RANTAU PANJANG - Seramai 100 pelajar Tingkatan Lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Baroh Pial menyertai Bengkel Asas Kewartawanan anjuran Pusat Komuniti Desa (PKD) Bukit Tandak dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).

Pengurus PKD Bukit Tandak, Suhailey Azila Abdul Wahab berkata, bengkel yang julung kali diadakan itu memberi peluang kepada pelajar mengetahui lebih mendalam mengenai dunia kewartawanan.

Menurutnya, kehadiran wartawan berkongsi bagaimana mereka menjalankan tugas sedikit sebanyak membuka minda pelajar.

“Jika sebelum ini mereka hanya tahu wartawan adalah individu yang memainkan peranan dalam menyampaikan berita.

“Namun dengan perkongsian tersebut mereka dapat hayati erti sebenar pekerjaan sebagai wartawan,” katanya ditemui pada bengkel berkenaan.

 Turut hadir Setiausaha Kemudi, Rosmiza Kasim dan Pengarah Komunikasi Kemudi, Muhammad Yatimin Abdullah.

Suhailey Azila berkata, program berkenaan juga mendedahkan pelajar gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan berita.

Katanya, ia secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada pelajar sekali gus membantu meningkatkan gaya penulisan mereka.