Status yang dimuat naik oleh seorang guru pagi ini mendapat perhatian ramai. Manakan tidaknya, menurut status cikgu M Fazdly c Kamaruddin, seawal pagi lagi masuk ke bilik mesyuarat, tiba-tiba guru-guru dikejutkan dengan pemberian hadiah yang banyak daripada pengetua sekolah. Tak ke gembira nak memulakan mesyuarat pagi itu. Mesti senyum lebar sampai ke telinga cikgu-cikgu, kan?

"Mesyuarat guru.. Sampai2 bilik mesyuarat pagi ni, semua guru dihadiahkan baju korporat, kain batik dan tuala.. Pengetua kata sebagai penghargaan atas pengorbanan pd tahun 2017 dan pembakar semangat utk tahun 2018..

Tahun 2017, pengetua dh bagi sehelai baju korporat, 2 helai batik, bwk main bowling utk semua guru dan beberapa kali mnum ptg di hotel.. Semua percuma.. Rasa seronok bila dihargai setelah berpenat lelah memerah keringat.. Alhamdulillah"

Setelah diselidiki, rupa-rupanya pengetua yang bermurah hati itu adalah Ustaz Mohd Lotpi Razali yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah (Sekolah Kluster Kecemerlangan).

 

Seramai 55 orang guru SMKASAS ini ternyata bertuah dikurniakan seorang pengetua yang bermurah hati dan begitu menghargai guru-gurunya. Ustaz Mohd Lotpi ini dikatakan memulakan tugasnya di SMKASAS ini sebagai pengetua sekitar penghujung 2014. Beruntungnya guru-guru di sekolah ini mempunyai Pengetua yang bersifat pemurah begini.

Di ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah atas penghargaan yang diberikan oleh seorang pengetua kepada guru-gurunya.

Tidak kurang juga komen yang menyatakan kesyukuran dan berkongsi kegembiraan apabila guru-guru di sekolah tersebut dihargai oleh pengetua. Ada juga yang berseloroh ingin mohon bertukar ke sekolah tersebut.

Menurut cikgu M Fazdly, ini bukan kali pertama mereka menerima hadiah pada pagi mesyuarat itu, bahkan pada awal 2017 pun mereka telah menerima baju korporat dan batik, begitu juga pada 2016. Terkini, sebagai penaik semangat untuk memulakan 2018, mereka turut dihadiahkan baju korporat buat kali kedua dan batik buat kali ketiga.

Bukan itu sahaja, sebelum ini pun guru-guru telah dibawa bermain boling bersama-sama oleh Pengetua dan acapkali dibawa minum petang di hotel-hotel. Bertuah sungguh mereka!  Terserlah keakraban dan hubungan mesra yang terjalin antara mereka.

 

Suasana seperti inilah yang tidak mustahil merupakan salah satu faktor kecemerlangan sekolah dan kemenjadian pelajarnya. Semoga usaha ini berterusan dan mungkin juga boleh menjadi inspirasi kepada sekolah lain. Syabas diucapkan!

Kepada sekolah lain yang Pengetuanya tidak memberikan hadiah sebegini, jangan pula berkecil hati ya. Masing-masing pasti ada cara tersendiri untuk menghargai guru-gurunya.

Sumber: M Fazdly c Kamaruddin