SEKARANG ni penggunaan penyepit atau chopstick bukan lagi asing. Tidak kira bangsa, keturunan dan agama, semua mahir menggunakannya ketika makan.

Pun begitu, jangan terkejut, walaupun penyepit ini cukup sinonim dengan masyarakat Cina, namun masih ada dalam kalangan mereka yang masih kurang mahir menggunakannya.

Lebih-lebih lagi, masyarakat Cina kelahiran pantai timur yang kehidupan mereka lebih mirip dengan budaya Melayu, makan menggunakan tangan, makan budu dan sebagainya.

Begitu juga dengan penguasaan bahasa Melayu, dengan dialek Melayu Kelantan atau Terengganu yang mereka tuturkan. Orang Melayu pun tertarik mendengarnya… apapun, inilah keistimewaan masyarakat Cina pantai timur.

Ikuti perkongsian Cikgu Chin Fong Phin yang kini berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pasti kawan-kawan kenal akan alat ini kan? Penyepit ini banyak digunakan khususnya di China, Jepun, Korea, Taiwan dan Vietnam. Biasanya penyepit ini diperbuat daripada kayu, buluh, plastik, Perak dan emas. Kebanyakan orang Cina akan makan nasi menggunakan penyepit. Tetapi...berbeza dengan aku.

Seingat aku, aku hanya melihat alat ini diletakkan di atas meja semasa keluarga kami mengadakan upacara sembahyang untuk mendiang datuk nenek kami sahaja. Lepas itu, sepit ini disimpan di dalam almari semula. Dengan kata lain, keluarga kami tidak menggunakan alat ini semasa makan nasi atau mee kerana kami makan nasi menggunakan tangan dan bukannya sudu atau penyepit ini.

Maklumlah, kami makan ulam, makan tempoyak, makan ikan singgang, mana ada orang Kelantan makan nasi dan ulam menggunakan penyepit? Jujurnya, aku memang tidak pandai menggunakannya langsung sehinggalah aku menjejak kaki ke Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi kebanyakan restoran di Kuala Lumpur menyediakan penyepit untuk makan mi.

Seingat aku, aku hanya tahu dan mula menggunakan penyepit ini setelah aku ke Pulau Ketam. Dan di sana jugalah aku mengenali suami ketika kami sama-sama mengajar di Pulau Ketam.

Disebabkan aku tidak mahu terus dikatakan ketinggalan zaman, aku pun mula berusaha belajar menggunakan penyepit. Sudah pastilah yang mengajarnya kekasih aku pada masa itu Ho Cheng Yong. Penuh sabar dia mengajar aku makan maggie dengan penyepit haha.

Setakat untuk makan mi aku boleh dikatakan berada di "Tahap 5".Tidak malu lah jika En. Ho membawa aku keluar makan bersama-sama kawannya. Apapun aku masih lagi risau, bagaimana nanti jika aku berjumpa dan makan bersama-sama ahli keluarganya. Aku mencapai Tahap 5 hanya untuk makan mi sahaja untuk makan nasi belum capai Tahap 3 lagi. Masih perlukan sedikit bimbingan.

Apapun aku berasa lega apabila En. Ho ( sesudah kami berkahwin) memujuk dan menenangkan aku, bila makan nasi aku boleh menggunakan sudu. Bahkan mereka juga tidak semestinya menggunakan mangkuk dan penyepit ketika makan nasi. Penilaian aku itu bermula pada masa aku perlu makan nasi bersama-sama orang tuanya buat kali pertama. Aku masih ingat lagi...

Aku hanya menggunakan penyepit untuk mengaut nasi ke dalam sudu. (padahalnya tanpa penyepit pun boleh je ambil nasi dengan sudu tapi itulah cara aku untuk tunjukkan aku juga menggunakan penyepit. Aku cuba beberapa kali menyempit sayur, nampaknya aku berjaya. Tak ada sayur yang terjatuh sebelum masuk ke mangkuk aku hahaha.

Tapi itu saja yang aku boleh ambil. Untuk ambil ikan... Oh, jauh lagi! Aku tidak pandai…  Belum lagi menguasai kemahiran itu. Apatah lagi hendak ambil sup bebola ikan dalam mangkuk sup. Nasib baiklah suami aku memang dah tahu isterinya memang lain sikit, dia yang tolong ambilkan ikan untuk aku. Merasalah juga ikan akhirnya... Sehingga kini aku masih belum mencapai tahap cemerlang.

Tapi kawan-kawan, ini pendapat aku sahaja. Mengikut pengamatan aku, bila makan nasi dengan penyepit, lambat betul nak habis, dan perut pun cepat kenyang. Mungkin sebab itulah  gadis di China dan Jepun kurus dan cantik. Mereka tak tambah-tambah nasi lagi.

Dipendekkan cerita, setelah beberapa kali di rumah mentua akhirnya aku mengambil keputusan makan nasi dengan pinggan sahaja bukan mangkuk dan penyepit lagi. Mula-mula, aku makan nasi dengan menggunakan sudu, lama-kelamaan, aku tunjukkan keberanian aku dengan menggunakan tangan terus.  

Hah! Itu baru aku rasa betul-betul makan nasi. Makan pun terasa kenyangnya. Tidak perlu berlakon makan nasi dalam mangkuk menggunakan penyepit lagi. Walaupun begitu, jauh di sudut hati aku ada juga rasa agak terkilan apabila aku melihat kawan-kawan Melayu aku yang cekap menggunakan penyepit semasa makan. Kata orang tua, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih". Betullah tu..

Tapi bukannya aku hendak berdalih cuma aku selesa menjadi aku, aku juga selesa makan dengan tangan kerana keenakan itu jauh berbeza daripada makan menggunakan sudu atau penyepit. Itulah kawan-kawan, walaupun kami sebangsa namun cara hidup, adat dan budaya berbeza apatah lagi dari negeri yang tidak sama.

Jenuh juga untuk aku sesuaikan diri dalam alam kehidupan yang serba baru bagi aku kerana ketidaksamaan ini. Baru aku sedar dulu mengapa orang tua aku lebih suka aku berkahwin dengan orang negeri aku sendiri. Namun, aku tidak menyesal kerana suami aku tidak pernah memaksa aku makan menggunakan penyepit malah mendiang ayah mentua aku juga suka makan ulam, sambal dan budu.

Dalam perkongsian lain, Cikgu Chin turut berkongsi tentang pantang larang penggunaan penyepit.

Anak-anak aku gelak membaca cerita ibu mereka.

"Mama pos cerita penyepit ya?".

Pada mereka apalah sangat penyepit tu. Maklumlah semasa kecil, bapa mereka telah latih mereka menggunakan penyepit semasa makan mi. Jadi tidak rasa apa-apa pun.

Beberapa tahun yang lalu, kami pernah membaca satu petikan, tapi sudah lupa tarikhnya bila. Menurut petikan tersebut, melatih anak - anak menggunakan penyepit sejak kecil adalah baik untuk perkembangan otak.

Jadi, apa lagi... Kami suami isteri pun mula melatih anak-anak kami makan mi menggunakan penyepit sebab nak kembangkan otak anaklah katakan. Ingat lagi, geli hati betul melihat cara anak-anak aku memegang penyepit. Tangan kiri satu batang, tangan kanan satu batang. Sedaya upaya mereka cuba suapkan mi ke dalam mulut. Hahaha.

Ayah mereka pula dengan sabar mengajar cara-cara memegang penyepit. Anak-anak juga diajar jangan menjilat hujung penyepit semasa makan kerana itu salah satu adat menggunakan penyepit. Kini, mereka sudah mahir daripada ibu mereka. Boleh angkat ibu jarilah . Cuma keluarga kami ni tidak gunakan penyepit untuk makan nasi.

Anak-anak muda zaman sekarang ramai yang tidak tahu pantang larang dan sopan santun semasa makan. Main ikut redah saja.  Aku juga jahil tentang penyepit ini. Pernah aku dimarahi kerana aku pacakkan kedua-dua batang penyepit atas nasi atau makanan dalam mangkuk. Rupa-rupanya, menjadi pantang larang orang Cina berbuat demikian. Itu dikatakan menyerupai batang colok yang digunakan sebagai sembahan kepada mereka yang meninggal dunia. Dengan kata lain itu seperti hidangkan makanan untuk orang yang sudah meninggal.

Satu lagi yang aku selalu buat... Susah hendak sepit bebola ikan, aku tikam je. Cepat sikit dapat aku makan. Tak boleh.. tak boleh buat gitu orang-orang tua yang bukan jenis berfikiran terbuka pasti menjeling tajam nanti. Manalah aku tahu? Aku bukannya dibesarkan dengan menggunakan penyepit.

Satu lagi larangan orang tua semasa menggunakan penyepit ialah jangan jadikan penyepit sebagai alat mainan. Maksudnya jangan gunakan penyepit untuk ketuk-ketuk meja. Jika kita masuk ke restoran, cuba perhatikan. Ibu bapa muda zaman kini, rata-rata akan ambilkan penyepit atau sudu dan sebagainya untuk anak mereka apabila anak - anak mula merengek.

Maka anak-anak yang sudah mula bosan ini akan mengetuk-ngetuk meja dan pinggan mangkuk pula. Kita yang duduk di situ pun terasa rimas dan sakit kepala. Tapi.. aku hairan juga kenapa mereka boleh tidak terganggu ya?  Sedangkan aku boleh diserang migrain dengan tiba-tiba. Itulah orang muda sekarang. Masih ada yang kurang prihatin. Hah! Kalau hendak tahu, semasa makan, jika kita hendak berhenti sekejap, kita juga tidak boleh silangkan penyepik di atas mangkuk. Tidak sopan. Cara meletak penyepit ialah dengan cara melintang di atas mangkuk agar tidak menyentuh meja.

Cuba perhatikan, jika kita ke restoran besar atau hotel, ada disediakan satu tempat untuk kita letakkan penyepit kita. Bersih dan selamatlah. Betullah tu, sebab kadang-kadang ketika kita berhenti sekejap semasa makan, kita akan letak penyepit di atas mangkuk. Sebenarnya dalam kita berhenti minum air sekejap tu.. terlanggarlah penyepit tu. Maka terjatuh pula ketung-ketang ke bawah meja. Tak ke nampak gelojohnya kita? Jadi itulah serba sedikit cara-cara menggunakan penyepit yang aku tahu. Yang selebihnya tak tahu dah...

Buat anak-anak mama, ingatlah pesanan mama ini. Jangan nanti, ada mulut yang mengata mama kamu yang lain daripada yang lain ini, tidak ajar kalian adat resam dan budaya. Hampir terlupa tadi, buat kawan-kawan yang ke Jepun, kita mungkin perlu ikut cara mereka makan. Kata orang-orang tua apabila kita " masuk kandang kambing, kita kenalah mengembek, dan bila masuk kandang kerbau pula kita kena menguak."

Semasa kita makan mee menggunakan penyepit di Jepun, perlu ada caranya. Sedut mee itu kuat-kuat sehingga keluarkan bunyi tau! . Semasa aku ke Jepun bulan lepas, menantu kakak aku makan mee soba dengan bunyi yang kuat. Aku memberitahu kakak aku…

"Kuat betul menantu kak makan mi. Lapar sangat tu,"

Kakak memberitahu aku, "bukan lapar, memang itu cara mereka makan mi untuk menunjukkan yang mee itu sedap."

Lalu, kakak menyuruh aku makan dengan cara begitu juga. Berkali-kali aku cuba sedut mee dengan bersungguh-sungguh untuk keluarkan bunyi... tapi tak berjaya. Biarlah... Kita memang bukan dididik begitu. Pada kita tak sopan apabila keluarkan bunyi yang kuat semasa makan. Aku paksa diri pun tak jadi.

Satu lagi yang ingin dikongsikan di sini dengan kawan- kawan, kalau makan nasi di Jepun, jangan pula minta sudu untuk hirup sup ya. Mereka di sana hirup sup terus dari mangkuk. Hari itu, aku bukan main lagi menunggu-nunggu mereka berikan sudu, rupa-rupanya meleset. Kau angkat mangkuk, hiruplah sup tu dengan bunyinya sekali.

Biarlah... biarlah.. bukannya akan dihalau keluar dari restoran pun. Bukannya juga polis akan keluarkan saman kat kita kan!

Aku tetap aku. Dalam masa yang sama aku tetap hormati cara hidup dan adat resam serta budaya orang lain. Sekurang-kurangnya tanpa penyepit aku masih boleh menikmati nasi berlauk aku yang sedap.

Artikel lain:

Ulang alik 340 km sehari, pernah bertembung haiwan liar namun demi anak bangsa, guru ini cekal

Kronologi kes jangkitan influenza di sekolah, terkini 164 pelajar dan seorang guru dijangkiti

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020