Ujian demi ujian ditempuh oleh insan hebat ini.

Paling sukar dilupakan apabila disahkan cacat seumur hidup iaitu lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terjatuh dari pokok rambutan.

Pada awalnya, memang sukar menerima kenyataan. Beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk menerima suratan takdir.

"Sampai bila saya mahu termenung dan menangis? Itu semua tidak menjadikan saya sebagai manusia normal," kata Cikgu Mohd Huzaire Ahmad, seorang guru Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2, Bentong, Pahang.

Mari ikuti kisah hidup Cikgu Mohd Huzaire seperti dikongsi menerusi facebooknya, baru-baru ini.

Aku bukanlah secerdik mana seperti yang orang lain sangkakan sekarang.

Di sekolah, aku hanyalah pelajar biasa, yang tidak pernah difikirkan oleh guru aku ketika itu, apatah lagi bercita-cita untuk menjadi seorang guru mahu pun untuk menjadi pelajar yang berjaya.

Tiada di dalam angan-angan ku langsung. Namun menjelang usiaku 19 tahun aku diterima menjadi seorang guru walaupun kelulusanku ketika itu tidaklah seberapa.

Mungkin itulah yang dikatakan rezeki dari Allah atas sikapku yang tidak pernah cemburu di atas kejayaan orang lain. Doaku hanyalah untuk menjadi orang yang berguna demi masa depanku sendiri dan memenuhi harapan keluarga. Tapi bergunakah aku sekarang?

Aku mula bertugas sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih di Sekolah Menengah Khatolik Bentong.

Selama enam bulan aku menjadi guru di sekolah tersebut. Cabarannya sebagai guru di sana cuma sikap murid-murid yang hampir sebaya dengan aku. Maklumlah guru muda. Aku hanya mampu geleng kepala dengan sikap nakal mereka. Kadang-kadang susah untuk menasihati jiwa remaja mereka.

Aku hanya bermotor dari rumah ke sekolah. Hampir 25 kilometer setiap hari, berpanas dan berhujan sudah menjadi rutin harian ku.

Menerima Anugerah Kebangsaan Guru OKU Kebangsaan 2010.

Masuk bulan keenam, aku telah menerima tawaran dari Maktab Perguruan Seri Pinang Pulau Pinang. Aku hanya mampu tersenyum dengan tawaran itu. Setahu aku ramai yang memohon, hingga entah beberapa kali mereka mencuba. Aku bersyukur kerana hanya sekali aku memohon terus berjaya.

Bermulalah kehidupan aku sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan.

Ketika di maktab aku seperti pelatih yang lain, bercita-cita untuk menjadi guru yang baik.

Tapi tak ku sangka, ibarat pepatah Melayu mengatakan ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Pada semester akhir aku mengalami kemalangan. Jatuh dari pokok rambutan, mungkin kelakar bagi sesiapa yang mengenali siapa diriku. Dari seorang yang normal aku menjadi seorang yang kurang upaya. Dari seorang yang periang dan aktif bersukan menjadi pendiam dan tidak berdaya.

Keupayaanku menjadi terbatas dan sentiasa memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak. Aku mula menyalahkan diriku sendiri.

Ketika di hospital aku melalui kepayahan hidup sebagai orang kurang upaya. Ketika itu aku merasakan duniaku semakin kelam, sepi dan tidak berguna.

Kata-kata doktor yang aku lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan tidak akan mampu untuk duduk sepanjang hidupku juga memusnahkan semangatku.

Ketika itu kesedihan menyelubungi keluargaku kerana aku merupakan anak sulung yang menjadi harapan kedua orang tua.

Keadaan ibuku yang tengah mengandung ketika itu sentiasa membuatku lagi sedih. Bayangkanlah dalam keadaannya yang masuk tujuh bulan dia terpaksa bergerak ke sana ke sini untuk memberikan semangat padaku.

Sebagai atlet tenpin boling ketika Paralimpiad Kebangsaan 2012.

Pernah suatu ketika aku dan ibu sama-sama menangis mengenangkan apa yang telah berlaku. Saudara-mara yang berada di hospital turut sama menangis. Namun mereka tetap memberikan semangat kepada aku dan ibu.

Untuk pengetahuan pembaca, semasa kejadian itu aku baru tiga bulan bertunang. Kemalangan ini juga berlaku di rumah tunangan ku. Ibu tunangan ku, menyuruh aku untuk memanjat pokok rambutan tersebut. Aku hanya menurut arahan, maklumlah bakal ibu mertua. Tak kan nak cakap tak nak pula. Kebetulan pada masa itu bulan puasa.

Kemalangan ini menambahkan hiba pada diri ini dan keluarga. Orang lain sibuk menjalani ibadat puasa dan sibuk dengan persiapan hari raya. Manakala aku pula dan keluarga sibuk di hospital.

Tahun itu aku dan keluarga beraya di hospital le gamaknya. Aku lihat ibu dan ayah berbuka puasa di tepi katil sahaja. Kesian aku melihat keadaan kedua orang tua ketika itu, yang tidak pernah meninggalkan aku walaupun sehari.

Ayah! maafkan aku kerana tak pandai menjaga diri dan menyusahkan mu.

Ibu! kau buatku menangis melihat dirimu yang sedang sarat mengandung, menjaga aku di hospital tanpa jemu. Membersihkan diri ku, menjaga makan minum ku, memberi semangat atas keruntuhan jiwaku, boleh di katakan semua yang berdaya dan tak terdaya kau lakukan untuk ku. “Besarnya dugaan mu Ya Allah.”

Tiga buah hospital menjadi tempat persinggahan selama tiga bulan. Hospital Taiping, hospital Ipoh dan terakhir hospital Kuantan. Terima kasih pada jururawat, doktor dan kakitangan Roadcare yang memberikan kata -kata semangat.

Malam raya takbir bergema. Aku meraikannya bersama keluarga. Hanya linangan air mata ibu bersama takbir yang bergema di malam raya.

Pagi esok keadaannya agak menggembirakan. Sanak saudara semuanya ke hospital berhari raya. Kuranglah rasa sedih di jiwa. Tapi satu janji dalam hati kecilku, lain kali aku tak mahu lagi berhari raya di hospital. Lagu raya berkumandang mengusik jiwa.

Memberi hadiah kepada salah seorang murid kelas belakang yang cemerlang dalam subjek Sejarah.

Dua tahun aku hanya menyepikan diri di rumah. Tiada lagi kawan-kawan yang bertandang ke rumah menjengahku. Temanku yang setia adalah keluarga dan budak-budak yang hampir sebaya dengan adikku.

Pelbagai usaha yang ayah lakukan untuk mencari sumber kewangan dengan menjual rumah dan tanah di kampung untuk membiayai segala keperluan perubatan, sama ada perubatan hospital mahupun perubatan tradisional.

Tidak lama kemudian aku sekali lagi di uji Allah SWT, ikatan pertunanganku terputus di tengah jalan.

Sejak aku mengalami kemalangan, aku tidak lagi berhubung dengan tunangku. Aku tidak mahu tunangku merasa beban. Apalah yang ada pada diri ini. Biarlah ku lepaskan dia pergi, untuk hidup dengan insan yang lebih baik.

Mungkin suatu hari nanti dia menemui insan yang lebih sempurna dan mencintai dirinya. Itulah yang aku harapkan. Semoga hidupmu lebih baik dari hidup dengan insan cacat seperti ku. Tak sanggup aku untuk menceritakan kisah pertunangan ini. Biar lah ia menjadi rahsia diri antara kami. Terlalu peribadi untuk ku luahkan.

Aku berusaha untuk berjalan. Semua perabot dan tingkap rumah ku paut untuk berdiri. Namun, semuanya gagal. Aku hanya mampu menangis di malam hari. Itu sahaja yang mampuku lakukan. Sahaja ku sorokkan tangisanku ini dari ibuku. Aku tidak mahu dia sedih melihat diri ini.

Ketika aku merasakan kehidupan semakin kelam, datang sinar harapan dengan kedatangan Datuk Seri Hishamuddin bekas Menteri Pelajaran Malaysia dalam kempen Pemuda Masuk Kampung.

Bermula cakap-cakap orang kampung yang mengatakan pasal partilah, aku boleh sambung semula pengajian ku. Tapi aku tidak peduli pun. Segelintir orang kampung mula mengumpat dan mengata tentang diriku.

Bersama bekas pelajar yang datang semasa Cikgu Mohd Huzaire kurang sihat.

Aku bermula pratikum di sekolah di Felda tempat ku. Tiada apa yang menarik untuk aku nak ceritakan macam mana aku pratikum di sini.

Selepas pratikum aku menunggu jawapan dari Kementerian Pelajaran.

Aku mula bertugas buat kali pertama sebagai guru kurang upaya di SK Jabor, sekolah estet yang tiada kemudahan untukku sebagai seorang guru kurang upaya. Tapi aku tetap bersyukur. Walaupun aku sebegini namun, kepercayaan yang di beri akan ku balas.

Memang aku boleh meminta pertukaran ke kampung semula, namun aku redha dan aku cuba membuktikan diri boleh menjaga diri sendiri di tempat orang.

Ketika ini aku mula hidup sendiri tanpa keluarga. Aku mula belajar hidup dengan orang yang tidakku kenali. Aku tinggal di rumah guru, yang menempatkan tiga orang guru yang lain.

Ketika tinggal di sana aku terpaksa mengesot setiap hari untuk mandi kerana tandas dan bilik air di rumah berada di bawah. Aku bernasib baik kerana aku ditemukan dengan seorang sahabat yang baik bernama Azrul. Dialah yang sentiasa membantu.

Azrul menolong aku untuk mandi dan ke tandas. Tatkala itu, punggungku mula berdarah dan mengalami masalah luka di kawasan punggung kerana terpaksa mengesot. Badan ku sakit dan aku sentiasa deman. Ku lawan sakit dan beban di jiwa ini.

Tatkala aku mulai gembira dengan kehadiran temanku Azrul, aku di uji dengan perpisahan. Sahabatku Azrul terpaksa bertukar ke Sabah mengikut isterinya yang bertugas di sana. Dulu aku tak pernah rasai kesedihan berpisah dengan sahabat. Tapi kini hati ku begitu sayu atas perpisahan ini.

Kemudian aku tinggal bersendirian kembali. Perpisahan itu menyebabkan aku mula bersemangat untuk membuktikan kemampuan ku sebagai OKU yang berdikari.

Aku mula melatih pasukan bola sepak sekolahku. Tahun pertama aku mengajar bola sepak, aku mahu membuktikan sesuatu. Maklum le aku hanya seorang guru kurang upaya. Setiap petang aku turun ke padang berhampiran di tempat tinggal ku. Duit, masa dan tenaga ku curah kan untuk hasil yang terbaik.

Tahun pertama sekolah kami dapat memberikan tentangan yang hebat pada pasukan lawan pada peringkat kumpulan. Dulunya Pasukan SK Jabor hanya pasukan belasahan. Namun kini mereka boleh di banggakan dengan gaya permainan mereka.

Pernah aku dengar cerita dari orang kampung di situ, kalau SK Jabor main silap-silap 10-0 pun boleh kena. Namun tahun ni sekurang-kurangnya satu kemenangan, sekali seri dan satu kekalahan. Kalah pun dengan SK Baluk Makmur yang terkenal dengan bola sepaknya.

Aku nampak keceriaan pada anak didik atas prestasi mereka. Puas hati atas usaha yang aku curahkan.

Pada hari pertandingan aku tiada kenderaan untuk ke sana. Semasa perlawanan di sambung pada waktu petang aku meminta pertolongan jiran sebelah untuk menghantar aku ke sana. Jiran ku ini, pada aku seorang yang sangat ikhlas. Banyak kisah budi baik mereka yang tak dapat aku ceritakan di sini. Cukup sahaja lah Allah yang membalas jasa mereka.

Pengakap Majlis Skaf.

Pada tahun kedua 2004 aku sudah menyiapkan pasukan yang agak bagus. Kali ini, kami sudah ada pengalaman. Namun tahun ni perlawanan hanya diadakan sembilan sebelah. Aku sekali lagi tidak dapat menghantar mereka walaupun aku seorang jurulatih. Namun aku berdoa semoga mereka berjaya.

Dengan menggunakan telefon bimbit sahaja yang dapat ku bertanya tentang prestasi mereka di sana. Akhirnya aku dan pasukan yang di bentuk berjaya ke separuh akhir.

Saat yang mendebarkan kerana di separuh akhir kami bertemu dengan SK Bukit Sekilau. Sekolah bandar pertama saingan kami. Segala kemudahan yang bagus. Bilangan murid yang sangat ramai. Sekolah gred A dan kami hanya gred B. Aku berdebar menunggu keputusan.

Akhirnya aku akur pasukan kalah di tangan sekolah bandar itu dengan jaringan 1-0. Aku sedih namun berbangga,” dalam jeritan detik hati ku” “SK Jabor boleh”.

Sudah hampir tiga tahun aku menabur bakti di SK Jabor. Biar aku ceritakan serba sedikit tentang diriku di sini.

Untuk pergi ke sekolah agak jauh juga dari rumah. Pagi-pagi aku menyusuri jalan dengan berkerusi roda. Pagi-pagi aku sudah mengelak tahi lembu yang bertaburan di jalan yang aku lalui. Macam mana aku elak pun, pasti kena. Jalan yang tidak berturap dengan baik sememangnya memberikan kesusahan untuk aku mengawal pergerakan kerusi roda. Batu-batu kerikil sering menyebabkan tayarku pancit. Bayangkanlah untuk mengawal kerusi roda yang sudah pancit. Aduh! keluh hati ku.

Sampai di sekolah aku perlu membersihkan tayar yang sudah di kotori oleh najis lembu sebelum masuk kelas. Walaupun setiap hari aku melaluinya aku redha, demi anak didik yang aku kasihi, aku gagahikan jua.

Ahli kelab muzik mengadakan latihan kompang yang diketuai Cikgu Mohd Huzaire.

Walaupun aku hanya cikgu Muzik aku tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya aku dapat membina keyakinan diri dan sahsiah yang baik melalui Pendidikan Muzik.

Sememangnya mata pelajaran Pendidikan Muzik tidak di pandang penting. Kadang-kadang, ada yang memperlekehkannya. Biarlah apa kata orang. Apa yang penting niat kita. Melalui Muzik aku lihat murid-murid berminat untuk ke sekolah. Kepala yang pening dapat di kurangkan bila tiba waktu muzik. Aku senang hati dengan apa yang aku berikan.

Sepanjang aku di sana, SK Jabor berjaya mencatat sejarah dalam UPSR.

Dua orang mendapat 5A. Budak pejabat di sekolah berkata, ini berkat aku di sana yang selalu menasihati mereka. Aku hanya senyum sahaja. Kata ku itu semua kuasa tuhan dan usaha mereka sendiri.

Di manakah dua pelajar ini sekarang? Syafikah dan Basyirah. Aku pasti merindui sifat kepimpinan mereka.

Orang-orang kampung di sana sungguh baik- baik belaka. Gotong royong ramai yang datang. Aku hanya dapat melihat dan menemani sambil berborak sahaja. Dalam hati ku, segan kerana aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk menolong mereka. Tapi mereka memahaminya, alangkah baiknya jika dunia ini memahami apa yang kita hadapi.

Jodoh ku dengan SK Jabor tidak panjang. Aku di minta oleh ibu untuk mengajar di di kampung. Kesian di hatiku ini kerana, setiap minggu ibu dan ayah datang untuk melihat diri ini. Pasti mereka sudah letih berulang-alik setiap minggu ke Kuantan. Sayang rasanya aku nak tinggalkan SK Jabor ini. Namun apa boleh buat. Aku pun meminta untuk bertukar ke sekolah tempat ku.

Takku sangka. Bertukarnya aku ke sini penuh dengan rahmat dan hikmahnya.

Aku bertemu jodoh dengan insan yang paling ku sayangi. Walaupun diriku berkeadaan OKU namun masih ada yang sudi. Inilah saat indah di dalam kehidupan aku. Aku melangsungkan perkahwinan hanya secara sederhana.

Niat murni isterI untuk menjaga aku sepanjang hayat dirinya amat ku syukuri. Hati yang mulia di milikinya pada aku, setaraf dengan Siti Khadijah walaupun nama Siti Nor Azizah Mohd Noor Yusoff. Pada tanggal 31 Januari 2006, aku dan dia disatukan dengan ikatan suami isteri. Satu Muharram menjadi saksi perkongsian hidup dua insan. Hatiku menangis dan semangatku kian membara.

Hari bersejarah buat Mohd Huzaire dan Siti Nor Azizah.

Namun baru 14 hari aku berkahwin, aku di uji sekali lagi.

Aku di hina oleh manusia yang ku anggap sahabat. Hanya kerana sebuah meja aku di hina.” nasib baik ko macam ni, kalau tak………” itulah kata-kata yang aku ingat sampai ke hari ini.

Masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku menangis dan mujurlah ada isteri yang memahami perasaan ku ini. Kata-kata semangat dari isteri aku jadikan azimat. Katanya Allah SWT maha mengetahui, biarlah Allah sahaja yang membalasNya.

Aku mula bersemangat seminggu kemudian. Aku tanamkan tekad dan ketekunan dalam hati. Lupakan apa yang berlaku. Tak guna hidup dengan orang yang angkuh dan sombong. Aku rasa itu sahaja pengalaman yang paling pahit pernah aku rasai.

Sejarah lembaran baru penuh gemilang bermula di sini.

Aku kemudiannya di tugaskan ke SK Felda Mempaga 2. Sekolah Gred A yang mempunyai visi dan misi. Macam mana le penerimaan cikgu-cikgu di sana.

Tahun 2005 aku memulakan tugas, harap diri di terima dan tidak menyusahkan mereka. Aku di beri tugas sebagai guru Muzik sepenuh masa. Tugas pertama ku melatih pasukan nasyid sekolah. SK Felda Mempaga 2 semasa itu tiada peralatan dan kemudahan untuk melatih pasukan nasyid. Murid-murid nya pula tidak pernah terdedah dengan nyanyian nasyid. Satu tanggungjawab yang berat. Namunku pikul jua.

Apa yang paling bagus di sini ialah sikap guru besarnya. Dia sentiasa menyokong apa yang aku lakukan. Semoga Allah SWT dapat membalas budi baik beliau.

Tahun pertama aku hanya menggunakan minus one sahaja. Tiap-tiap petang aku mengadakan latihan. Vokal dan tempo di beri perhatian.

Mereka jarang menyanyi, tugas untuk melahirkan nyanyian yang bagus bukanlah tugas mudah. Akhirnya pada hari pertandingan peringkat zon kami kecundang. Tapi banyak perkara yang aku belajar dari sini.

Masuk tahun 2006 guru besar membelikan bongo. Dari titik permulaan inilah, nasyid sekolah SK Felda Mempaga 2 berubah.

Pada peringkat daerah kami mendapat tempat keempat. Satu pencapaian yang di kenang oleh aku dan anak didik. Usaha kami berterusan pada tahun 2007. Tahun ni kami berusaha lebih gigih. Wang ringgit, masa, tenaga di gunakan sepenuhnya.

Setiap petang kami berlatih hampir lima bulan. Ada kalanya sampai demam. Murid-murid setiap petang ku ambil dan ku hantar mereka pulang ke rumah. Takut murid-murid keletihan. Susah aku nak ceritakan pengorbanan mereka di sini. Biarlah Allah sahaja yang mengetahuinya.

Pada hari pertandingan kami berusaha dengan baik. SK Tunku Fatimah dan SK Bukit Piatu adalah dua SK yang sering menjuarainya. Setiap tahun hanya kedua-dua buah sekolah ini sahaja yang menjadi pilihan.

Tahun ni persiapan kami lebih baik. Saat mendebarkan di tunggu. Namun aku akur bila di umumkan kami hanya mendapat tempat kedua dengan sisihan markah yang sedikit.

Mungkin tiada rezeki kami untuk ke peringkat negeri. Murid-murid ada yang menangis. Maklumlah ini tahun akhir mereka di SK Felda Mempaga 2. Kebanyakannya sudah di Tahun Enam. Aku turut sedih dan mengeluarkan air mata. Malam tak boleh tidur akibat dari kekalahan itu. Semangat ku jatuh menjunam. Namun kerana jiwa kental sebagai pendidik ia dapat ku atasi.

Akhir tahun 2007 semasa cuti sekolah aku telah memanggil pelatih baru. Bulan 11 dan 12 semasa cuti sekolah ku jadikan masa untuk berlatih.

Mohd Huzaire bersama isteri, Siti Nor Azizah.

Mungkin kerja gila pada sesetengah orang. Masa cuti yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga, di isi dengan latihan nasyid.

Namun komitmen murid-murid dan ibu bapa menambahkan kekuatan pada diri ini.

Masuk tahun 2008 semuanya sudah tersedia. Setiap hari kami melakukan latihan. Tidak kira siang atau malam. Masa rehat tiada lagi buat diriku ketika itu.

Pada hari pertandingan di SM Teknik Bentong kami mempersembahkan satu persembahan yang sangat mengusik jiwa.

Dengan alat muzik yang lengkap dan teknik vokal yang cukup bagus akhirnya buat pertama kali SK Felda Mempaga 2 berjaya menjadi juara daerah Bentong. Murid-muridku berlari mendapatkan aku setelah keputusan di umumkan. Setiap pelukan mereka adalah semangat bagiku. Aku menitiskan air mata kegembiraan di atas kejayaan itu.

Kemarau pertandingan persembahan bagi SK Felda Mempaga 2 berakhir dengan kejayaan pada hari ini. Setiap anak didik ku renung dalam-dalam. Ada aura pada mereka dapat ku rasakan seperti Mawi World.

Walaupun bukan Malaysia yang memenangi piala dunia namun aku rasa macam tu le, jika jurulatih Malaysia berjaya memenangi piala dunia.

Tahun tersebut pertandingan nasyid peringkat negeri akan di adakan di Kuantan. Punyalah seronok anak didik aku. Namun ada misi peribadi, iaitu membawa nama daerah Bentong ke sana. Mampukah aku dan anak didik menghadapi saingan yang lebih getir.

Setelah semuanya kelemahan di perbaiki kami pun bertolak ke Kuantan. Pada hari pertandingan pasukan kami mendapat giliran yang ke 11. Dapat di lihat di sini setiap pasukan yang bertanding mempunyai persediaan yang cukup baik. Aku amat tertarik dengan pasukan dari SK Bandar Pusat mewakili daerah Maran. Saingan kali ini pasti sengit.

Tibalah giliran kami membuat persembahan. Aku sendiri terkejut dengan alunan yang mengasyikkan di dendangkan oleh mereka. Satu tepukan yang gemuruh dari hadirin yang setiap kali gimik yang kami lakukan. Persembahan kami di akhiri dengan sekali lagi tepukan yang membuat hati ku sendiri terharu.

Setelah keputusan di umumkan kami hanya berjaya mendapat tempat ketiga. Ini adalah permulaan yang baik bagi aku dan anak-anak didik. Kali pertama ke peringkat negeri kami telah melakar sejarah. SK Felda Mempaga 2 mula mencipta nama.

Inilah titik tolak perjuangan aku dalam bidang irama nasyid ini. Banyak perkara yang aku dapat pelajari dari Kuantan. Tahun depan dan mungkin esok aku terus berusaha untuk kejayaan akan datang.

Untuk tahun 2009 kami masih menjadi johan daerah. Pasukan nasyid sekolah kami di geruni lawan di daerah Bentong.

Pada peringkat negeri kami hanya mendapat tempat keempat. Apa yang pasti kami kalah dengan juara sebenar.

Tahun 2009 juga negeri Pahang menjadi Johan Nasyid peringkat Kebangsaan. Aku berbangga walaupun bukan sekolah kami yang menang. Tapi ia adalah pencapaian terbaik para pencinta irama nasyid di Negeri Pahang.

Selain dari pasukan nasyid, aku sendiri juga banyak terlibat dalam pertandingan program doktor muda. Banyak kali kami memenangi hadiah dari usaha yang di jalankan. Antarnya sajak, buku informasi dan sebagainya. Doktor muda SK Mempaga 2 juga turut di geruni lawan dari SK lain. Cuma aku tak berminat nak ceritakan di sini. Maklum le banyak juga.

Bidang yang aku ingin beri tumpuan adalah Pendidikan Muzik.

Aku juga di lantik sebagai Ketua Panitia Pendidikan Muzik. Segala fail telahku kemas kini. Pendidikan Muzik di SK Felda Mempaga 2 aku naikkan tarafnya sebagai antara mata pelajaran yang sering memberi sumbangan pada sekolah, daerah dan negeri. Aku sering berdoa, ku harap dapatlah kiranya aku mendapat teman yang sealiran dengan minat ku di sini. Mendidik melalui Muzik. Mungkin cikgu baru yang sama opsyen dengan aku. Kalau berdua tak lah susah aku untuk sama-sama berjuang.

Aku juga sering menjadi hakim jemputan. Tidak kira dari daerah Bentong dan daerah yang lain di sekitar Pahang. Malahan di Hospital Kuala Lumpur pun aku sering di panggil. Pernah pada satu masa aku dan isteri hampir kehilangan nyawa. Sedikit aku ceritakan di sini.

Aku menjadi ketua hakim untuk satu majlis Festival Nasyid Negeri Sekolah-Sekolah Agama Pahang di Pekan. Acara itu di jalankan pada waktu malam.

Aku hanya berdua dengan isteri ke sana. Semasa perjalanan pulang, aku keletihan. Aku menyuruh isteri memandu. Aku ingin tidur kerana esoknya aku akan menduduki peperiksaan PTK. Dalam keadaan yang letih pada pukul 3 pagi, isteri tertidur semasa memandu.

Kereta kami ke tepi dalam keadaan laju. Aku tersentak dan terkejut. Mujurlah tersedar kerana aku cuma tidur-tidur ayam. Cepat-cepat aku memegang stereng dan mengawal dalam keadaan isteri yang masih tertidur. Kereta kami hampir terbabas. Mujurlah dengan kawalan tersebut menyebabkan kereta dapat di kawal semula.

Sebuah bas express dengan lajunya memotong dari belakang. Jika tidak mungkin pokok-pokok besar itu di rempuh atau bas tersebut merempuh kereta. Aku berhenti dan mengucapkan syukur. Isteri tak henti-henti meminta maaf. Biarlah kataku, bukan salah dia pun. Itu pun dia sanggup menemani aku ke mana sahaja aku pergi. Akhirnya aku sendiri yang memandu pulang ke rumah.

Selain dari tugas di sekolah, aku juga memikul tugas-tugas aktiviti di luar.

Antaranya Pengerusi Persatuan Orang-0rang Cacat Bentong. Kadang-kadang sampai pukul 3 pagi masih ada yang menelefon untuk meminta bantuan. Tugas sebagai pengerusi persatuan ini sememangnya memenatkan. Semua ahli-ahli persatuan harus di layan dengan saksama.

Selain itu juga aku merupakan AJK Perwira K9 Malaysia. Banyak aktiviti yang telah ku jalani. Antaranya perlawanan bola keranjang berkerusi roda, tenis berkerusi roda dan bermacam-macam lagi. Di tempat aku juga aku melibatkan diri dengan aktiviti program belia.

Aku juga merupakan Kaunselor di Hospital Kuala Lumpur. Memberi nasihat dan semangat kepada pesakit-pesakit di wad yang pernah mengalami nasib serupa. Cuma bezanya aku sudah lama dan mereka baru menempuhinya.

Kadang-kadang aku dan pesakit sama-sama menangis untuk memberikan semangat di dalam hati masing-masing. Aku juga telah mencipta lagu dan lirik untuk Jabatan Rehabilitasi Hospital Kuala Lumpur. Ada pelbagai lagi aktiviti, namun tak dapatlah aku ceritakan semuanya di sini.

Selain nasyid, aku juga terlibat dalam pertandingan kompang. Contohnya aku dan pasukan telah memenangi Pertandingan Kompang Selawat Daerah Bentong pada tahun 2009 dan mewakili Daerah Bentong ke Pertandingan Negeri di Daerah Bera. Sepatutnya kami mendapat tempat kedua pada peringkat negeri.

Namun di batalkan atas lagu yang tiada unsur selawat. Nak buat macam mana, lagu yang ku buat itu tak diterima. Lagi pun, aku tiada pengalaman dalam pertandingan kompang selawat. Rasa sedih juga, atas apa yang berlaku. Sedangkan dengan latihan setiap hari dan semasa persembahan, kami dapat memukau penonton dan para hakim. Dengan alunan tepukan dari kompang sangat menghiburkan. Namun itu semua rezeki dan tiada tuah buat masa Itu. Tahniah untuk anak-anak didik, rakan-rakan seperjuangan dan ibu-bapa mereka.

Detik sejarah pada malam itu sentiasa ku kenang bersama isteri, rakan seperjuangan dan anak-anak didik.

Pada malam tersebut keputusan di umumkan.

Sebelum keputusan di umumkan. Nampak keyakinan pada anak-anak didik bahawa pasukan kami memang boleh menang. Mereka punyalah seronok. Keyakinan sekurang-kurangnya juara atau naib juara terasa di hati kecilku.

Sampai masa keputusan di umumkan, pasukan kami di batalkan atas sebab kesalahan lagu. Aku tertunduk hiba, mahu je mengalirkan air mata. Cuma segan dengan rakan-rakan dan ibu-bapa pada anak-anak murid ku. Ku lihat mereka menangis. Nampak air mata bertakung di bibir kelopak mata anak-anak didik ku. Setakat tu sahaja usaha kami pada malam ni. Malam tu kami semua bersedih. Masing-masing terdiam tiada bersuara. Selalunya anak-anak murid ku suka membuat lawak. Tapi malam ini semuanya sepi tanpa bicara.

Di sekolah, aku juga menganjurkan aktiviti wajib setiap tahunan. Lebih-lebih lagi menjelang Hari Kemerdekaan. Pertandingan Solo Lagu Patriotik dan Koir memang acara yang dinanti anak-anak didik. Nak tengok semua ini boleh le buka blog saya. Aku juga mencipta lagu dan lirik untuk lorong dadah Peringkat Kebangsaan 2008.

Tidak lama kemudian, awal tahun 2009 saya menubuhkan Kelab Muzik SK Felda Mempaga 2. Banyak aktiviti yang di lakukan. Antaranya bermain kompang di majlis-majlis kenduri sekitar Daerah Bentong dan Daerah Temerloh. Kelab Muzik juga mengadakan uji bakat suara di sekolah untuk mencari peserta berbakat. Ini adalah projek khas TUNAS NASYID SEKOLAH. Mencungkil bakat anak-anak didik.

Dengan berkat usaha saya inilah, saya telah di berikan anugerah oleh Jabatan Pelajaran Negeri Pahang. Pada tahun 2005 saya telah di anugerahkan Anugerah Khas sempena Hari guru Peringkat Negeri. Anugerah ini di atas usaha saya di SK Jabor (2002 hingga 2005).

Kemudian, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008, Anugerah Guru Inovatif Kategori Guru Kurang Upaya Peringkat Negeri Pahang pada tahun 2009 dan Anugerah Guru Kreatif 2020. Kesemua anugerah ini telah menaikkan semangat saya.

Terima kasih semua. Hanya Allah yang boleh membalasnya.

Itulah serba sedikit yang dapat saya ceritakan di sini. Kalau nak di ceritakan semua mungkin boleh di buat novel nanti. Sebenarnya masih banyak perkara yang saya tidak dapat ceritakan. Takut-takut menguris hati orang lain. Sudah banyak perkara yang sedih dan gembira saya tempuhi sepanjang menjadi insan berkerusi roda ini.

Walaupun saya berkeadaan sebegini. Saya ingin berdiri sama tinggi dengan insan normal yang lain. Merasai pahit manis menjadi seseorang PENDIDIK. Terima kasih rakan-rakan seperjuangan. Jasa kalian hanya Allah SWT yang boleh membalasnya.

Sumber: Facebook Mohd Huzaire Ahmad