Asalnya sekolah ini adalah sebuah Sekolah Rakyat. Ianya  diasas dan didirikan oleh orang-orang  kampung. Bahannya terdiri  daripada kayu yang diambil dari persekitaran.Pembinaannya hanya dengan memasang dinding dan bumbung tampa berlantaikan simen.

Sekolah Rakyat ini dibuka mulai 01 April 1935 bersamaan tahun Hijrah 1355. Guru Besar pertamanya ialah En Abd Wahab b Mohd Noor dan pembantunya En Tajuddin b Md Yussof.

Jumlah murid ketika itu  seramai  80 orang dan kesemuanya adalah lelaki. Kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan bersekolah ketika itu. Pada tahun 1950, kerajaan telah mengambil alih sekolah rakyat menjadi sekolah kerajaan sepenuhnya.

Projek pembinaan bangunan sekolah baru dimulakan dalam bulan Disember 1979.Bangunan dua tingkat telah dibina dengan 12 bilik darjah, pejabat, bilik guru, tandas guru dan murid serta lain-lain kemudahan.

Proses pembinaannya memakan masa selama satu tahun. Pada bulan Ogos 1980, bangunan baru telah digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Jumlah murid ketika itu seramai  420 orang.

Pada tahun 1982, sebuah sekolah cawangan telah dibina di Ulu Tawar.Tujuannya untuk memberi kemudahan kepada murid-murid dari Kampung Padang Belon dan sekitarnya , yang terpaksa berulang alik ke SK Badang sejauh 4 batu.

Jumlah murid di SK Badang cawangan  ketika itu ialah seramai 160 orang. Sekolah cawangan ini diurus oleh Penolong Kanan, En Abd Aziz b Man. Pada  Januari 1984, SK Ulu Tawar (sekolah cawangan SK Badang) dipisahkan pentadbirannya dari SK Badang.

Penyelianya ialah En Kamarudin b Md Yussof dari SK Kupang . Jumlah murid SK Badang berkurang menjadi 260 orang.