JOHOR BAHRU - Komited dengan inisiatif untuk menggabungkan transformasi pelaksanaan “Sustainable Development Goals (SDG’s)” di Institut Pengajian Tinggi (IPT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan persidangan “Regional Conference in Civil Engineering (RCEE) and Sustainable Development Goals (SDG) 2020, baru-baru ini.

Pelaksanaan ini adalah berdasarkan inisiatif umum yang telah digariskan oleh United Nation (UN) bagi tahun 2030.

Persidangan selama dua hari itu dijalankan dengan sokongan dan pembiayaan AUN/SEED-Net secara dalam talian dan berjaya menarik penyertaan sehingga 100 peserta tempatan dan luar negara terutama dari kalangan negara ASEAN.

Prof Ir Dr Mohd Fadhil (kiri) ketika memberikan ucapan perasmian dan menjadi hos program RCCE dan SDGs 2020 anjuran Pusat Kelestarian UTM (UTMCS) bersama dan Pengarah Program, Dr Khairun Nissa Mat Said.

Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS), Prof Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, persidangan maya itu membantu pengukuhan agenda khusus sedunia mengenai dunia pada tahun 2050 (The World in 2050).

“Aspirasi ini akan dapat menjadikan penyelidikan dan pengetahuan fakta SDG’s supaya mampu dilaksanakan secara bersasar.

“Tema persidangan ini adalah berteraskan “Localizing Sustainable Development Goals in Engineering with Look East Policy Partnership”, yang menyantuni keperluan segera pembudayaan penyelidikan dan akademik dalam indikator SDGs,” katanya.

Menurutnya lagi, objektif persidangan juga adalah untuk meningkatkan jaringan profesional di antara jurutera dan saintis dari pelbagai bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di seluruh Asia Tenggara.

“Persidangan ini akan menjadi pentas yang tepat dalam mewujudkan komuniti penyelidikan antarabangsa berkongsi idea yang melibatkan penyelesaian serantau melalui perkembangan teknologi dan kepakaran yang terkini bagi mencapai pembangunan yang mampan,” kata beliau.

Menerusi penganjuran bengkel ini juga, akan menjadi aspirasi untuk menubuhkan sebuah perancangan keterlibatan agensi dan universiti di Malaysia dalam mewujudkan polisi bagi mencapai keperluan pembangunan SDGs di peringkat negara.

“Selain itu, persidangan juga membantu penyelidik-penyelidik muda menerbitkan artikel jurnal berindeks Scopus selain menyediakan persekitaran yang kondusif semasa pandemik,” jelasnya.

Antara peserta utama yang menyertai persidangan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang selaku pengucap utama dengan membawakan perkongsian bertajuk “Eco-Shift Framework: Towards Sustainable Development Targets”.

Persidangan turut membawakan beberapa tokoh lain seperti Ketua Penasihat dan Pemangku Pengarah Eksekutif, AUN/SEED-Net, Japan International Cooperation Agency (JICA), Prof Emeritus Dr UEDA Tamon dan beberapa penyampai yang terdiri daripada AUN/SEED-Net Alumni dan pihak industri Malaysia.

Bagi membangunkan pengetahuan khusus mengenai SDGs, bengkel yang dilaksanakan serentak di bawah jaringan (Malaysia Sustainability University Network, MySUN) merupakan salah satu bentuk perkongsian antara universiti yang akan membantu pemerkasaan agenda kelestarian di seluruh negara.

“Persidangan telah diakhiri menerusi sidang siar secara rakaman daripada Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Fauzi Ismail yang menyentuh beberapa perutusan penting dalam menyediakan keperluan SDGs di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumber: Portal UTM

Artikel menarik 

Rakyat Malaysia pertama terpilih dalam WSO FLP, ini keistimewaan pensyarah UKM yang ramai tidak tahu

Belajar tapi masih gagal, Cikgu Ropizam kongsi 9 rahsia tersembunyi pelajar cemerlang