“Menjadi guru itu tidak pernah menjadikan kita kaya, guru juga tidak akan mendapat layanan VIP namun menjadi guru itu membawa berkat hingga ke mati”

Inilah kata-kata yang sering diberikan oleh Mohamed Salleh Hussain kepada sembilan orang anaknya.

Beliau yang merupakan Mantan Pengarah IPG Kota Bharu dan bapa kepada guru tersohor di Malaysia iaitu Cikgu Mohd Fadli Salleh (MFS) sentiasa memupuk minat dan menghidupkan cita-cita pada setiap anaknya agar menjadi seorang guru kelak.

“Setiap hari, abah sentiasa bercerita tentang keseronokan menjadi cikgu.

“Kata abah lagi, guru merupakan satu pekerjaan amat penting dan mulia kerana guru adalah sebagai model kepada anak didiknya dan masyarakat setempat.

“Mungkin kerana faktor ini, saya dan lapan adik-beradik yang lain, telah menjadi seorang guru,” kata Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah Sains (SMS) Pasir Puteh, Kelantan, Dr Salbiah Mohamad Salleh kepada GPS Bestari.

Mohamed Salleh (kiri) bersama isteri tercinta, Khatijah. 

Cikgu Salbiah merupakan kakak kelima kepada Cikgu MFS. Selain mereka berdua, tujuh lagi adik beradik lain ialah Cikgu Norasma Mohamed Salleh (Guru Cemerlang Bahasa Melayu SMS Pasir Puteh, Kelantan); Cikgu Norhana Mohamed Salleh (SM SainsTengku Abdullah, Raub); Cikgu Mohd Ariff Mohamed Salleh  (SK Padang Pak Amat) dan Cikgu Solihah Mohamed Salleh (SMK Rawang).

Seterusnya, Cikgu Ahmad Mohamed Salleh (SM Sains Tengku Mohamad Faris Petra); Cikgu Nur Afifah Mohamed Salleh (SK Taman Seri Gombak) dan Cikgu Siti Faizah Mohamed Salleh  (SK Taman Desa (2)).

Semua ahli keluarga berkumpul dan memberi sokongan kepada keluarga Mohamed Salleh atas penyertaan mereka dalam pertandingan International Learning Innovatition Competition di UUM, baru-baru ini. Mereka berjaya memenangi pingat emas pada pertandingan tersebut.

Cikgu Salbiah berkata, ibunya iaitu Khatijah Mohd turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk bergelar seorang pendidik.

“Ma bukan pendidik tetapi beliau adalah guru mengaji al-Quran di kampung.

“Ma tidak pernah merungut keletihan dalam menguruskan kami sembilan beradik. Beliau sentiasa istiqamah mendidik kami dalam ilmu dunia dan juga akhirat.  

“Sewaktu kecil, adik-beradik akan mengaji bersama-sama pada setiap pagi, menghafal sifir dan bermain kosa kata dalam Bahasa Inggeris. Seronok sangat masa itu,” ujarnya.  

Sementara itu Cikgu Solihah pula berkata, ayah dan ibu sentiasa menjadi idola buat dirinya dan adik-beradik yang lain.

“Abah sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada kami. Misalnya, abah akan membaca al-Quran sebelum memaksa anak-anak mengaji.

“Kemudian abah akan menziarahi orang sakit sebelum mengarahkan kami melakukan perkara yang sama. Abah juga akan meraikan tetamu yang datang ke rumah dan kerana itulah kami sembilan beradik mencontohi apa yang telah abah buat,” ujarnya.

Cikgu Salbiah (dua kanan) bersama dua adik-beradiknya dan juga ayah tercinta.

Pegangan abah ialah apa sahaja yang kita peroleh kita kena banyakkan bersyukur. Abah selalu mengingatkan bahawa kesenangan dan kemewahan itu pun adalah ujian.

Ma pula, kata Cikgu Siti Faizah, sentiasa berpesan kepada anak-anak agar menunaikan solat hajat sekiranya berdepan dengan kesulitan.

“Ma merupakan murabbi terbaik bagi kami terutamanya anak-anak perempuan dalam perngurusan rumahtangga yang sakinah,” jelasnya.

Memandangkan mereka terdiri kalangan keluarga pendidik, GPS Bestari sempat bertanyakan berkenaan destinasi percutian keluarga besar Cikgu Salbiah ini.

“Biasanya kami akan berkumpul bersama-sama ketika waktu cuti sekolah. Lokasi percutian adalah di kampung bersama abah dan ma.

“Tiada istilah percutian hotel atau resort bagi kami. Rumah abah dan ma merupakan hotel lima bintang dan masakan ibu adalah masakan chef terhebat yang pernah kami rasa.

“Kami juga kerap mengadakan jamuan keluarga di rumah adik-beradik lain. Jarang sekali bercuti di luar, kalau ada pun sesekali sahaja,” katanya.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di rumah salah seorang adik-beradik Cikgu Fadli.

Apabila ditanya berkenaan populariti Cikgu MFS yang kini terkenal di seluruh negara, ini kata Cikgu Norasma sebagai mewakili adik- beradik yang lain.

“Segala puji bagi Allah. Kami bersyukur dan sentiasa memberi sokongan kepada beliau. Kami sentiasa mengikuti perkembangan Cikgu MFS dan menyampaikan segala perkembangan kepada ma dan abah. Ma dan abah tiada telefon pintar, hanya mengetahui perkembangan beliau melalui anak-anak lain.

“Cikgu MFS sebenarnya layak untuk mencapai ke tahap ini setelah melalui ranjau perjalanan yang pelbagai. Kami juga sedar ia adalah ujian hati bagi beliau dan kami sekeluarga.

“Cikgu Fadli adalah adik-beradik kami yang agak berbeza. Perjalanan hidupnya bermula dengan kesukaran dengan mengajar di sekolah orang asli kemudian berpindah ke kota.

“Jiwa beliau banyak dipengaruhi dengan sifat ibu ayah. Ibu ayah didik kami dengan semangat cakna. Jangan senang hati saat masih ada ramai yang susah. Didikan itulah yang sentiasa ada dalam diri Cikgu Fadli.

"Apabila Cikgu Fadli dikenali, sebenarnya masyarakat bukan sekadar mengenali beliau tetapi beliau sedang membawa jiwa ayahanda, bonda dan adik-beradik bersama,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga sangat bersyukur apabila Cikgu MFS berada pada tahap sekarang.

“Kami juga berasa inilah peluang bagi kami adik-beradik untuk membantu orang lain dengan kekuatan yang dirinya ada.

“Beliau akan menyokong setiap pekerjaan amal yang kami adik-beradik lakukan. Sentiasa sokong-menyokong dan di ibaratkan merumpun ibarat seberkas lidi yang mampu melicinkan kebun-kebun kecil,” akhiri Cikgu Salbiah.

Enam adik-beradik perempuan bersama Cikgu Fadli (depan).

Berkumpul bersama-sama ketika hari pelancaran EBOOK Secangkir Hikmah PKP.

Keluarga besar Cikgu MFS ketika menyambut ayah dan ibunya pulang daripada menunaikan umrah.

INFO

(1) Cikgu Norasma Mohamed Salleh, 44 tahun (anak kedua)

  • Guru Cemerlang Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan
  • Guru Adiwira sekolah dalam projek inovasi dan Guru Pembimbing Tremendous Pasukan Bahas Sekolah

Latar belakang pendidikan

  • Diploma pendidikan Islam Dakwah (KUSZA)
  • Ijazah Sarjana Muda (Bimbingan dan Kaunseling dan Bahasa Melayu di UPM)

Pencapaian

  • Anugerah platinum mata pelajaran Bahasa Melayu GPMP 0.55 peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
  • Anugerah khas 100 A bagi SBP
  • Anugerah Emas bagi pertandingan inovasi peringkat antarabangsa (PIP 2019)
  • Anugerah Emas peringkat antarabangsa bagi pertandingan inovasi Virtual Innovation Exhibition VIC  2020

(2) Dr Salbiah Mohamed Salleh, 39 tahun (anak kelima)

  • Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan.
  • Guru yang versatile, pakar dalam bidang kajian tindakan, inovasi STEM dan PdPC.

Latar belakang pendidikan

  •  Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengukuran Penilaian (bidang yang masih kurang kepakaran dan jarang diceburi).

Pencapaian

  • Anugerah Emas Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Kebangsaan
  • Anugerah Emas Inovasi PIP 2019 dan VIC 2020, The Most Outstanding Video Award untuk kategori Young Scientist.
  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019.
  • Guru Adiwira sekolah

(3) Mohd Fadli Salleh, 37 tahun (anak keenam)

  • Guru Matematik SK (1) Gombak

Latar belakang pendidikan

  • Maahad Muhammadi (L)
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS)
  • Maktab Perguruan Islam Bangi (Diploma Pendidikan)

Anugerah

  • Sijil Perkhidmatan Cemerlang KPM 2018
  • Anugerah Guru Inspirasi McDonald’S 2019
  • Penghakiman Pertandingan Guru Inovatif peringkat Negeri Selangor 2019

Aktiviti keluarga

1) BengkelMatematik UPSR 2018 & 2019 – MFS sebagai speaker dan kami adik beradik merupakan penganjur

2) EBook Secangkir Hikmah PKP – Penulis terdiri daripada ayah, ibu, adik beradik, menantu dan cucu. Menghimpunkan tip dan pengalaman sepanjang tempoh PKP. Telah didownload secara percuma lebih 5000 kali. Ini ialah link Ebook tersebut https://www.pecutanupsr.com/secangkir-hikmah-pkp/

3) Program Dana Kita di kampung dan sekolah. Setiap kali bulan Ramadan, akhir tahun dan juga secara berkala sepanjang tahun

4) Inovasi PIP 2019. Kami sekeluarga telah bertanding produk inovasi keluarga di UUM Sintok, kedah pada 30-31 Julai 2019 iaitu International Learning Innovatition Competition. Memenangi pingat Emas dengan tajuk: Varks Phonic Reading. Video boleh ditonton menerusi link https://youtu.be/DeYRvT2de0w

Artikel menarik

Dua beradik bimbing pelajar SMS Pasir Puteh hasilkan inovasi hingga bawa pulang pelbagai anugerah

Penggunaan gajet dalam PdP beri impak besar. Ustazah ini kongsi tiga sebab yang ramai tak tahu!

Gemar bercucuk tanam dan sering disangka tukang kebun, ramai terkejut rupa-rupanya dia….