BAYAN BARU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebak sewaktu mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ di hadapan ribuan guru dan tenaga pengajar ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Guru 2019 Peringkat Kebangsaan ke-48 di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini semalam.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir turut meminta agar semua pendidik meneruskan usaha murni dan yakin bahawa tugas guru merupakan amanah dan tugas yang mulia.

“Syabas dan tahniah kepada semua guru dan warga pendidik. Semoga semua guru diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan. Dalam mana-mana tradisi, agama, adat dan budaya, guru-guru diletakkan di kedudukan yang amat tinggi dan ada kalanya sebaris dengan ibu bapa dan penjaga anak-anak kita.

“Guru dimuliakan kerana tugasnya amat murni iaitu mendidik anak-anak supaya mereka bersedia untuk melalui cabaran apabila dewasa. Di samping itu, guru berpegang kepada nilai-nilai murni serta prinsip sejagat ke arah kebaikan dan menentang kejahatan,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut menyarankan agar lebih ramai pemain industri utama di negara ini bergiat aktif dalam membangunkan modal insan dan menyokong pendidikan Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, mereka juga diharap membantu untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja terutama graduan dalam bidang itu.

“Sistem pendidikan TVET akan terus berperanan sebagai 'game changer' dalam menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta menjadi enjin pembangunan negara.

“Oleh itu, Kementerian Pendidikan sebagai penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional mestilah terus komited dalam memperkasa kerjasama antara industri dan mempergiat kolaboratif merentas institusi TVET,” katanya.

Dr Mahathir berkata, negara ketika ini sedang menuju Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) yang menuntut guru menanamkan minat dan kesedaran untuk mempelajari serta menguasai mata pelajaran berasaskan Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Teknologi.

“Sehubungan itu, pendidik perlu terus sensitif terhadap perubahan arus dunia pendidikan yang kini bergerak dengan pantas.

“Pendidikan TVET bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi penting untuk Malaysia menghadapi IR 4.0. Dalam konteks ini, kemampuan graduan dan tenaga pengajar TVET di institusi latihan perindustrian dilihat mampu menghasilkan ciptaan yang belum pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya.

Artikel menarik:

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling daripada KPM

Maszlee umum tujuh inisiatif kurang beban guru dalam ucapan Hari Guru padi tadi

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohaizan buat warganet sebak

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira... rupa-rupanya ini cerita mereka