Sekolah Kebangsaan Sena atau nama ringkasnya SK Sena, merupakan sebuah sekolah rendah yang terletak di Kangar, Perlis, Malaysia dan diiktiraf sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan Malaysia.

SK Sena terletak berhampiran dengan beberapa taman perumahan seperti Taman Merpati, Taman Ira dan Taman Firdaus. Beberapa ratus meter dari sekolah ini juga terdapat Institut Perguruan Perlis, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis dan sebuah Institut Latihan Perindustrian.

Visi

Sekolah Kebangsaan Sena dari Sekolah Kluster Kecemerlangan ke Sekolah Berprestasi Tinggi


Misi

Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid melalui pengurusan yang berkesan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sejarah

Sekolah Kebangsaan Sena telah ditubuhkan pada 1 Disember 1992.

Pada peringkat permulaan, sekolah ini menumpang buat sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera pada waktu petang selama 4 tahun.

Pada 18 September 1995, warga SK Sena mula menduduki bangunan baru dengan bilangan murid meningkat kepada 275 orang iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun 4.

Pada tahun 2007, SK Sena telah dianugerahkan sebagai Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Perlis.

Pada April 2008, SK Sena telah dinobatkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia, dan merupakan satu-satunya sekolah rendah di Negeri Perlis yang berjaya mencapai status tersebut.

Kini, Sekolah Kebangsaan Sena maju seiring dengan usianya yang semakin matang. Bilangan murid juga turut bertambah kepada 700 - 800 orang setiap tahun melibatkan 24 buah kelas dan 3 buah kelas Prasekolah.