Sekolah Kebangsaan Seri Laksana atau nama ringkasnya SK Seri Laksana, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Parit Maimon, Mukim 4.

Sekolah Kebangsaan Seri Laksana memiliki murid seramai 667 orang. Ia mempunyai seramai 54 orang guru.

Sejarah

Penubuhan sekolah ini bermula dengan pembinaan sebuah bangunan kayu yang mengandungi 6 buah bilik darjah dengan bantuan RIDA sebanyak RM 4,200.00 dan sumbangan pendudukan kampung sebanyak RM 500.00 di atas sebidang tanah seluas 2 ekar yang diwakafkan oleh Penghulu Kiai Haji Mohd Salleh bin Abd Karim ( Penghulu Salleh ).

Pembinaan sekolah ini banyak menimbulkan kontroversi di antara penduduk setempat. Penduduk Kampung Parit Mohamad berhajatkan sekolah ini dibangunkan di kampungnya. Tapak sekolah disediakan, hanya persetujuan yang dinantikan.

Manakala Penghulu Mukim itu iaitu Tuan Haji Mohd Salleh bin Abd Karim yang dikenali sebagai Kiai Salleh atau Penglima Salleh yang menetap di Parit Maimon berkehendakkan sekolah didirikan di tanah yang diwakafkannya di kampung itu.

Malangnya penduduk Parit Maimon kurang memberi sokongan kepada Haji Salleh gara-gara perbezaan politik. Berbanding dengan penduduk-penduduk Parit Mohamad yang menjadi penyokong kuatnya. Apabila keadaan menjadi tegang, Penghulu Salleh menjadi serba salah.

Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk mendirikan sekolah ini di Kampung Parit Maimon dengan syarat ia mesti disiapkan dalam tempoh 40 hari. Sebaliknya jika gagal ia dipindahkan ke Parit Mohamad.

Berkat kerjasama dan ketekunan orang ramai akhirnya sebuah bangunan berukuran 30 kaki x 120 kaki siap dibangunkan dalam masa yang ditetapkan. Semua pihak gembira sekolah yang menjadi kontrovesi sudah terlaksana dan akhirnya mengabadikan nama " LAKSANA " untuk sekolah ini.

Ada rancangan untuk menamakan sekolah ini dengan nama "SERI PENGLIMA" sempena nama pengasasnya iaitu Penglima Salleh. Tetapi nama tersebut telah terlebih dahulu diberi kepada sebuah Sekolah Cawangan Sungai Nipah. Maka dengan sendirinya cadangan itu gugur dan kekallah nama SERI LAKSANA.

Perasmian bangunan sekolah rakyat telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat ketika itu iaitu Encik Abdullah bin Sulaiman. Tuntutan terhadap pendidikan terus meningkat selepas itu dan selepas 12 tahun, pembinaan sebuah bangunan tambahan separuh kekal telah dimulakan yang mengandungi 4 buah bilik darjah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seterusnya pada 1 Januari 1966 sekolah ini ditukar nama kepada SEKOLAH KEBANGSAAN SERI LAKSANA dan ianya kekal sehingga kini.

 

VISI

Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera

MISI

Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berterusan

MOTTO

Sederap Kita Seiring Langkah