Gemeresik alunan muzik ketukan gamelan mendendangkan irama indah daripada kumpulan Gemawan Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) mewarnai serta menghangatkan lagi suasana di dalam Dewan Karangkraf pada pagi 17 Julai, semalam.

Gamelan daripada kumpulan Gemawan Kisas.

Seawal pagi lagi, kelihatan para peserta program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) berserta guru iringan telah pun hadir memenuhi dewan bagi menghadiri majlis Perasmian Penutupan Anugerah Nilam peringkat Negeri Selangor 2017.  Dewan ini menjadi saksi bagi menyempurnakan acara pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya untuk tahun ini.  Turut hadir adalah pegawai Pendidikan Daerah Negeri Selangor dan juga pegawai Pusat Kegiatan Guru Negeri Selangor. 

Kehadiran tetamu jemputan.

Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Nik Asma Nik Ahmad, diikuti Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yang Berbahagia Shashim Shah Harun seterusnya merasmikan program pada hari itu.Tambah menarik, ucapan diselang-selikan dengan tayangan klip video Kem Pemilihan Tokoh NILAM.

Empat kategori pertandingan

Untuk pertandingan ini, terdapat empat kategori dipertandingkan, iaitu kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, dan kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, bahan bacaan, hamper, sijil, piala dan token masuk ke tayangan 6D Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) manakala Johan kategori sekolah menengah menerima hadiah istimewa berupa tajaan Biasiswa Dana Karangkraf sumbangan Kumpulan Media Karangkraf.

OMAR QAYYUM (paling kanan), Johan kategori Bahasa Melayu Sekolah Menengah.

Bagi Johan kategori Bahasa Melayu Sekolah Menengah, Omar Qayyum Hamdan, 16, dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, dia sudah mula mengaktifkan diri dalam NILAM sejak tahun 6, namun ketika itu dirinya masih belum terdedah dengan pertandingan sebegini.  Sehinggalah dia mula melangkah masuk ke sekolah menengah dalam tingkatan tiga. Omar sering terlibat di dalam acara debat dan sering menang hingga ke peringkat kebangsaan sehingga dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

Bermula dari tingkatan empat, barulah Omar berjinak-jinak dengan pertandingan sebegini dan sungguh dia tidak menyangka percubaan sulungnya terus membuahkan hasil hingga melayakkan dirinya meraih kejuaraan. Guru pembimbingnya, Fenty Khosny merupakan tulang belakang dirinya sehingga diumumkan sebagai Johan Anugerah NILAM bagi kategori ini.

Antara rahsia kejayaannya, Omar menyatakan yang dia sering melibatkan diri di dalam pengacaraan majlis untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, berlatih pada waktu lapang dengan membaca  dan berdebat, juga menyampaikan ucapan ketika perhimpunan sekolah untuk mempertingkatkan lagi kemahirannya. Tambahan lagi, dia turut dilantik menjadi exco perhimpunan pengawas sekolah untuk meningkatkan kemahiran dala m kepimpinan. Omar sempat berkongsi dan menitipkan tip untuk berjaya dalam bidang ini. Menurutnya, perkara asas adalah menjaga tingkah laku dan keterampilan diri. Proses membaca perlu sering digiatkan untuk menambah ilmu dan tujuan berkomunikasi.

Teruja habiskan bacaan dalam waktu singkat

DANISHAVARSINI (paling kanan), johan kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah.

Danishavarsini a/p Somu, 11 dari SK Assunta (Satu), Johan kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, dia mula aktif program NILAM sejak tahun satu lagi. Ini kerana dia ingin mencuba sesuatu yang menarik dan menghiburkan. Pada awalnya, dia hanya mempunyai puluhan buku yang berjaya direkodkan dalam buku NILAM, namun sehingga kini semakin meningkat sehingga mencecah 549 buah buku.

Saat ditebak pertanyaan tentang jadual latihan, katanya dia sering datang awal pagi ke sekolah untuk berlatih bersama guru pembimbingnya, Norfaizah Ab Hamid memandangkan dia bersekolah sesi petang. Dia gemar membaca buku untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Satu tabiat yang sukar dilepaskan adalah dia pasti akan menghabiskan keseluruhan bacaannya untuk satu-satu buku pada waktu itu juga. Dia teruja untuk mengetahui pengakhiran kisah satu-satu  buku itu. Lazimnya dia akan meminjam buku di perpustakaan MPPJ atau akan membeli sendiri buku-buku yang diminati.

Meminati genre pengembaraan dan halaman muka surat yang berwarna-warni, Danisha pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan siri buku Enid Blyton bagi kategori bahasa Inggeris dan koleksi Ain Maisarah bagi bahasa Melayu. Memandangkan adiknya turut meminati bidang yang sama, Danisha selesa berlatih bersama adiknya dan dijangka adiknya akan turut menurut jejak langkahnya menyertai NILAM pada tahun hadapan.

Faktor bangsa bukan halangan

Ng Joe Han, Naib Johan kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah.

Bagi Ng Joe Han, dari Sekolah Kebangsaan (2) Jalan Batu Tiga, Naib Johan kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah, penyertaannya di dalam Bahasa Melayu amat membanggakan walaupun Joe Han sendiri berbangsa Cina. Namun ternyata bangsa seseorang bukan ukuran. Penguasaan bahasa Melayu yang baik dan atas faktor dirinya yang mempunyai sikap rajin membaca membuatkannya layak untuk berada pada kedudukan itu.

Maizatul Shima, guru pembimbingnya yang bertanggung jawab mencungkil bakatnya sejak tahun satu lagi dan membawanya hingga berjaya seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Pernah menerima anugerah Tokoh Nilam Harapan Sekolah ketika umurnya sembilan tahun, kejayaan Joe Han hari ini banyak didorong oleh sikapnya yang amat meminati bidang pengucapan awam, pidato, pembentangan, syair dan bicara berirama selain daripada minatnya yang gemar melukis.

Pemenang kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah. Nur Sarrah Hanis Salihan, johan kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah.

Majlis berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari disusuli dengan sesi bergambar beramai-ramai.

Tahniah kepada semua peserta!

Senarai Pemenang Anugerah NILAM Selangor 2017

Kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu

Kedudukan

Nama

Sekolah

1

Nurin Insyirah Saiful Rizal

SK Bandar Anggerik

2

Ng Joe Han

SK (2) Jalan Batu 3

3

Ayu Saffiyah Muhammad Adha

SK Parit Baharu

 

Kategori Sekolah Rendah Bahasa Inggeris

Kedudukan

Nama

Sekolah

1

Danishavarsini a/p Somu

SK Assunta 1

2

Lisa Kamalia Mohd Salleh

SK Sg Baharu Lanjut

3

Sasha Marie Alfred

SK Bukit Rimau

 

Kategori Sekolah Menengah Bahasa Melayu

Kedudukan

Nama

Sekolah

1

Omar Qayyum Hamdan

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Gombak

2

Muhammad Asfal Wafiq Zakri

Kolej Islam Sultan Alam Shah

3

Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar

SAMT Tengku Ampuan Jemaah

 

Kategori Sekolah Menengah Bahasa Inggeris

Kedudukan

Nama

Sekolah

1

Nur Sarrah Hanis Salihin

Sekolah Seri Puteri

2

Wan Nabilah Dina Wan Zamri

Kolej Islam Sultan Alam Shah

3

Deanna Anisha Mahadevan

SMK Seafield