“Setiap kali menanda buku karangan pelajar ini, perasaan saya pastinya seronok dan teruja kerana ia lain daripada yang lain”

Itu kata guru Bahasa Melayu Tingkatan Empat dan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah, Ampang, Selangor, Nur Azah Salman.

Menurut Cikgu Nur Azah, karangan pelajar Tingkatan Lima Marikh, Muhammad Iqmal Haqim Dzul Afiezal unik dan sukar dijumpai.

“Dia menulis karangan berdasarkan tajuk yang diberi. Uniknya, Muhammad Iqmal Haqim turut melukis anime pada setiap isi karangan.

“Sebagai guru, tentulah saya gembira kerana mempunyai pelajar yang sangat kreatif,” kata beliau kepada GPS Bestari.

Tambah beliau, watak anime yang dilukis itu adalah berdasarkan isi karangan yang sedia ada.  

“Lukisan Muhammad Iqmal Haqim bagaikan pelukis profesional. Cantik dan sangat luar biasa.

“Saya sangat berharap agar dia dapat melukis lebih banyak lagi karya anime dalam karangan akan datang. Sekurang-kurangnya, lukisan ini dapat membantu dia untuk skor A dalam Bahasa Melayu SPM,” ujarnya yang mungkin akan menggunakan bahan-bahan lukisan anime pelajar Lima Marikh itu untuk sesi PdPc di dalam kelas lain.

Sebagai pembakar semangat, Cikgu Nur Azah menyelitkan kata-kata dorongan kepada pelajarnya itu.

“Saya berharap Muhammad Iqmal Haqim dan pelajar Tingkatan Lima yang lain, akan berjaya dalam SPM nanti. Kepada Muhammad Iqmal Haqim, jangan sia-siakan bakat melukis yang ada...ketengahkan dan kembangkanlah hingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” ujarnya.

Cikgu Nur Azah

Muhammad Iqmal Haqim merupakan seorang remaja biasa yang sangat suka melukis sejak berusia 10 tahun lagi.

Minat melukis itu timbul apabila dia gemar menonton kartun setiap hari di rumah.

“Saya cuba melukis anime di atas kertas lukisan. Lama-kelamaan, makin seronok pula bila lihat anime yang siap dilukis. Sejak itu, saya asah bakat dengan melukis dan akhirnya, inilah hasil karya saya,” katanya.

Ujar pelajar ini, timbul minat untuk melukis dalam karangan adalah disebabkan untuk menjadikan buku karangan menjadi lebih menarik.

“Alang-alang tahun terakhir, saya pun lukislah apa yang saya suka dalam buku.

“Bukan hanya untuk subjek Bahasa Melayu sahaja, tetapi saya juga melukis untuk nota Fizik dan juga nota Matematik Tambahan,” katanya yang hanya mengambil masa sehari untuk menyiapkan karangan berserta lukisan anime yang dihasilkan sendiri berpandukan isi-isi karangan yang telah diberikan oleh ahli kumpulan. 

Muhammad Iqmal Haqim merupakan seorang pelajar yang sangat berbakat dalam melukis anime.

Artikel menarik

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih

Tiga tahun pakai kasut koyak...cikgu ini sebak kenang nasib pelajar Tingkatan Dua

'Kami solat dhuha, cikgu' - Jawapan murid Tahun Tiga buat PK HEM terharu bercampur gembira