Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa… seorang guru dari SK Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sarawak, berkongsi kisah sedih tentang pengorbanan seorang ayah yang sanggup lalui perjalanan jauh sambil dukung anaknya pergi dan balik ke sekolah setiap hari.

Menurut Guru Prasekolah, Cikgu Ahmad Faqih Fauzi, murid prasekolah berusia lima tahun itu bernama Monisha anak Philip.

Memang setiap hari ayahnya akan dukung Monisha pergi dan balik ke sekolah. Malah, ayahnya juga akan menunggu Monisha sehingga habis waktu persekolahan.   

Monisha tinggal di Kampung Nanga Kekan. Masa yang diambil berjalan kaki dari rumah ke sekolah hampir satu jam perjalanan.

Jika menggunakan bot, dalam setengah jam sampailah Monisha ke sekolah. Disebabkan itulah Monisha jarang datang awal ke sekolah.  

“Kalau jalan kaki dalam lima kilometer juga jaraknya. Laluan yang terpaksa dilalui oleh Monisha dan ayahnya adalah jalan kebun dan berbukit. Tiap kali bapanya datang hantar Monisha ke sekolah, terpaksalah bapanya berkorban meninggalkan sementara kerja-kerja bertani.

“Kadang-kadang tengok anak-anak kecil macam ni ramai yang buat mak ayah serba salah. Kalau hari-hari hantar anak-anak ke sekolah, kerja di kebun terbengkalai. Kalau tak hantar, anak tak boleh ke sekolah.

“Masalah ni bukan dengan Monisha sahaja, ada lagi empat orang anak murid saya nasibnya juga sama. Jauh dari sekolah. Antara pendidikan anak-anak dengan nak isi perut untuk sara kehidupan. Dilema…. Kesiankan,”katanya.

Menurut guru asal Kelantan ini, sebenarnya SK Ulu Lemanak ada menyediakan rumah arau, iaitu rumah tumpangan untuk ibu bapa murid prasekolah.

Namun ibu bapa tidak dapat tinggal di situ, sebab kekangan kerja sebagai petani menanti.

“Asrama pula hanya untuk murid Tahun Satu hingga Enam. Disebabkan itulah Monisha terpaksa berulang alik jauh dari rumah ke sekolah,”katanya.

Tambah Ahmad Faqih, Monisha ni seorang murid yang istimewa. Sentiasa ceria dan tidak menangis dalam kelas walaupun hanya beberapa kali sahaja datang sekolah.

Perkongsian Ahmad Faqih turut mendapat reaksi pelbagai dari warganet. Rata-rata kagum dengan pengorbanan si ayah dan semangat yang ditunjukkan oleh Monisha.