Kali ini, kita akan pelajari pula cara mendidik anak-anak menguruskan wang mereka.

Masa berlalu begitu pantas.

Alisa kini sudah hampir berumur 2 tahun.

Adam dan Aida telah menyesuaikan diri dengan gaya hidup baharu mereka sebaik mungkin.

Namun kadang kala mereka masih berasa tersepit antara keluarga dan kerjaya.

Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian.

Malah tugas ini mungkin sama besar tekanannya, dan dalam sesetengah keadaan, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa.

Dalam ekonomi yang mencabar, keluarga yang mana suami isteri bekerja adalah sesuatu yang biasa.

Beban kerja yang berat dan gaya hidup penuh tekanan menyebabkan ibu bapa ini sering pulang dalam keadaan letih dan tidak punya masa dengan anak-anak.

Ada yang hanya berjumpa anak mereka pada hujung minggu.

'Ibu bapa hujung minggu' ini menurut segala kemahuan anak mereka selagi mampu.

Mungkin keadaan ini dicetuskan oleh perasaan bersalah kerana mereka tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak.

Jadi mainan dan barangan sepertinya menjadi penebus.

Apa yang mereka lakukan ini mencetuskan pandangan salah terhadap wang pada anak-anak.

Pada hakikatnya, kanak-kanak mempunyai konsep berbeza mengenai wang.

Bagi kanak-kanak, wang itu sentiasa ada – seperti tumbuh-tumbuhan yang melata.

Sebab itulah kita perlu melihat wang melalui kaca mata anak-anak ketika mendidik mereka mengenai wang; bukan hanya memberi mereka wang tanpa batasan!

Adam dan Aida telah meletakkan Alisa dalam jagaan datuk dan neneknya ketika mereka bekerja.

Cara ini memang lebih baik berbanding meninggalkan mereka dalam jagaan pembantu rumah asing.

Namun cara ini ada juga tidak baiknya.

Ramai datuk dan nenek suka 'memanjakan' cucu-cucu.

Oleh sebab itu, apabila tiba masa mengajar Alisa tentang kewangan, ibu bapa dan datuk nenek perlu  sehati mendidik anak dan cucu mereka.

Bagaimanakah cara yang sepatutnya mereka mengajar Alisa mengenai kewangan?

Di bawah ini disenaraikan beberapa garis panduan berdasarkan peringkat umur yang boleh kita gunakan untuk mendidik kanak-kanak tentang nilai wang.

1- Peringkat pra sekolah

Peringkat umur ini tidak terlalu awal untuk mula menyemai amalan terbaik dari segi kewangan.

Apabila mereka telah memahami apa itu wang dan mula menerima dan menggunakannya, mereka sudah bersedia untuk dididik mengenai pra belanjawan.

Pra-belanjawan ini hendaklah diajar secara mudah supaya kanak-kanak dapat membahagikan wang mereka kepada beberapa kategori berlainan.

Ibu bapa boleh bermula dari peringkat awal dengan menyediakan tiga tabung: satu untuk Berian (amal), Tabungan, dan yang akhir untuk Belanja.

Elaun dan hadiah anak-anak kemudiannya dibahagikan (misalan 'duit raya' atau 'angpow') kepada tiga bahagian sama rata dan minta mereka memasukkan ketiga-tiga amaun sama ini ke dalam setiap tabung.

Duit yang dimasukkan dalam 'Bank Amal' akan diguna untuk bantu mereka yang kekurangan.

Misalan, anda terbaca mengenai kejadian gempa bumi atau bencana tsunami dan mangsanya merayu bantuan dana.

Ataupun artikel akhbar yang mengisahkan mengenai bayi atau kanak-kanak dengan jantung berlubang yang memerlukan bantuan untuk menjalani pembelahan. 

Ini akan mendidik anak bukan sekadar menyedari nilai sebenar wang malah bersikap prihatin untuk membantu.

Duit dalam 'Bank Belanja' digunakan membeli barangan yang kanak-kanak inginkan dan tidak sepatutnya dibeli oleh ibu bapa.

Ini termasuklah permainan kecil, gula-gula, coklat dan sebagainya.

Namun, mereka perlu faham bahawa apabila duit habis, mereka tidak boleh mengambil duit daripada tabung ‘berian’ atau ‘tabungan’ untuk beli barangan yang mereka mahu.

Duit dalam ‘Bank Tabungan’ pula untuk mencapai sasaran jangka pendek yang tertentu. Misalannya menabung untuk beli kereta kawalan jauh atau patung Barbie atau untuk beli hadiah istimewa hari jadi ayah dan ibu.

2- Peringkat sekolah rendah

Apabila kanak-kanak mencapai umur 7 tahun, mereka sepatutnya sudah bersedia untuk menyediakan belanjawan mini.

Dengan belanjawan mini ini, perbelanjaan dan pendapatan hendaklah dicatatkan dalam sebuah buku nota kecil.

Kita asingkan 'Bank Tabungan' kepada Tabungan Jangka Pendek dan Tabungan Jangka Panjang dan ajar anak-anak cara merekodkan perbelanjaan mereka.

Tabungan Jangka Pendek digunakan untuk beli barangan yang memerlukan mereka menabung bagi tempoh kurang daripada setahun sementara Tabungan Jangka Panjang untuk beli barangan yang memerlukan mereka menabung bagi tempoh menjangkaui setahun.

Misalan, mereka mungkin mahu membeli mainan video dan kita boleh menasihati mereka menabung untuknya dan kita akan bayar kos selebihnya atau membuat 'sumbangan yang sepadan' ke dalam 'Bank Tabungan Jangka Panjang' mereka.

Belanjawan mini ini bertujuan menyemai tabiat suka mengawasi kedudukan kewangan dan tabungan mereka agar mereka dapat mencapai sasaran jangka pendek mahupun sasaran jangka panjang mereka.

3- Peringkat remaja

Tempoh ini adalah yang paling kritikal bagi kanak-kanak tahun peralihan kepada peringkat dewasa.

Apabila mencapai tempoh ini, mereka sudah seharusnya faham asas kewangan dan belanjawan peribadi - sudah mengguna pakai kaedah yang berkaitan.

Pada asasnya, ketika fasa ini, kita mahu memberi anak-anak lebih kuasa dalam membuat keputusan mengenai kewangan mereka.

Tanggungjawab yang diberikan juga lebih besar. Biar mereka sendiri merancang cara mereka membelanjakan wang dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas akibat keputusan yang diambil.

Lebih baik mereka melakukan kesilapan kecil sekarang daripada membuat kesilapan yang lebih besar di masa hadapan.

Memang benar keputusan yang diambil berbeza berdasarkan umur dan personaliti, namun, semakin banyak peluang yang diberikan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka membuat keputusan, semakin jelas pada mereka sama ada anak mereka sudah menjadi seorang yang berdikari dari segi kewangan.

Ibu bapa juga patut mula mengajar anak-anak mereka konsep 'kerja untuk elaun' dalam tempoh ini.

Cara ini adalah untuk mengajar kanak-kanak, apabila sampai ke satu tahap dalam hidup mereka, tidak ada lagi yang percuma.

Wang yang dibawa pulang oleh ibu dan bapa setiap bulan adalah hasil kerja keras mereka.

Ibu bapa boleh mula menerapkan konsep sebegini dengan menggaji anak-anak mereka untuk melakukan kerja di sekitar rumah ketika cuti sekolah dan membayar mereka gaji yang berpatutan.

Mereka akan menyedari nilai sebenar wang dan akan lebih berhemat ketika berbelanja.

Ini pula kisah pelajar tingkatan 3 yang digelar Human Calculator setelah berjaya memukau dunia dengan kepantasannya mengira.

Selanjutnya boleh dibaca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/berita/saya-hanya-belajar-sendiri-buat-soalan-jawab-sendiri-budak-human-calculator-pelajar-form-3-1.923413