Sekolah Kebangsaan Seri Utama atau nama ringkasnya SK Seri Utama, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Kampong Sungai Nibong Semerah.

Sejarah

Kesedaran dan keinsafan penduduk Kampong Sungai Nibong betapa pentingnya pendidikan yang sempurna terhadap anak-anak supaya tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan negara merupakan agenda utama dalam usaha mewujudkan sebuah sekolah.

Pada tahun 1928 terbinalah sebuah sekolah yag diimpikan hasil kerjasama dan rasa tanggungjawab penduduk dan dinamakan Sekolah  Melayu Sungai Nibong. Sekolah ini diterajui oleh Guru Besar Encik Muhammad bin Tahir sehingga tahun 1934.

Tiga tokoh utama yang merupakan nadi penggerak atas kejayaan ini ialah Ketua Kampong Sungai Nibong iaitu Tuan Hj Hassan b Taibi, Ketua Kampong Semerah iaitu Tuan Hj Surat dan Ketua Kampong Lubok iaitu Tuan Hj Nawawi.

Bahan-bahan untuk mendirikan sekolah telah didermakan oleh penduduk 3 buah kampong tersebut dan bahan-bahan berupa kayu-kayu dari pokok kayu hutan sekitarnya. Bangunan sekolah siap dibina dengan beratapkan nipah, berlantaikan papan yang hanya cukup untuk 3 bilik darjah sahaja.

Pada sekitar tahun  1930 hingga 1932 sekolah ini terpaksa ditutup kerana kekurangan murid. Pada tahun 1933 Sekolah Melayu Sungai Nibong beroperasi semula dan muridnya bertambah ramai sehingga mencecah 80 orang.

Guru yang bertugas disekolah yang serba kekurangan ini ialah seramai 3 orang guru dan diketuai oleh Cikgu Adam bin Husin sebagai Guru Besar pada tahun 1935 sehingga 1937. Gaji guru-guru tersebut dibayar oleh penduduk kampong.

Selepas zaman pemerintahan Jepun pada tahun 1946 Sekolah Melayu Sungai Nibong beroperasi seperti biasa dan enrolmen murid bertambah ramai hingga mencecah 100 orang. Bilik-bilik darjah perlu ditambah bagi menampung murid yang ada.

Sekali lagi penduduk kampong telah bergotong royong menyambung bangunan yang sedia ada dengan menggunakan bahan –bahan tempatan hasil sumbangan derma orang ramai.

 

Visi

Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera

Misi

Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara


Matlamat Sekolah

Setiap murid dapat membaca, menulis dan mengira serta menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains.

Setiap murid belajar cara mendapat pendidikan sepanjang hayat, cara menghubungkait pelbagai pengetahuan berbeza, dan cara untuk menjana pengetahuan baru.

Setiap murid dapat mencapai potensi diri sepenuhnya melalui peluang bekerja dalam kumpulan dan memegang peranan kepimpinan secara formal dan informal.

Setiap murid, pada tahap minima dapat menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, dan digalakkan untuk mempelajari Bahasa Arab.

Setiap murid mempunyai nilai penghayatan Islam yang kukuh untuk mendepani pelbagai cabaran kehidupan dan membantu mereka membuat keputusan yang tepat.

Setiap murid tanpa mengira etnik  atau status sosioekonomi dapat merasa bangga dikenali sebagai anak Malaysia.