"TERIMA kasih selalu bersihkan sekolah, selalu sentiasakan sekolah bersih. Ni ada saya belanja sikit"

Begitulah isi sekeping nota kecil yang dijumpai oleh Cikgu Muhamad Zamri Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana, Kulai, Johor.

Menurut Cikgu Muhamad Zamri yang juga guru Sains , tulisan tangan pada nota tersebut adalah milik pelajar Tingkatan Dua Ibnu Khaldun, Areanna Haziqah Hishamuddin.

"Nota ini ditampal di pintu stor sekolah yang terletak di belakang bangunan.

"Biasanya stor ini menjadi tempat tiga tukang kebun sekolah atau pekerja pembersihan yang berbangsa India untuk meletakkan barang mereka," katanya ketika ditemu bual wartawan GPS Bestari menerusi panggilan telefon, sebentar tadi.

Selain nota, cikgu ini turut menjumpai tiga botol mineral, tiga keping roti dan biskut yang telah diletakkan di dalam bungkusan plastik merah.

"Makanan tersebut ada di hadapan stor sekolah. Jadi saya beranggapan, nota dan makanan ini diberikan kepada ketiga-tiga tukang kebun kami," katanya yang berada di sekitar kawasan berkenaan pada jam 4 petang, Khamis lalu.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang tukang kebun berbangsa India menuju ke stor berkenaan.

"Uncle Muthu, ini ada nota dan sedikit makanan. Ada pelajar yang bagi. Saya hanya tahu nama menerusi nota yang dijumpai di sini.

"Terima kasih banyak cikgu. Jika cikgu jumpa dia, sampaikan ucapan ribuan terima kasih padanya"

Dalam pada itu, wartawan GPS Bestari sempat bertanyakan perasaan cikgu ini berkenaan kisah tersebut.

"Saya merasa bangga dan terdetik rasa insaf dalam diri atas keprihatinan pelajar ini. Kita sudah biasa melihat pelajar yang menghargai guru, tapi kali ini kita melihat pelajar yang menghargai pekerja yang setiap hari menabur bakti dalam menjaga kebersihan sekolah.

"Amalan ini patut diinsafi oleh semua warga sekolah bukan sahaja pelajar malahan kepada semua guru. Semoga ianya menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya yang memasang harapan agar kita sentiasa berbuat baik sesama manusia tanpa mengira batasan agama dan kaum. Sesungguhnya medium dakwah yang terkesan adalah melalui paparan akhlak kita.

 

 

INFO

SMK Seri Pulai Perdana amat menitikberatkan pembinaan nilai-nilai sahsiah di kalangan pelajar.

Antara program yang dijalankan.

1) Anugerah Ikon Sivik (bulanan)

2) Anugerah Kemenjadian Murid (hujung tahun)

3) Program Budaya Quran (setiap hari Khamis)

4) Bacaan Al Mathurat (setiap pagi)

5) Program Hafazan surah-surah lazim (setiap tengahari)

6) Solat berjemaah (setiap hari Zohor dan Asar)

8) Kumpulan Sukarelawan Briged Al-Muttaqin.

9) Program Khatam Quran 30 jam tanpa henti.

10) Program Bina Sahsiah Murid bukan Islam.

 

Antara pembinaan nilai-nilai murni di kalangan pelajar SMK Seri Pulai Perdana.

Artikel menarik:

Tiga guru muda kongsi 'idea pembelajaran' menggunakan Model 5E konstruktivisme

Bagaikan profesional, koleksi kabinet pelajar SMK Kuala Kurau buat ramai warganet terkejut!