK PPD Sepang.

"Beliau banyak membantu saya dalam menyelaras dan menggerakkan ibu bapa dan komuniti dalam merealisasikan majlis tersebut.

"Gabungan kedua pemimpin ini, telah membuka mata banyak pihak bahawa jika diberi kepercayaan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan. Sejarah baru telah tercipta di PPD Sepang, Jabatan Pendidikan Selangor dan KPM," katanya.

Menurut Setiausaha PIBK Sepang, Haidzir Sham Haji Masngat hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahukan Sambutan Hari Guru dilaksanakan oleh PIBG dan PIBK telah berjaya disambut dan direalisasikan.

"Ia menepati inti pati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, pada Anjakan ke 9, Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti. Sarana tersebut tidak sekadar satu bentuk penulisan tetapi berjaya diterjemah dengan baik oleh PIBG dan PIBK Sepang.

"Pada hari tersebut bukan saja guru yang cemerlang diberikan anugerah, malahan YDP PIBG dan tokoh pemimpin setempat yang telah banyak menabur bakti dan jasa kepada dunia pendidikan turut diberi penghargaan dan pengikhtirafan," katanya.

Katanya lagi, tetamu turut dijamu dengan buah durian di akhir majlis.

"Semua tetamu sangat gembira, ada yang menitiskan air mata kebahagiaan dan amat  menghargai usaha besar ini dalam meraikan Sambutan Hari Guru yang sebenar.

"Pada masa akan datang PIBG dan PIBK Sepang akan sekali lagi bergabung kepakaran dalam mengelola dan melaksanakan program tersebut dan sebarang program besar yang memerlukan bantuan mereka sekiranya diperlukan," katanya.