Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Indah, Johor memenangi gelaran “Sekolah Impak Terbesar Tahun 2019-2020” bagi Sekolah Bestari Microsoft (Microsoft Showcase Schools), baru-baru ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf usaha sekolah mendigitalkan pendidikan dan kesan luar biasanya terhadap masyarakat sekitar.

SK Taman Bukit Indah adalah salah satu daripada tiga sekolah di peringkat global dan satu-satunya di Asia yang menerima gelaran tersebut.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Maznah Abu Bakar memuji usaha yang dilakukan sekolah berkenaan sehingga berjaya merangkul gelaran berkenaan.

“Dedikasi mereka bukan sahaja dalam usaha mengguna pakai teknologi, tetapi juga melatih masyarakat sekitar dengan kemahiran digital, yang nyata memperlihatkan aspirasi kita untuk mencapai matlamat pendigitalan.

“Transformasi ini bukan sahaja merangkumi penggunaan, tetapi juga melibatkan perubahan ketetapan minda dalam kalangan guru, murid dan juga ibu bapa,” katanya.

Ujarnya lagi, SK Taman Bukit Indah telah membuktikan bahawa adalah tidak mustahil, walaupun dalam suasana mencabar seperti sekarang, untuk menempa kejayaan dan terus menyokong pendidikan menerusi penggunaan teknologi yang inovatif di bilik darjah.

Terdahulu, SK Taman Bukit Indah merupakan sekolah pertama di Malaysia mendapatkan akreditasi pakar Pendidik Inovatif Microsoft (Microsoft Innovative Educator, MIE) bagi semua gurunya.

Pentauliahan tersebut merupakan pengiktirafan global terhadap komitmen guru-guru untuk menerapkan teknologi ke dalam pengajaran dan pembelajaran.

Guru Besar SK Taman Bukit Indah, Rasman Abdul Karim berkata, guru-guru mereka telah memainkan peranan aktif mengguna pakai teknologi dalam pendidikan sebelum Covid-19 lagi.

“Persediaan awal tersebut telah membolehkan kami beralih kepada pembelajaran jarak jauh lebih pantas daripada biasa, selain memberi kami masa secukupnya untuk mempersiapkan guru-guru.  Malah, ibu bapa pelajar juga telah memainkan peranan sama penting untuk membolehkan pelaksanaan pendidikan digital ini berjaya.

“Kami berharap proses transformasi ini akan menjadi pendorong kepada sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia untuk terus memanfaatkan teknologi bagi menambah baik sistem pendidikan sambil kita menuju ke arah masa depan digital,” jelasnya.  

Pada tahun ini, SK Taman Bukit Indah merancang berkongsi ilmu dan kepakaran dengan 45 sekolah di Iskandar Puteri.

Sekolah bercadang melatih lebih daripada 90 guru dan 900 pelajar, menjadikan mereka kumpulan teras di sekolah untuk terus menyebarkan ilmu dan menggalakkan pendigitalan dalam kalangan komuniti pendidikan.

“Kami terharu untuk melihat para pendidik negara kita merintis dan mencipta kejayaan menerusi teknologi,” kata Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, K. Raman.

Sekolah Bestari Microsoft ialah program kendalian Microsoft yang menyokong rangkaian sekolah global untuk melaksanakan transformasi di seluruh sekolah demi memupuk budaya pembelajaran, inovasi dan penambahbaikan berterusan.

Sekolah-sekolah yang turut serta telah memanfaatkan Rangka Kerja Transformasi Pendidikan Microsoft dan menerima sokongan daripada Microsoft dalam bentuk panduan transformasi digital dan juga capaian kepada sumber dan kajian terbaharu.

Ini termasuk penggunaanbersepadu pelbagai penyelesaian Microsoft seperti Windows, Office 365, OneNote, Skype dan banyak lagi untuk membolehkan pembelajaran dilaksanakan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa untuk pelajar mereka.  

SK Taman Bukit Indah adalah satu daripada lima Sekolah Bestari Microsoft di Malaysia.

Sekolah-sekolah lain di Malaysia yang telah menyertai program ini termasuk SK Taman Senangan diPulau Pinang, SMK Kubang Kerian di Kelantan, SMK Kuala Perlis di Perlis dan SK Bandar Hilir di Melaka.

Artikel menarik

Lima tip untuk kekal sihat di rumah, pelajar boleh amalkan tip perkongsian ini

PdPR beri kesan pada semua pihak. Ibu bapa, pelajar dan jurujual kongsi luahan