Sambutan Awal Muharam bersama-sama murid Tahap Satu ternyata memberi pengalaman baru buat Ustazah Nurdalila Che Ramli @ Hussain dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak.

Apa tidaknya, sepanjang masa beliau akan bersama murid untuk menjalankan aktiviti seperti pertandingan mewarna, pertandingan tulisan jawi, pertandingan hafazan asma al-husna dan pertandingan kuiz maal hijrah. Pertandingan-pertandingan ini di jalankan di dalam kelas mengikut waktu Pendidikan Islam, Jawi dan juga Pendidikan Seni Visual.

Aktiviti ini ternyata menarik minat murid termasuk murid orang asli memandangkan program kali ini lebih kepada keislaman berbeza dengan program-program lain yang diadakan di sekolah sebelum ini.

“Masing-masing begitu teruja untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertai.

"Tak kurang juga, ada yang mengemukakan pelbagai soalan berkaitan Awal Muharam dan sebagai guru, saya akan berikan jawapan sebaik mungkin agar mereka faham dan ingat sampai bila-bila," katanya yang juga Setiusaha Panitia Pendidikan Islam.

Menurut Ustazah Nurdalila, murid-murid perlu diberi penerangan berkenaan tarikh hijrah yang menjadi anjakan paradigma dalam sejarah agama Islam.

"Pertama kali dalam sejarah Islam, seorang nabi dan rasul membentuk kerajaan dengan segala kesukaran. Murid-murid perlu faham tentang segala kesukaran dalam menyampaikan dakwah Islam sehingga Islam tersebar ke serata dunia," ujarnya.

Sementara itu, SK Kenering telah memperdengarkan alunan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW setiap hari, bermula jam 7.40 hingga 8 pagi, baru-baru ini.

Alunan selama empat hari berturut-turut itu mampu didengari di setiap kelas.

Kata, Ustazah Nurdalila, perkara ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada semua warga sekolah.

"Setiap pagi halwa telinga murid diperdengarkan dengan selawat bagi mengingatkan mereka tentang bulan Muharam yang merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam.

"Menerusi ini, mereka pasti akan memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah," ujarnya.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid Tahap Satu sepanjang berlangsungnya sambutan Awal Muharam, baru-baru ini.