KLUANG - Kementerian Pendidikan (KPM) bersiap sedia untuk memastikan sesi pembukaan persekolahan bulan hadapan tidak terjejas dengan bencana banjir.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata itu kerana kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi situasi itu jika banjir berlarutan sehingga Januari.

"Pejabat Pendidikan Daerah memiliki SOP mereka sendiri dalam menghadapi banjir. Mereka bersiap siaga setiap tahun. Sekiranya terjadi, kita akan ikut SOP biasa," katanya kepada pemberita pada program Kembali ke sekolah dan pelancaran Telefon Awam Baharu Helogang di sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam di sini, semalam.

Maszlee mengulas mengenai persediaan kementerian untuk menghadapi musim banjir di Johor dan negeri lain yang dijangka berlarutan hingga Januari.

Hampir semua daerah di negeri ini telah dilanda banjir sejak dua hari lepas, mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke 1,217 pusat pemindahan sementara. Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang.

Sementara itu, program ‘Back To School’ anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menyediakan barangan kelengkapan persekolahan kepada 600 orang pelajar di kawasan Simpang Renggam dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

Secara keseluruhan, sebanyak RM634,400 diperuntukkan oleh PTPTN bagi menjayakan program  itu di seluruh negara. - Bernama

Artikel lain:

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan

Jauhi aura negatif di tempat kerja, guru ini dedah tiga tip yang boleh anda cuba...

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

150 guru terpilih Program Duta Guru - Selepas ini bahan PdPC lebih menariklah