Baru-baru ini, keputusan pertukaran guru telah diumumkan. Alhamdulillah dan tahniah kepada sebilangan guru yang berjaya.

Kepada yang masih belum lulus perpindahan mereka, semoga terus cekal bertugas.

Cikgu Nor Faisal Ishak dari SK Batu Unjur Klang menerusi facebook Pe Chey, berkongsi sedikit pengalamannya berkaitan EGtukar.

Ikuti kisah beliau.

*****

Izinkan saya berkongsi pengalaman (sebagai seorang guru yang dahulunya belajar di Sabah dan ditukarkan pula di Selangor dari tahun 1995 hingga 2020) kepada semua bakal guru yang akan bertugas.

Apa yang perlu kepada seorang bakal guru lakukan apabila ditukarkan ialah:

1) Perlu ada mental yang sangat kuat. Sekolah di negara kita ini, ada di mana-mana ceruk. Ada di tengah bandar besar dan ada yang jaun nun di pedalaman. Makanya, perubahan iklim kehidupan perlu dilakukan. Jika kalian berasal dari kampung, bertugas pula di Bukit Antarabangsa, maka, perlu bersedia dengan cabaran yang mendatang.

2) Perlu memahami persekitaran kawasan bertugas. Sebagai contoh, jika kalian berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, ditugaskan pula di Beluran, Sabah, makanya perbezaan sosio budaya dan masyarakat itu perlu disesuaikan secepat mungkin.

3) Perlu bersedia dengan karenah murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jangan disamakan dengan pengetahuan sedia ada. Maksudnya, jika mengajar di sekolah anak-anak orang asal, belajar bagaimana untuk menarik minat mereka untuk belajar. Usaha ini perlu supaya mengelakkan tekanan.

4) Perlu ada hubungan baik dengan masyarakat setempat. Perlu memahami sosio budaya kawasan tersebut dan belajar untuk menerima perubahan dari segi makanan dan dialek yang berbeza daripada kampung halaman masing-masing.

5) Perlunya pemahaman tinggi di kalangan ibu-bapa yang anaknya ditukarkan jauh. Usah didesak anak agar minta pindah segera. Proses perpindahan sangat sulit sekarang kerana banyak bergantung kepada kekosongan dan mengikut opsyen masing-masing. Elakkan memberi tekanan kepada anak yang baru menjadi guru. Berikan mereka galakan.

Bersyukurlah kepada mereka yang dapat tukar di kampung halaman masing-masing.

Guru kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang sukar diramal. Perubahan dasar sangat cepat dan ia memerlukan iltizam yang tinggi.

Calon guru perlukan seorang individu yang cekal dan kuat dari segi rohani dan jasmani.

Sumber: Facebook Pe Chey