Kisah sedih Cikgu Muhamad Zamri Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana, Kulai, Johor cukup menyentuh hati.

Sesiapa sahaja yang membacanya, pasti akan menitiskan airmata.

Benarlah kata orang, untuk berjaya, kita perlu merasai kesusahan terlebih dahulu.

Begitulah yang dirasai Cikgu Muhamad Zamri selaku guru Sains.

"Maka tinggallah duit cikgu RM15 sahaja untuk perbelanjaan. Inilah RM15 yang cikgu boleh guna untuk beli alat tulis, beli sabun, ubat gigi dan beli sedikit makanan di kantin"

Liku-liku hidup dilalui Cikgu Muhamad Zamri ini diharapkan menjadi motivasi kepada pelajar di luar sana bahawa setiap kejayaan itu pasti didahului dengan kesusahan. Daripada kesusahan tersebutlah, kita belajar dan bangkit dengan penuh bersemangat dengan satu tujuan iaitu untuk berjaya bukan sahaja di dunia malah akhirat.

Mari ikuti perjalanan hidup Cikgu Muhamad Zamri ketika dibangku sekolah sehinggalah beliau bergelar guru Sains.

**********

Al-kisahnya saya telah meminta pelajar-pelajar untuk membeli buku latihan Sains. Buku itu berharga lebih kurang RM9 tapi ada kedengaran beberapa pelajar merungut kerana diarahkan membeli buku tersebut.

Saya lantas mengingatkan kepada semua pelajar agar jangan berkira sangat tentang ilmu lebih-lebih lagi untuk membeli buku pelajaran. Saya beritahu mereka, duit kalau habis boleh dicari tapi ilmu kalau awak dah dapat insya-Allah akan berguna dalam kehidupan nanti.

Selang beberapa minit kemudian, saya mula menceritakan kisah hidup saya sebagai teladan buat para pelajar. Ceritanya lebih kurang begini...

"Dahulu cikgu orang yang susah, tinggal di kawasan kampung di pedalaman Kelantan. Rumah yang cikgu duduk hanyalah sebuah rumah kayu yang saiznya lebih kurang sebesar bilik darjah kelas awak sahaja, berlantaikan batang pinang dan bermandikan air perigi.

Awak gambarkanlah sendiri bagaimana susahnya hidup cikgu pada waktu tu. Dipendekkan cerita, cikgu berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan telah ditawarkan ke sekolah berasrama di bandar Kota Bharu. Dari rumah cikgu nak sampai ke sekolah, cikgu kena naik empat kenderaan barulah sampai ke sekolah.

Mula-mula cikgu tumpang motor jiran untuk nak keluar ke jalan besar, sebab rumah cikgu jauh ke dalam. Kalau takde motor, cikgu terpaksalah berjalan kaki sahaja sambil memikul beg pakaian yang berat lebih kurang 1km jauhnya. Apabila sampai di jalan besar, cikgu akan menunggu teksi atau prebet sapu pula, agak-agak dalam satu jam barulah ada teksi lalu dan dapatlah cikgu sampai ke bandar Machang.

Selepas itu, cikgu tunggu bas express pula yang mengambil masa dalam satu jam barulah tiba di bandar Kota Bharu. Tapi masih belum sampai lagi ke sekolah, last sekali, cikgu kena tunggu bas mini pula, naik bas mini dan akhirnya sampailah ke sekolah cikgu. Agak-agak dah dekat nak maghrib baru lah sampai ke asrama. Takde pun nak minta mak ayah hantar, tak seperti budak-budak zaman sekarang disuruh hantar dan disuruh diambil oleh ibu bapa. Zaman cikgu sekolah dulu memang agak berdikari. Banyak perkara kena buat sendiri dan banyak keputusan kena fikir sendiri.

Setiap kali kembali ke asrama, ibu hanya mampu memberikan RM50 sahaja, cukuplah perbelanjaan untuk sebulan, pandai-pandailah berbelanja pesan ibu. Apabila sampai di asrama, biasanya keesokan hari, cikgu akan terus berjumpa dengan warden asrama dan membayar yuran asrama sebanyak RM30, maka tinggalah lagi RM20 duit cikgu. Daripada RM20 tu pulak, cikgu akan simpan terus RM5 dalam poket dompet sebab RM5 tu duit tambang untuk cikgu balik semula ke kampung nanti pada hujung bulan.

Untuk pengetahuan pelajar, cikgu hanya balik sebulan sekali sahaja, tak macam budak-budak sekarang kalau boleh tiap-tiap minggu nak balik rumah.

Keakraban Cikgu Zamri bersama sebahagian pelajar SMK Seri Pulai Perdana terserlah menerusi gambar-gambar ini. 

Maka tinggalah duit cikgu RM15 sahaja untuk perbelanjaan. Inilah RM15 yang cikgu boleh guna untuk beli alat tulis, beli sabun, ubat gigi dan beli sedikit makanan di kantin. Percaya atau tidak, cikgu hanya beli sebiji kuih sahaja di kantin pada setiap hari, beratur panjang tapi beli sebiji kuih jer, cuba awak bayangkan...kadang-kadang untuk jimatkan duit, cikgu tak makan pun, harapkan minum air water cooler di sekolah.

Waktu rehat, jumpa kawan-kawan dan tengok kawan-kawan makan nasi ayam, mee goreng, makan sedap-sedap tapi di tangan cikgu hanya seketul karipap jer. Kena berjimat sebab duit bukan banyak, tapi takper, semua itu dah biasa bagi cikgu, sarapan pagi di asrama sudah memadai untuk cikgu.

Suatu hari, guru Sains cikgu telah membawa satu kotak buku rujukan Sains untuk dijual kepada pelajar. Masa tu, guru Sains cikgu menggalakkan semua pelajar untuk membeli buku tersebut. Buku Sains tersebut berharga RM15, cikgu terkebil-kebil, termenung pun ada, terfikir nak beli ke tidak sebab duit dalam dompet memang ngam-ngam ada RM15 jer waktu tu. Itu jer yang tinggal.

Cikgu balik asrama, cikgu fikir betul-betul sama ada nak beli atau tidak buku tersebut. Dalam hati cikgu, bila lagi aku nak beli buku, nak harap pergi bandar kat kedai buku, entah-entah lagi mahal. Akhirnya setelah berfikir panjang, cikgu mengambil keputusan untuk membeli juga buku tersebut demi masa depan dan kerana minat yang mendalam cikgu terhadap mata pelajaran Sains.

Pada keesokan harinya, cikgu jumpa dengan guru Sains dan membeli buku menggunakan RM15 yang ada. Bila dah beli, cikgu peluk buku tu erat-erat, cikgu cium dan setiap malam cikgu akan tidur dengan buku tersebut, biasanya cikgu akan letak di tepi bantal tidur. Cikgu memang sayang pada buku Sains sebab belum pernah lagi cikgu beli buku semahal itu.

Untuk pengetahuan pelajar, dalam buku tersebut jugak, cikgu banyak tulis ayat-ayat motivasi untuk memberi semangat kepada diri sendiri. Jadi, duit pun dah habis, maka selama sebulanlah, cikgu tak pergi ke kantin, tak outing dan tak beli apa-apa pun sebab duit dah takde.

Walaupun dah tamat sekolah menengah, buku Sains itu tetap cikgu simpan dengan rapi dalam almari rumah di kampung kerana itulah buku kesayangan cikgu. Cikgu tetap menyimpan buku tersebut walaupun cikgu dah masuk universiti dan sehingga kini ia, bila cikgu telah bergelar pendidik, buku itu masih lagi tersimpan. Cikgu simpan baik-baik buku tu sebagai kenangan hidup yang sangat bernilai.

Sehinggalah berlaku satu tragedi banjir besar yang amat dahsyat di kampung cikgu pada tahun 2015. Buku tersebut telah rosak ditenggelami banjir besar selama beberapa hari. Hilanglah segala memori dan kenangan manis cikgu terhadap buku Sains.

Cikgu masih ingat lagi, seminggu sebelum banjir besar berlaku, masa tu cikgu balik ke kampung, sehari suntuk cikgu membelek-belek buku tersebut dan membaca semua catatan didalamnya. Buku tu seolah-seolah memanggil cikgu. Rupa-rupanya itu adalah saat-saat terakhir untuk cikgu menatap dan membacanya. Betullah orang cakap, benda kalau kita dah sayang ia seolah-olah seperti ‘ bernyawa'.

Setiap kali teringatkan buku tersebut, cikgu pasti akan sebak kerana buku itulah yang menjadi pencetus kepada diri ini untuk cikgu belajar bersungguh-sungguh ketika sekolah dahulu. Tapi cikgu puas hati dan bersyukur kerana berkat pengorbanan cikgu membeli buku Sains tersebutlah, akhirnya cikgu sendiri telah pun menjadi seorang guru Sains pada hari ini.

Ingat, Allah pasti akan membalas setiap pengorbanan kita. Allah sayang kita, Allah bantu kita kalau kita betul-betul ingin berjaya dalam pelajaran. Cikgu harap janganlah pelajar berkira sangat dengan ilmu, apatah lagi untuk membeli sebuah buku yang membantu kita untuk belajar dan berjaya dalam pelajaran kamu. Tolonglah kamu semua jangan berkira untuk mebeli buku."

Setelah saya habiskan cerita tersebut, kelihatan beberapa pelajar perempuan menutup mulutnya dan kelihatan juga mata mereka kemerah-merahan. Mungkin cerita ini membuat mereka rasa sedih dan sedikit sebak, tapi yang positifnya, saya melihat semua pelajar berpusu-pusu ke koperasi untuk membeli buku sains berharga RM9 yang dipakai untuk tempoh setahun itu.

Artikel menarik

Cikgu yang senyap dan pendiam...anda sebenarnya menjadi pilihan utama warga sekolah

SOP di luar waktu sekolah, adakah masih menjadi tanggungjawab guru? Ini pandangan ikhlas Dr Amani