Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Temoh memiliki 84 pelajar lelaki dan 84 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 168 orang. Ia mempunyai seramai 21 orang guru. 

 

Sejarah Awal Sekolah Kebangsaan Temoh

Kawasan terawal berkerajaan di negeri Perak ialah Manjung dan Beruas. Kedua-dua kawasan tersebut telahpun terkenal sebagai negeri yang ditadbir oleh Orang-Orang Besar yang kemudian bernaung di bawah kesultanan Melaka. Setelah Melaka jatuh di tangan Portugis, Orang Besar Perak telah menjemput anakanda Sultan Mahmud, sultan terakhir Melaka, untuk menjadi Sultan Mudzafar Syah I di negeri Perak. Semenjak dari itu, iaitu pada 1528, negeri Perak menjadi sebuah kerajaan yang bersultan dan berdaulat. Ramai sultan telah memerintah dan banyak peristiwa telah berlaku sehingga pada 1874 apabila Perak mula ditadbir oleh Residen British. Sistem pendidikan sekolah Melayu bermula setelah British memerintah Perak (dan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Tanah Melayu). 

Penubuhan sekolah-sekolah didorong oleh kehendak masyarakat yang bilangannya mencukupi supaya ia tidak sia-sia. Masyarakat juga sedar bahawa pendidikan merupakan harta yang paling kekal bagi anak-anak mereka. Demikian jugalah keadaannya dengan penubuhan Sekolah Kebangsaan Temoh yang pada mulanya digelar Sekolah Melayu Temoh. Ia didorong oleh masyarakat yang bilangannya pada awal kurun ke-20 mulai berkembang dengan pesatnya. Keadaan ini adalah disebabkan oleh perkembangan ekonomi perlombongan dan pertanian di persekitarannya serta perkembangan perhubungan jalan keretapi dan jalanraya.


Perkembangan Ekonomi, Perhubungan Jalan Keretapi / Jalanraya dan Temoh

Pada awal kurun ke-19 Perak sudah dikenali sebagai pengeluar bijih timah yang terpenting di rantau ini. Ini telah menggalakkan ribuan orang-orang Cina dari Negeri-Negeri Selat dan Tanah Besar China untuk meneroka kawasan perlombongan terutama di kawasan Larut dan Matang di utara Perak. Pergaduhan dalam kalangan pelombong-pelombong di pertengahan kurun tersebut telah mendorong pihak berkuasa British di Negeri-Negeri Selat yang pada masa itu berpusat di Pulau Pinang, untuk campur tangan secara tidak langsung. Kepesatan pengeluaran bijih timah ini juga telah menyebabkan pembesar-pembesar negeri berselisih di antara satu sama lain kerana berebutkan kawasan-kawasan yang kaya. Ini telah berentetan dan melibatkan juga rebutan takhta dalam kalangan pewaris negeri sehingga pada 1874 secara langsung British mula menjajah Perak. Dengan pemerintahan mereka perlombongan di kawasan ini menjadi lebih pesat kerana British telah mengenalkan dasar ekonomi laissez-faire (bebas). Akibatnya ribuan pemodal dari negeri-Negeri Selat dan Eropah telah menderu ke kawasan perlombongan yang kaya, khususnya di kawasan Larut dan Matang, dan menjadikan Taiping sebagai pusat pentadbiran negeri.

Rentetan dari perkembangan perlombongan tersebut jalan keretapi telah dibina dari pelabuhan Larut di Teluk Kertang ke Taiping dan disambung ke Port Weld mulai pada 1881 untuk memudahkan pemunggahan eksport bijih timah ke Pulau Pinang dan barang-barang import ke kawasan ini. Di antara 1889-1895 perlombongan bijih timah berkembang ke kawasan Kinta yang didapati lebih kaya dari Larut-Matang. Justeru, pembinaan jalanraya dan jalan keretapi juga mengarah ke kawasan yang baru ini, iaitu dari Taiping ke Ipoh. Pada 1893 Tapah Road di sebelah selatan telah dihubungkan dengan jalan keretapi ini dengan pelabuhan Teluk Intan (dahulunya Teluk Anson) di kawasan Hilir Perak. Pada 1896 Ipoh dapat dihubungkan secara langsung dengan Teluk Intan. Biasanya pembinaan jalan keretapi ini dilengkapi hampir selari dengan jalanraya. Pekan Temoh terletak kira-kira 6 batu dari selatan Kampar dalam kawasan Kinta yang kaya dengan perlombongan bijih timah dan 6 batu di utara Tapah, pusat pentadbiran British bagi daerah Batang Padang yang mempunyai 35 buah estet getah berdaftar. Jalan keretapi dan jalanraya dari Taiping-Ipoh-Tapah Road ke Teluk Intan melalui Temoh. Dengan itu juga, Temoh yang sebelum ini agak sunyi menjadi tumpuan baru penduduk-penduduk dari pelbagai kaum. Mereka yang mempunyai modal membuka kebun-kebun kecil getah, atau terlibat dalam penjualan getah, dan yang lain-lain pula mencuba nasib sebagai pekerja-pekerja di estet-estet atau di kebun sendiri, ataupun di perlombongan bijih timah. Kebnyakan penduduk Melayu membuka petempatan di sebelah utara dan selatan jalan keretapi. Si sinilah terbinanya Kampung Temoh Stesen, tempat didirikan sebuah sekolah Melayu pada 1907.