Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan atau nama ringkasnya SK Seri Sekawan, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Desa Kampong Parit Kahar.

 

Sejarah

Pada peringkat awal SKSSD telah dibina di perkarangan Masjid Jamek Kampung Parit Kahar. Sekolah ini telah diasaskan oleh Tuan Haji Mustahid yang bertujuan memberikan pendidikan agama kepada penduduk kampung di sekitarnya.

Pada Tahun 50-an sekolah ini telah dipindahkan ke simpang antara Kampung Parit Kahar dan Parit Seniman bagi memudahkan semua penduduk kampung yang berhampiran dapat mengikuti pendidikan yang dilaksanakan.

Cadangan pemindahan ini telah dicadangkan oleh ketua kampung yang ketika itu ialah Tuan Haji Sulaiman Bin Moin. Cadangan tersebut telah dipersetujui oleh semua penduduk kampung.

Mengikut perkembangan sekolah ini dari peringkat awal hingga sekarang talah mengalami banyak perubahan terutamanya dari segi struktur bangunan. Pada awal pembinaan sekolah, bangunan sekolah hanya beratapkan rumbia hasil gotong-royong penduduk kampung. Kemudian, atap rumbia telah digantikan dengan zink tetapi masih berlantaikan tanah.

Beberapa tahun kemudian, sekolah ini telah mendapat peruntukan daripada kerajaan yang berupa bangunan kekal.

Pada tahun 80-an, bangunan sekolah sekali lagi ditukar kepada bangunan tiga tingkat yang lebih kukuh, cantik dan bermutu tinggi setanding dengan sekolah lain. Pada tahun 2002, sekali lagi sekolah ini berubah wajah apabila sekolah ini telah mendapat peruntukan bangunan yang lebih canggih dan sesuai dengan era perubahan pendidikan pada masa kini.