Catatan bertarikh 24 Mac 2020

Hari ini keluar throwback di Facebook tentang satu artikel yang saya pernah tulis pada Mac 2016, iaitu hari terakhir Pengetua ketiga saya di SMK Jerlun, Puan Rogayah Talib yang kini bergelar Datin. Saya tulis kerana saya rasa banyak pengajaran yang saya dapat daripada kepimpinan beliau. Dan memang tak salah telahan saya, bila kini beliau merupakan Pengetua Cemerlang di sebuah sekolah di Putrajaya. Tahniah Datin! Jadi saya simpan pula di sini, di blog supaya jadi pengajaran untuk orang lain juga.

Pentingnya ketua sekolah yang hebat

Saya baru 10 tahun berkhidmat sebagai seorang guru. Baru dua buah sekolah, dengan tiga orang pengetua. Dua yang pertama, lelaki. Dan yang ketiga adalah pengetua perempuan.

Tapi tanpa sedikit ragu pun saya katakan, ini PENGETUA TERBAIK yang saya pernah ada.

Beliau seorang ‘kakak’ yang sentiasa sudi mendengar setiap permasalahan. Boleh dibawa berbincang dan suka bergurau. Prinsipnya, tiada masalah yang tak boleh diselesaikan.

Tak pernah sekali pun saya lihat beliau gunakan emosi ketika berurusan dan menyelesaikan masalah. Baik dengan pelajar, mahu pun dengan guru. Part paling susah sesiapa pun nak buat.

Boleh bayang pengetua yang datang sekolah seawal 6.30 pagi untuk bersenamrobik dengan guru-gurunya?

Boleh bayang pengetua yang datang hujung minggu untuk kelas tambahan dengan pelajar Tingkatan Tiganya? (ajar kelas exam ok...)

Beliau bukan sekadar cakap, tapi beliau buat.

Beliau bukan sekadar suruh, tapi beliau kerja bersama-sama.

Ini kualiti yang kita nak cari pada ketua sekolah.

Angkat mereka yang benar-benar layak. Bukan yang sekadar tahu suruh dan lihat. Bukan yang sekadar naik kerana bodek.

Saat paling terkesan adalah ketika saya hulurkan borang permohonan pertukaran guru ke Korea tahun lepas.

Tanpa banyak soal, borang saya ditandatangani sehingga saya pula naik musykil. Saya ingatkan beliau bahawa saya ajar kelas exam. Bimbang jika terlupa.

“Demi ilmu, Hailmi pergi lah cari pengalaman...balik nanti jangan lupa curahkan semula untuk anak murid di sini..."

Ya Allah...

Kata-kata yang cukup menyentuh hati sedalam-dalamnya, hinggakan saya berazam untuk pasti kembali berkhidmat untuk beliau di SMK Jerlun sekembalinya dari Korea nanti. Padahal, awalnya ada juga niat berpindah ke sekolah lain.

Rupanya rezeki saya bekerja dengan beliau, tak lama. Beliau kini ditukarkan ke sekolah yang lebih baik, SMK Tun Sharifah Rodziah.

Serius terasa sangat kehilangan. Bukan saya saja tapi semua warga sekolah. Tak nak kehilangan beliau. Tapi apa daya kami...

Untuk Puan Rogayah binti Talib,

Jutaan terima kasih tak terhingga untuk setiap pengalaman dan kenangan. Saya hanya mampu doakan puan terus berjaya dan berjaya!

Sumber: Blog Cikgu Hailmi