Encik Rahman (bukan nama sebenar) seorang anggota polis berpangkat rendah. Gajinya pula tidaklah sebesar mana. Dia mempunyai anak seramai empat orang. Setiap hari dia bertugas di pondok masuk ke balai polis. Apabila lalu pegawai berpangkat tinggi maka setiap kali itulah dia kena tabik.

Namun kegigihannya membesarkan anak-anaknya sehingga semuanya ke menara gading amat membanggakan. Sehingga ke hari ini perwatakannya yang sederhana amat menyenangkan semua orang. Dia pernah menceritakan bagaimana caranya dia memberi kefahaman dan menyuntik semangat motivasi kepada anak-anaknya sehingga ke menara gading.

Pada satu hari dia memanggil kesemua anak-anaknya dan menunjukkan slip gajinya kepada anak-anaknya dan dia berkata: "Nak, ini slip gaji ayah (RM 800.00), dengan duit inilah kita makan, hendak bayar sewa rumah, kenderaan, belanja sekolah dan lain-lain keperluan"

Katanya lagi: "Ayah memang tak mampu untuk menghantar kamu semua ke tuisyen seperti anak orang lain. Jadi kamu berilah tumpuan belajar di sekolah dan belajar sendiri di rumah.

"Ayah juga tak mahu kamu jadi macam ayah yang setiap hari memberi tabik hormat kepada orang atas lantaran tidak cemerlang dalam pelajaran. Kalau boleh ayah nak kamu menjadi oarng yang lebih baik daripada pegawai atasan yang setiap hari ayah tabik.

"Ayah juga hanya mampu menyediakan makan-minum dan pakai seadanya." tambahnya.

Mulai hari itu pembelajaran anak-anaknya meningkat walaupun tanpa kelas tambahan seperti anak orang lain. Apa yang menariknya di rumah anak-anaknya saling bantu-membantu sesama sendiri bagi memastikan kesemua adik beradiknya berjaya dalam pelajaran.

Hari ini Encik Rahman boleh berbangga dengan kesemua anak-anaknya.

Tabik Encik Rahman.....