Hati guru mana yang boleh berdiam diri bila menerima pelbagai mesej daripada pelajar meminta bantuan.

Bantuan yang diminta pula, bukanlah bantuan biasa sebaliknya mereka mohon bekalan makanan.

Allah…Sebak dada penulis.

Kala pelajar sedang memerlukan makanan, Allah hadirkan guru-guru yang berhati mulia untuk membantu.

“Saya terima banyak mesej daripada anak-anak didik.

“Mereka semua mohon dihantarkan sedikit bekalan makanan ke rumah.

“Katanya, ibu bapa sudah hilang pekerjaan dan seterusnya tiada punca pendapatan disebabkan pandemik Covid-19. Sedih dan sebak saya,” kata Cikgu Maisarah Hannan Chong Abdullah dari SMK Konven St. Cecilia,  Sandakan, Sabah.

Berkata kepada GPS Bestari, Cikgu Maisarah Hannan memberitahu, dia mengambil sedikit masa mencari jalan penyelesaian.

“Tak mungkin saya perlu buat tidak tahu akan hal ini. Saya kena cari jalan untuk bantu mereka. Kebetulan, ada sedikit sumbangan yang diberikan oleh orang ramai, jadi saya nekad untuk membeli barangan dan agih pada mereka,” ujarnya.

Cikgu Maisarah Hannan bersama dua rakan guru iaitu Cikgu Analisah Ab Shah dan Cikgu Siti Norakma Che Pa serta staff YaPIEM, Nur Elina mula mengadakan perbincangan.

“Kami sepakat untuk turun padang dengan menggunakan kenderaan sendiri.

“Harapnya, apa yang saya dan rakan-rakan lakukan dapat menggembirakan hati semua pelajar dan keluarganya,” kata beliau.

Cikgu Analisah

Cikgu Siti Norakma

Nur Elina

Ujarnya, barangan makanan kering seperti beras 10kg, telur sekotak, minyak masak, gula, mee segera, teh, susu pekat manis, kicap dan mask berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai.

“Semua keperluan telah diagih-agihkan ke rumah pelajar sekitar Sandakan, baru-baru ini.

“Tergambar wajah gembira mereka bila kami sampai dan kami tidak terkecuali turut mengalirkan air mata,” ujarnya sebak.

Selain pelajar SMK Konven St. Cecilia, sumbangan berkenaan juga turut diluaskan kepada asnaf di sekitar kawasan berdekatan.  

“Kami bantu setakat yang termampu. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.

>>>Guru biasa mampu memindahkan ilmu sedangkan yang luar biasa itu memindahkan iman dan taqwa.

Justeru, jadilah seorang guru yang dapat memberikan tauladan, memiliki karakter positif yang boleh dijadikan ikutan dan juga inspirasi kepada masyarakat.

Artikel menarik

'Kenapa tak beritahu cikgu? Kan dah pesan...tak de duit cakap, cikgu boleh bagi' - Warganet sebak

‘Cikgu, saya dah lama tak minum air ini. Terima kasih sangat. Moga murah rezeki kawan cikgu’

Murid tidak pernah ke kolam renang, Cikgu Nazmi lakukan ini untuk buat mereka gembira…