Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan atau nama ringkasnya SK Seri Pengkalan, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Parit Kuda, Semerah.

Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan memiliki 84 pelajar lelaki dan 87 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 171 orang. Ia mempunyai seramai 15 orang guru.

Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan telah ditubuhkan pada tahun 1955 di atas sebidang tanah yang terletak di Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat. Tanah tersebut dibeli daripada Tuan Haji Jaafar bin Ain yang merupakan pemilik tanah.

Pembinaan sekolah ini mendapat kerjasama daripada penduduk setempat yang sama-sama menyumbang tenaga dan wang ringgit bagi memastikan projek yang ingin dilaksanakan berjalan lancar. Dalam projek yang dirancang, penduduk telah melantik Cikgu Haji Jasmon bin Md. Said selaku Pengerusi dan Tuan Haji Kamaluddin dilantik sebagai Penaung.

Tanah yang dibeli adalah daripada sumbangan penduduk yang telah sama-sama membantu menderma dengan ketetapan bayaran RM5.00 setiap orang berdasarkan kepada setiap ekar tanah yang dimiliki. Hasil sumbangan derma ini, penduduk telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM3000.00.

Diatas sebidang tanah yang telah dibeli tersebut, penduduk bersama-sama bergotong-royong mendirikan sebuah bangunan kayu yang mempunyai empat bilik darjah. Selain itu, sebuah rumah untuk guru besar turut dibina. Proses pembinaan ini memakan masa sehingga lima bulan untuk disiapkan.