"TAK sangka murid-murid seronok dengan kaedah nyanyian ini.

"Sekurang-kurangnya, mereka dapat ingat fakta dan maklumat berkaitan subjek yang dipelajari," kata Ustaz Muhamad Akmal Jamaludin.

Merupakan Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Palong 8, Jempol, Negeri Sembilan, Ustaz Muhamad Akmal berkata, dia mula menggunakan kaedah nyanyian sejak mula bertugas sebagai guru pada tahun 2015.

"Pada peringkat awal, saya cuma berseloroh dengan murid dan tanya mereka, kenapa susah untuk mengingat fakta pembelajaran tapi boleh ingat pelbagai lagu dengan baik.

"Pertanyaan yang sering saya tanya mereka...'Kamu ni bila belajar tak ingat, menyanyi boleh pula ingat lagunya!”

Kemudian, terus terdetik dekat hati, kenapa tidak cuba gunakan saja lagu yang diisi dengan fakta pembelajaran? Mungkin murid boleh cepat ingat.

Pada awalnya, murid ketawa sebab lagu pertama yang ustaz ini gunakan adalah bergenre dangdut iaitu Sakitnya Tuh Di Sini.

Mereka ketawa mungkin disebabkan lagu dangdut di bawa ke dalam subjek Pendidikan Islam. Janggal betul gabungannya.

"Tapi lama kelamaan, murid jadi seronok. Sampaikan setiap kali masuk kelas, mereka minta saya nyanyi lagu dulu sebelum duduk," katanya.

Ustaz Muhamad Akmal berkata, sebelum nyanyian bermula, murid diminta menyalin lirik yang telah ditulis, ke dalam buku latihan masing-masing.

Sementara itu, menerusi video yang dipaparkan ini, Ustaz Muhamad Akmal berkata, murid Tahun Dua itu sedang mengikuti subjek Sirah.

"Sesuci Hati Kekasih Allah adalah tajuk dalam subjek Sirah.

"Saya bersama dengan mereka menyanyi supaya mereka ingat segala fakta-fakta yang ada dalam tajuk tersebut.

"Alhamdulillah, semuanya mampu mengingatinya dengan baik," ujarnya yang pernah mengajar di SJKC Ghung Hua Balingian, Sarawak, sebelum ini.

Artikel menarik:

'Balik rumah, cikgu terus buka hadiah. Ada lori mainan, monyet dan sikat perapi dalam kotak kasut'

Kerana kemiskinan, pelajar pakai perca kain putih jahitan ibu ke sekolah. Cikgu Maisarah sebak