TUMPAT - Permainan gasing beyblade mencetus fenomena baharu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja apabila ia dibawa ke pentas realiti melalui pertandingan komuniti setempat.

Sebelum ini kuali, periuk jadi sasaran kanak-kanak menunjukkan kehebatan gasing beyblade mereka berputar ketika bermain di rumah.

Tetapi kini apabila ia dibawa ke pentas realiti menjadikan impian kanak-kanak itu membawa watak Tyson Granger, Ray Kon, Kurenai Shu dan ramai lagi dalam siri anmasi Beyblade Burst menjadi kenyataan.

Tidak lagi menggunakan kuali sebagai arena untuk berentap tetapi beyblade ligat berputar di atas ‘stadium khas’ apabila lebih 200 kanak-kanak menyertai pertandingan beyblade sempena Karnival Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Pasir, di sini.

Riuh dengan sorakan

Aksi kanak-kanak bertarung memeriahkan suasana bagi memastikan gasing berputar lama serta riuh dengan sorokan penyokong.

Muhammad Aznan Azman, 10, menjuarai pertandingan beyblade apabila gasingnya berharga RM16 menguasai stadium apabila berpusing lama mengalahkan lawan.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Laut itu membawa pulang trofi dan set permainan beyblade.

Katanya, dia selalu bermain dengan kawan-kawan di rumah di Kampung Laut dan gasing ini antara kesayangannya.

“Saya ada koleksi sebanyak 9 jenis beyblade, tetapi yang ini paling hebat ketika beraksi di stadium,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Aiedil Fitrie Mohd Zikrillah, 12, manakala Muhammad Adam Rizqi Asrul, 8, meraih tempat ketiga.

Masing-masing membawa pulang trofi dan set permainan beyblade.

Sokongan ibu bapa

Bagi seorang ibu, Nor Arini Mohd Nawi, 32, berkata, anaknya, Muhammad Adam Rizqi meminati permainan ini.

“Saya tidak larang hobinya ini, lebih baik bermain gasing daripada gadget yang boleh melekakan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Jeffrey Abdullah berkata, dia menganjurkan pertandingan ini kerana gasing beyblade menjadi kegilaan kanakkanak
seluruh negara.

“Seramai 18 peserta daripada lebih 200 penyertaan berjaya ke peringkat akhir.

“Kita pilih tiga pemenang untuk hadiah trofi dan set permainan beyblade,” katanya.

Menurutnya, selain permainan beyblade, turut diadakan pelbagai pertandingan lain bagi membantu pihak sekolah SK Kok Pasir mengumpul dana,” katanya.

INFO

Empat siri Beyblade Burst sudah dilancarkan

- Beyblade Burst/BB (2016)
- Beyblade Burst Evolution (2017)
- Beyblade Burst Turbo (2018)
- Beyblade Burst GT (2019)
- Siri animasi Beyblade Burst diterbitkan oleh studio produksi OLM

Gasing beyblade cetus fenomena baru dalam kanak-kanak terutamanya di kawasan luar bandar.

Sebahagian peserta yang mnyertai pertandingan beyblade di SK Kok Pasir.