PONTIAN - Enam beradik yang masih bersekolah terpaksa menumpang kasih kakak mereka yang sanggup berkorban menjaga mereka setelah kedua ibu meninggal dunia manakala ayah pula sakit.

Namun, melihatkan kegembiraan mereka jelas terpancar kasih sayang yang cukup diberikan oleh Zanilawati Mohd Noor, 41 bagaikan dijaga ibu sendiri.

Gelak tawa dan usikan manja membuatkan rumah Zanilawati begitu meriah pada waktu petang.

Mana tidaknya, keenam-enam adiknya berada di rumah selepas masing-masing menghabiskan sesi persekolahan.

Bagi Zanilawati, kasih sayangnya kini hanya untuk adik-adiknya biarpun empat daripada mereka dikategorikan kurang upaya masalah pembelajaran.

“Nur Syarifah Shahira, 15; Nur Fatin Adawiyah, 14; Mohd Fadley Adley, 11, dan Mohd Fikri Aiman, 10, mengalami masalah pembelajaran dan kini mengikuti kelas pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Baloi.

“Dua lagi adik mereka tidak mengalami masalah pembelajaran. Nur Syafika Eliyana, 9, kini di tahun tiga manakala adik bongsu, Nur Auni Shazwani, 6, di Tadika Kemas,” katanya ketika ditemui di Rumah Flat Taman Sri Api-api di sini, semalam.

Keadaan empat adiknya yang kurang upaya itu memerlukan Zanilawati memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka.

“Adik-adik adalah kekuatan saya selepas berpisah dengan suami. Walaupun saya dan adik-adik berbeza ibu namun saya tetap sayangkan mereka.

“Ibu mereka, Ramlah Ismail meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu,” katanya.

Zanilawati berkata, selepas ibu mereka meninggal dunia, adik-adiknya dijaga oleh ayah, Mohd Noor Muda, 61, di Machang, Kelantan.

Bagaimanapun, sejak dua bulan lalu, Zanilawati diberikan tanggungjawab untuk menjaga keenam-enam adiknya selepas keadaan kesihatan ayahnya yang menghidap penyakit buah pinggang dan paru-paru semakin merosot.

“Saya bawa mereka berpindah dari Kelantan ke Johor kerana mahu mereka memulakan kehidupan baharu bersama saya di sini,” katanya.

Hainorlina (kiri) memberi bimbingan agama kepada Zanilawati dan adik-adiknya.

Panggil kakak 'ummi'

Keakraban Zanilawati bersama enam adiknya bukan seperti hubungan kakak dan adik sebaliknya mereka ibarat seperti ibu dan anak.

Malah Zanilawati dipanggil ummi oleh adik-adiknya yang sangat merindui ibu mereka.

“Dahulu, saya pernah berhajat untuk mengambil seorang daripada mereka selepas dilahirkan untuk dijadikan anak angkat memandangkan saya tidak mempunyai anak.

“Siapa sangka hajat saya itu termakbul, bukan seorang tapi enam adik saya dapat jaga sekarang,” katanya.

Dari kiri Zanilawati, Nur Syarifah Shahira, Nur Fatin Adawiyah, Mohd Fadley Adyley, Mohd Fikri Aiman, Nur Syafika Eliyana, 9 Nur Auni Shazwani, 6.

Tidak mahu berpisah

Zanilawati yang tidak lagi bekerja kini mengharapkan sepenuhnya wang bantuan bulanan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara keenam-enam adiknya. itu.

“Sudah dua bulan saya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga adik-adik.

“Perhatian sepenuhnya perlu diberikan kepada adik-adik memandangkan empat daripada mereka mengalami masalah pembelajaran,” katanya.

Zanilawati berkata, bantuan yang dihulurkan jiran banyak membantu terutama dari segi persediaan menyambut Aidilfitri lalu.

“Alhamdulilah, Majlis Agama Islam Johor (Maij) datang ke rumah kami baru-baru ini untuk memberikan sumbangan dua basikal dan beberapa barang keperluan harian lain.

“Tiada persiapan untuk menyambut hari raya, mujur ada jiran yang memberikan kuih raya kepada kami,” katanya.

Nur Fatin Adawiyah mencium Zanilawati yang dianggap seperti ibunya sendiri.

KRT hulur bantuan Walaupun baharu sahaja berpindah ke rumah Flat Taman Sri Api-api, Zanilawati bersama enam adiknya sering dibantu jiran dan penduduk.

Malah jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Api-api sering mengajak Zanilawati menyertai aktiviti bersama penduduk di situ.

Pengerusinya, Mohamed Farook Shaik Dawood berkata, bantuan seperti baju raya diberikan menerusi program Free Market dianjurkan KRT.

Bagi Hainorlina Abdul Kadir, 52, dia kini memberi bimbingan kepada Zanilawati dan adik-adiknya dalam soal solat dan membaca al-Quran.

“Saya juga kerap bertanya khabar dengan Zanilawati menerusi telefon.

"Selain itu, Zanilawati juga kerap menyertai program keagamaan seperti majlis tahlil di surau dan banyak lagi,” katanya.