GUA MUSANG - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku, melakar sejarah kecemerlangan luar biasa apabila 40 daripada 52 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 berjaya ke universiti awam.

Pengetuanya, Mohd Kamalluddin Kamil Mohd Noor berkata, sepanjang penubuhan sekolah, ini merupakan pencapaian paling tinggi dalam kecemerlangan STPM.

Katanya, seramai 42 pelajar berjaya melangkah ke universiti awam antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM).

Kejayaan itu sekaligus menjadikan SMK Bandar Chiku sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian STPM dan diikuti SMK Tengku Indera Petra 1.

“Alhamdulillah, pencapaian ini melebihi daripada target yang kita tetapkan iaitu 60 peratus yang mana kita mencapai 78 peratus.

“Pada 2017, seramai 20 daripada 50 pelajar berjaya ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Ini bermakna, STPM 2018 menunjukkan peningkatan yang tinggi berbanding STPM 2017.

“Untuk tahun hadapan, kita meletakkan target 80 peratus dengan jumlah 62 calon. Ini merupakan kejayaan sekolah hasil kerjasama semua pihak pentadbiran sekolah serta komitmen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya.

Sementara itu, pelajar STPM 2018, Mohamad Syafiq Mohd Husin, 19, dari Felda Perasu, Gua Musang berkata, kejayaan ini adalah langkah permulaannya dalam mengejar cita-cita.

“Alhamdulillah, saya diterima ke UiTM Kampus Puncak Perdana, Selangor dalam Fakulti Filem, Teater, dan Animasi.

“Saya meminati bidang penyiaran dan produksi teater. Moga peluang ini menjadi pemangkin kejayaan saya di masa akan datang,” katanya.

Baca ini:

Lapan 'rahsia tersimpan' pelajar cemerlang dalam pelajaran...memang tak sangka ini yang mereka buat

Gaun cantik rekaan ayah, luahkan semangat Merdeka

Nota padat topik Abakus...Calon UPSR boleh buat ulang kaji ringkas cara Cikgu Mohd Fadli

Siap sedia sebelum UPSR 2019 bermula - Ini yang mak ayah perlu lakukan di saat-saat akhir

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan