Ada sesetengah guru melonjak kegembiraan apabila keputusan permohonan EGtukar pertukaran guru bagi sesi Jun 2020/Januari 2021 telah diumumkan.

Bagi yang berjaya, tentunya inilah keputusan yang mereka tunggu selama ini.

Bagi yang gagal, mungkin mereka perlu mengambil masa untuk menenangkan diri buat seketika.  

Cikgu Muhammad Sofuan Saadon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keledang, Menglembu, Perak berkata, pengalaman menerima keputusan EGtukar pada tahun 2019, kekal dalam ingatan.

“Siapa yang tak gembira bila mendapat tahu EGtukar berjaya.

“Allah telah memakbulkan segala doa saya. Syukur alhamdullilah,” katanya.

Kepada GPS Bestari, Cikgu Muhammad Sofuan berkongsi kisah perpindahan dari SMK Matu, Sarawak ke sekolah di Perak yang berlaku pada tahun 2019.

Ikuti perkongsian beliau  

**********

Sejujurnya, sebelum semak keputusan perpindahan guru di laman web EGtukar, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi seperti sebelum ini.

Saya dah rasa keperitannya apabila keputusan yang keluar berbunyi,

"Maaf, anda tidak berjaya untuk sesi ini."

Ada dua sebab utama.

Pertama, biasanya perpindahan bulan Jun (pertengahan tahun) tak ramai. Tahun lepas, tak ada seorang pun guru sekolah saya yang dapat pindah pada bulan Jun. Waktu itu guru semenanjung seramai tujuh orang.

Kedua, PPD tempat yang saya pohon itu adalah PPD yang menjadi pilihan ramai. PPD Kinta Utara. Sekolah-sekolah dalam Bandaraya Ipoh.

Oleh sebab itu, saya dah pesan kepada isteri sebelum ini. Jika keputusan masih tidak memihak kepada kami, saya tak nak dia menangis lagi. Jangan bazirkan air mata untuk perkara yang sama berulang kali. Cukuplah sekali dua.

Jalan dan pilihan ini saya yang buat.

Kami dah bincang yang saya tak mahu transit di mana-mana walaupun peluang lebih cerah (orang kata).

Saya lebih sanggup terus di SMK Matu daripada PJJ pula di tempat lain. Cukuplah tiga tahun kami berjauhan beribu batu, berlainan tanah.

Saya sanggup tunggu dan bersabar kerana negeri Perak bukanlah salah satu negeri yang kebal seperti negeri lain.

Jadi, hantaran ini berupa pemakluman kepada semua kenalan facebook sama ada saudara, rakan sekerja, kawan, pengikut dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini.

Permohonan perpindahan saya dari Sarawak ke Perak telah diluluskan untuk sesi Jun 2019. Syukur kepada Allah..

Terima kasih atas doa dan kata semangat yang kalian berikan selama ini terutamanya ketika kisah saya tular sebelum ini. Saya sangat menghargainya. Mungkin doa kalian yang diterima Allah selain doa saya sendiri dan keluarga. Terima kasih banyak-banyak.

Lima tahun itu bukan tempoh masa yang singkat bagi saya. Tak semua yang saya cerita dan kongsikan dalam tempoh itu di laman ini.

Namun, buat kali ini, cukuplah sekadar itu. Dalam gembira, kesedihan tetap terasa..

Bagi yang belum berjaya, teruskan usaha dan doa. Kalian semua tetap akan berpindah dan dekat dengan keluarga masing-masing, cuma masanya yang belum tiba.

Ingatlah, kalian tidak selamanya di sana.

Ada perkara dalam kawalan kita dan ada sebaliknya.

Nikmati dan hargailah setiap masa yang ada di tempat tersebut selagi kalian masih berkesempatan.

Semoga segala urusan kita dipermudah dan doa kita dimakbulkan tuhan. Assalamualaikum WBT.

Sumber: Facebook Sofuan Saadon

Sumber: Facebook Sofuan Saadon

Artikel menarik

Kelas tambahan percuma, sering sedekah, suka bantu orang susah...Peribadi Cikgu Ven buat ramai kagum

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku