Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Luar ditubuhkan pada tahun 1958. Sekolah ini terletak di daerah Batu Pahat, Johor.

Sekolah ini ditubuhkan pada 1958 dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Pahat merupakan antara sekolah menengah aliran Melayu yang pertama di Tanah Melayu.

Ketika dalam pembinaan pelajar sekolah ini menumpang di 'High School Batu Pahat'.

Bangunan yang sedia ada mula dibina pada awal Julai 1960 oleh Jabatan Kerja Raya Batu Pahat di bawah tanggungjawab pemborong Ong Kah Hoe dengan perbelanjaan lebih kurang RM150,000 tidak termasuk harga kerusi, meja dan kelengkapan lain.

Pelajaran telah dimulakan pada Isnin 2 Januari 1961 iaitu daripada awal penggal persekolahan bagi penggal pertama 1961.

Pada mulanya sekolah ini mengandungi empat bangunan yang mengandungi 16 kelas, sebuah bilik guru, sebuah bilik pentadbiran dan sebuah stor kecil, termasuk sebuah bangunan untuk kantin  serta sebuah bangunan untuk tandas.

S V Ponniah, bekas Ketua Pegawai Pelajaran Johor, adalah pengasas sekolah ini.

Tujuan dan cita-cita beliau menjadikan sekolah ini sebuah sekolah menengah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang sepenuhnya mengikut bagaimana Dasar Pelajaran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sekiranya sekolah ini belum dibangunkan Sekolah Tinggi Batu Pahat akan menghadapi kesulitan untuk memuatkan pelajar menengah Melayu yang semakin bertambah bilangannya di sekolah itu.

Sekolah yang didirikan ini memuatkan 763 pelajar pada 2 Januari 1961.

Dengan  persetujuan Ketua Pegawai Pelajaran Johor dan Pegawai Daerah Batu Pahat serta pihak berkuasa, sekolah ini diubah namanya dengan rasmi kepada Sekolah Dato’ Bentara Luar iaitu mengambil sempena dari gelaran Dato’ Md Salleh Perang, Dato’ Bentara Luar Johor, yang telah membuka Batu Pahat ini.

Dalam Julai 1960, batu asas sekolah ini telah diletakkan sebagai memperingati kematian Dato’ Bentara Luar pada 12 Julai 1915.

Bagi mengelakkan salah faham dan kesulitan lain yang mungkin timbul, perkataan 'New Secondary School' ditambahkan dalam kurungan di papan nama sekolah. Pada Jumaat 7 Ogos 1964, sekolah ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Abd RahmanTalib Menteri Pelajaran ketika itu.
 

VISI

SMK Dato’ Bentara Luar muncul sebagai salah sebuah sekolah menengah yang unggul di Batu Pahat pada tahun 2011

MISI

Memberi peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar
Mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dalam sekolah
Melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum

MATLAMAT

Melahirkan tenaga manusia yang berilmu, berbudi bahasa, berdisiplin, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berteknologi dalam masyarakat bagi memenuhi keperluan negara maju menjelang tahun 2020