PERASMIAN Bulan Kebangsaan pada tahun ini disambut secara sederhana oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Pemanis 1 (PEMASA), Segamat, Johor, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara kita.  

Walaupun secara ringkas, namun ia tetap meriah dengan kepelbagaian aktiviti dan pertandingan yang disediakan.

Penyelaras program, Cikgu Nurul Izni Ishak berkata, setiap murid dikehendaki menghasilkan satu kad ucapan Hari Kebangsaan pada kertas A4 berwarna merah, biru, kuning dan putih.

“Setelah siap, murid-murid akan bergambar dengan kad masing-masing di dalam kelas.

“Guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) juga tidak melepaskan peluang bergambar di dataran perhimpunan, namun masih  menjaga jarak fizikal antara satu sama lain,” katanya.

Nurul Izni berkata, selain menyiapkan kad ucapan, murid-murid turut menyertai aktiviti dan pertandingan lain yang disediakan Panitia Sejarah.

“Antaranya, pertandingan mewarna poster, membuat kolaj bendera Jalur Gemilang, mencipta logo kebangsaan, kuiz kemerdekaan secara dalam talian dan laungan kemerdekaan.

“Empat guru juga telah menghasilkan logo baharu tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin pada kain rentang yang panjangnya berukuran sembilan meter,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar, Helmyazizul Abdul Hamid berkata, sambutan Bulan Kebangsaan perlu dibuat setiap tahun agar dapat menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid dan warga sekolah.

“Sesungguhnya, jasa-jasa pejuang kemerdekaan tidak boleh dilupakan dan mesti dikenang terutama sekali pada ulang tahun kemerdekaan,” katanya.

Guru-guru dan wakil PIBG dan PIBK serta warga PEMASA memegang kain rentang Logo Malaysia Prihatin yang menjadi tema pada tahun ini.

Sebahagian murid-murid menunjukkan kad ucapan Hari Kebangsaan yang telah berjaya disiapkan. 

Sebahagian murid-murid menunjukkan kad ucapan Hari Kebangsaan yang telah berjaya disiapkan.

Tip menarik:

Teknik 'Drilling with Coaching' Cikgu Shaza, bantu murid mahir Matematik

Cikgu ini dedah 10 tip hafal sifir yang paling mudah